KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah mengakui berdepan cabaran getir pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China dari 9 hingga 14 April ini.
Pasangan ranking ke-13 dunia itu dijadual membuka tirai saingan menentang pilihan kelapan dari Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara pada aksi pusingan pertama.
Meskipun atas kertas kelebihan memihak kepada Pearly-Thinaah yang menang tiga daripada empat pertemuan sebelum ini tetapi mereka tetap berwaspada dengan ancaman bekas juara dunia dua kali itu.
Kali terakhir, mereka menundukkan lawan dari Negara Matahari Terbit itu adalah di pusingan ketiga Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, tahun lalu.
Pearly, berkata dia dan Thinaah akan melakukan persiapan terbaik bagi mencatat kemenangan dalam aksi pertama.
“Buat masa ini, kami mahu fokus kepada perlawanan pertama terlebih dahulu.
“Kami akan bincang dengan jurulatih dan pakar analisis untuk lihat strategi apa yang kami boleh gunakan apabila turun menentang mereka (Matsumoto-Nagahara).
“Pada masa sama, kami juga akan fokus terhadap persiapan diri sendiri.
“Kami perlu perkemaskan lagi kombinasi kami sebagai gandingan dan komunikasi kami dalam gelanggang.
“Kami akan buat yang terbaik,” kata Pearly yang semakin mendapat semula rentak permainannya selepas dihimpit masalah kecederaan.
Andai berjaya mengatasi Matsumoto-Nagahara, Pearly-Thinaah akan bertemu pemenang perlawanan antara pasangan China, Li Wen Mei-Liu Xuan Xuan di pusingan kedua.
Sekiranya melangkah ke suku akhir, mereka sekali lagi berdepan lawan sukar apabila diramal bertemu pilihan kedua yang juga juara Seluruh England dari Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee.
Selain Pearly-Thinaah, cabaran Malaysia dalam acara beregu wanita di Ningbo turut akan digalas pasangan profesional, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien.
Mereka dijadual menentang pasangan ranking ke-12 duni dari Korea, Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong di pusingan pertama.-Berita Harian