Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives February 6, 2025

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
PKBM sedia anjurkan kejohanan lebih besar

Kuala Lumpur: Malaysia membuktikan sudah bersedia untuk menganjurkan apa jua kejohanan mahupun program di bawah Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) selepas menjadi tuan rumah untuk 14 negara menyertai Kursus Elite National Commisaires (ENC) (basikal bukit) 2025, baru-baru ini.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh berkata, kepercayaan UCI terhadap Malaysia itu memberi mesej positif sekaligus bakal membuka peluang lebih banyak penganjuran akan dilakukan di negara ini selepas ini.

“Malaysia sentiasa dipilih UCI untuk penganjuran kursus ENC. Ini membuktikan UCI sangat percaya kehebatan pentadbiran PKBM dalam memastikan kelancaran kursus ENC 2025,” kata Amarjit dalam satu kenyataan dikeluarkan PKBM hari ini.

Tambahnnya, Malaysia, Indonesia dan Filipina muncul negara yang menghantar lebih daripada seorang komisar ke Kursus ENC 2025 yang dianjurkan pada hujung bulan lalu.

“Malaysia menjadi negara paling ramai menghantar komisar ke Kursus ENC 2025 dengan bilangan seramai empat orang. Indonesia dan Filipina pula menghantar dua komisar,” katanya.

Selain itu, negara seperti China, Iran, Uzbekistan, India, Hong Kong, Thailand, Oman, Nepal, Mongolia, Brunei dan Kemboja turut hadir sama menyertai Kursus ENC 2025.

Sebelum ini, Malaysia turut sering menerima pengiktirafan daripada Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) untuk menjadi venue ‘kejohanan bertaraf dunia’ ketika menjadi penganjur Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2023.

Malah Malaysia turut sekali lagi diberikan kepercayaan untuk menjadi tuan rumah bagi ACC 2025 yang akan diadakan di Velodrom Nasional di Nilai dari 21 hingga 27 Februari ini.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
KBS terima 28 aduan termasuk penderaan seksual

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan sebanyak 28 aduan diterima pihaknya melibatkan pelbagai jenis kes dari tahun 2023 hingga 2024 dalam industri sukan negara.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, sebanyak 16 kes diselesaikan melibatkan penderaan seksual (dua kes), penderaan mental (tiga), penderaan fizikal (dua), buli (empat), ugutan (dua), antunan seksual (dua) dan pengabaian melibatkan satu kes.

Menurutnya, sebanyak 11 kes masih aktif dengan jumlah tertinggi adalah penderaan seksual (empat kes), penderaan mental (dua), penderaan fizikal (dua) dan pengabaian (tiga kes).

“Dalam usaha memperkasakan pelaksanaan Kod Sukan Selamat, KBS akan meneruskan program advokasi dan kesedaran di peringkat akar umbi bagi memastikan seluruh komuniti sukan memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing.

“Program ini akan diselaraskan oleh 44 orang focal point sukan selamat yang telah dilantik dari kalangan pegawai KBS, KementerianPendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT),” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Syahredzan Johan (PH-Bangi) mengenai langkah intervensi untuk wanita dalam sukan melalui Kod Sukan Selamat dan perancangan kementerian untuk memperkasakan kod itu.

Syahredzan juga bertanyakan mengenai bilangan aduan yang dikendalikan serta statusnya yang terkini dengan pecahan jenis kes.

Mengulas lanjut, Hannah menegaskan, sebagai langkah pencegahan semua organisasi berkaitan sukan juga perlu membuat semakan latar belakang sebelum melantik mana-mana jurulatih atau pegawai teknikal terutamanya yang melibatkan kanak-kanak.

“Kewajipan menandatangani akujanji pematuhan Sukan Selamat serta Polisi Perlindungan Kanak-kanak dalam mana-mana kontrak atau lantikan juga merupakan antara langkah awal yang perlu diterapkan,” katanya.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Malaysia terus dapat kepercayaan UCI

KUALA LUMPUR: Malaysia terus diberi kepercayaan untuk menjadi venue bagi program anjuran Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) apabila 14 negara menyertai Kursus Elite National Commisaires (ENC) (basikal bukit) 2025, baru-baru ini.

Bagi Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh, keyakinan diberikan UCI itu secara tidak langsung membuktikan yang Malaysia diiktiraf sebagai sebuah negara penganjur acara berkelas dunia.

