Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Mandy buru tiket Sukan Sea

Kuala Lumpur: Atlet 400 meter (m) lari berpagar negara, Mandy Goh Li meletakkan sasaran utama tahun ini untuk layak ke pentas Sukan Sea Thailand Disember depan.

Menurutnya, dia kini sedang berusaha meningkatkan prestasi larian serta beberapa teknik lain untuk memastikan dapat mencapai keputusan baik dalam kejohanan akan disertai selepas ini sekali gus layak ke sukan dwitahunan itu.

Malah, atlet kelahiran Sarawak itu juga mempunyai matlamat tersendiri iaitu ingin mendapatkan catatan masa lebih baik tahun ini.

“Latihan di dalam program boleh dikatakan agak susah kerana ia melibatkan teknikal dan agak mencabar bagi diri saya.

“Sasaran tahun ini saya ingin pastikan layak terlebih dahulu ke Sukan Sea bagi acara 400m lari berpagar. Saya juga ingin pastikan diri saya dapat lakukan catatan masa 59 saat (s),” katanya.

Selain itu, Mandy juga sentiasa memastikan dirinya bebas daripada kecederaan dan bersedia untuk memulakan latihan.

“Untuk memastikan (prestasi) saya sentiasa berada dalam tahap terbaik, setiap latihan saya kena capai masa ditetapkan jurulatih dan perlu pastikan diri saya berada dalam kondisi bagus untuk turun latihan,”katanya.

Untuk rekod, pada Sukan Sea Kemboja 2023 lalu, Mandy mewakili negara dalam acara 400m lari berpagar dan layak ke pentas final sebelum terpaksa akur di kedudukan keempat dengan catatan 1:00.70s.

Malah, dia turut membantu kem negara dalam acara 4x400m berganti-ganti ke pusingan akhir tetapi dikecewakan oleh pasukan Thailand dan berpuas hati di tangga keempat.