“Malaysia sentiasa dipilih UCI untuk penganjuran kursus ENC. Ini membuktikan UCI sangat percaya kehebatan pentadbiran PKBM dalam memastikan kelancaran kursus ENC 2025,” kata Amarjit dalam satu kenyataan dikeluarkan PKBM hari ini.

Amarjit berkata, Malaysia, Indonesia dan Filipina muncul negara yang menghantar lebih daripada seorang komisar ke Kursus ENC 2025 yang dianjurkan pada hujung bulan lalu.

“Malaysia menjadi negara paling ramai menghantar komisar ke Kursus ENC 2025 dengan bilangan seramai empat orang. Indonesia dan Filipina pula menghantar dua komisar,” katanya.

Negara lain yang turut menyertai Kursus ENC 2025 ialah China, Iran, Uzbekistan, India, Hong Kong, Thailand, Oman, Nepal, Mongolia, Brunei dan Kemboja.

Sebelum ini, Malaysia turut sering menerima pengiktirafan daripada Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) untuk menjadi venue ‘kejohanan bertaraf dunia’ ketika menjadi penganjur Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2023.

Malah Malaysia turut sekali lagi diberikan kepercayaan untuk menjadi tuan rumah bagi ACC 2025 yang akan diadakan di Velodrom Nasional di Nilai dari 21 hingga 27 Februari ini.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Kursus Pelan Strategi Pengurusan Aset (PSPA) (OPERASI) Kementerian Kewangan Malaysia

Satu Kursus Pelan Strategi Pengurusan Aset (PSPA) (OPERASI) Kementerian Kewangan Malaysia telah diadakan bagi tujuan menerapkan kefahaman para peserta mengenai proses penyediaan pelan strategik pengurusan aset operasi MSN untuk tempoh 5 tahun serta proses penyediaan aktiviti dan bajet pengurusan aset tak alih MSN untuk tahun 2025.

Bengkel yang dikendalikan oleh penceramah dari Jabatan Kerjaraya Malaysia Ir. Dr. Ahmad Firdauz Abdul Mutalib bersama-sama SR. Nor Rapidah Musthafa diadakan pada 4 hingga 6 Februari, turut melibatkan 25 orang penyelia dan anggota yang menguruskan kompleks MSN dari seluruh negara.

Turut hadir sama, Pengarah Bahagian Fasiliti Sukan MSN, Encik Mohd Raizal Muhamat Yaakop.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Misi balas dendam Letshanaa

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan wanita, K Letshanaa ingin memastikan dirinya berada di prestasi terbaik bagi memastikan misi balas dendam ke atas pemain perseorangan wanita Indonesia, Putri Kusuma Wardani tercapai pada Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2025.

Jelasnya, selepas tewas dalam pertemuan sebelum ini, dirinya semakin bersemangat ingin bertemu dengan pemain di ranking ke-14 dunia itu dan berharap mampu memberi saingan sengit dan mendapatkan mata untuk pasukan Malaysia.

“Untuk perseorangan wanita negara, kami akan cuba tampilkan aksi terbaik, sama seperti ketika saya bermain di Indonesia Masters sebelum ini. Kita tunggu dan lihat apa keputusannya nanti.

“Saya pernah bertemu dengannya sebanyak dua kali sebelum ini, iaitu pada Indonesia Masters dan BATC (Kejohanan Badminton Berpasukan Asia) tahun lalu. Memang saya mahu beraksi menentangnya,” katanya.

Pertemuan itu mungkin akan terjadi selepas Malaysia dan Indonesia diundi berada dalam Kumpulan B bersama Hong Kong dan akan bersaing menjadi dua yang terbaik untuk ke suku akhir.

Selain itu, pemain muda berusia 21 tahun itu prestasinya ketika ini kurang baik dan disebabkan itu, dia cuba meningkatkan intensiti latihan bersama ketua jurulatih perseorangan negara Kenneth Jonassen sambil dibantu oleh Jeffer Rosobin.

“Permainan saya masih ada turun naik dan belum konsisten. Sekarang saya sedang cuba untuk memperbaikinya selain ada berbincang dengan Kenneth kerana kita hanya ada beberapa hari sebelum BAMCT bermula,” katanya.

Kejohanan BAMTC akan membuka tirai pada Selasa depan dengan Malaysia akan bermula dengan aksi pertama menentang Hong Kong pada 12 Februari sebelum turun menentang pasukan pilihan, Indonesia pada keesokan harinya.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Hoki dalam dewan, Malaysia kalah lagi

Kuala Lumpur: Meskipun gagal mencatat sebarang kemenangan dalam Kumpulan B namun pemain hoki dalam dewan lelaki negara berjaya menunjukkan prestasi yang lebih baik pada aksi terakhir ketika menentang Iran.

Pengendali skuad hoki dalam dewan lelaki Rodzhanizam Mat Radzi berkata, pemain mempamerkan peningkatan yang baik dan mereka terus bersemangat serta tidak berputus asa untuk mendapatkan keputusan positif.

Tambahnya, beliau berharap selepas ini setiap pemain boleh memanfaatkan setiap peluang itu dalam bentuk jaringan.

“Secara keseluruhannya, perlawanan pada hari ini (awal pagi tadi), pemain bermain dengan begitu baik sekali mengikut perancangan seperti yang kita lakukan. Mereka berikan yang terbaik ketika bertemu pasukan Iran.

“Kita dapat lihat setiap daripada mereka sangat fokus dan berdisiplin bermula dari suku pertama sehingga suku keempat.

“Beberapa kesilapan kecil yang sering dilakukan sebelum ini, pemain berjaya mengurangkannya ketika bertemu Iran dan kita juga dapat peluang untuk jaringkan gol cuba kita tidak ambil (peluang). Kalau kita dapat peluang untuk menjaringkan gol, mereka perlu ambil dengan sebaiknya,” katanya.

Malaysia perlu menunggu aksi terakhir setiap kumpulan yang akan berlangsung tengah malam hari ini sehingga pagi Jumaat untuk mengetahui siapa lawan skuad kendalian Rodzhanizam selepas ini.

Terdahulu, pasukan negara tewas dalam ketiga-tiga perlawanan selepas dibelasah Jerman (4-12) pada perlawanan pertama disusuli dengan Argentina (2-5) sebelum tewas kepada Iran (0-3) untuk berada di tangga terbawah Kumpulan B.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
PEMBAHARUAN LESEN DAN SOKONGAN NEXT GEN FIREWALL MSN

Tawaran adalah dipelawa kepada syarikat-syarikat tempatan yang beroperasi di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Lembah Klang serta berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia yang masih sah tempohnya di bawah kod bidang seperti berikut :-

210107– ICT SECURITY AND FIREWALL, ENCRYTION, PKI, ANTIVIRUS

NO. SEBUT HARGA : MSN/SH/001/2025 (SP)
TAJUK SEBUTHARGA : PEMBAHARUAN LESEN DAN SOKONGAN NEXT GEN FIREWALL MSN
TARIKH BUKA : 6 FEBRUARI 2025 (KHAMIS)
TARIKH TUTUP : 21 FEBRUARI 2025 (JUMAAT)
SEBELUM PUKUL 12.00 TENGAHARI

Dokumen sebut harga boleh dimuat turun di laman ini. (Sila rujuk lampiran)

Dokumen sebut harga perlu dihantar bersama Sijil Pendaftaran Syarikat (SSM), Sijil Pendaftaran CIDB, Sijil Pendaftaran dengan Kementerian Kewangan Malaysia, Profail Syarikat, Sijil Pematuhan Cukai atau Tax Compliance Certificate (TCC) dan satu(1) salinan penyata bank syarikat yang terkini.

Dokumen sebut harga yang telah lengkap hendaklah dimasukkan ke dalam sampul surat yang bermeteri dan bertanda dengan No. Sebut Harga dan Tajuk di sebelah kiri atas sampul surat dan hendaklah dimasukkan ke dalam Peti Sebut Harga seperti alamat di bawah :

Lobi Aras 1 (Belakang) Bangunan Pentadbiran Majlis Sukan Negara Malaysia Kompleks Sukan Negara 57000 Bukit Jalil Kuala Lumpur

Dokumen sebut harga yang dikemukakan selepas tarikh dan masa tutup sebut harga tidak akan diterima.

Pihak syarikat yang memerlukan penjelasan lanjut hendaklah menghubungi pegawai berikut :-

Cik Norfarizan Noordin ( Urusetia Perolehan ) : 03-89929066
En. Mohamad Zamri Napiah (Spesifikasi Pembekalan) : 03-89929856

Majlis Sukan Negara Malaysia