KUALA LUMPUR: Bekas raja pecut Sukan SEA, Khairul Hafiz Jantan masih mengintai peluang untuk mencetuskan impak di temasya itu tahun depan apabila ia berlangsung di Bangkok, Thailand.
Atlet berusia 26 tahun itu, berkata fokus dia kini adalah untuk konsisten mencatat masa bawah 10.30 saat (s) bagi memastikan dia kekal relevan dalam kalangan pelari pecut terbaik negara.
“Tahun lalu, tahun yang agak baik buat saya. Walaupun saya tak berpuas hati dengan catatan masa itu (10.34s) tetapi berlari tanpa kecederaan membuatkan saya berasa lebih bersemangat.
“Sekarang ini saya sasar untuk buat lebih bagus mungkin boleh turun ke 10.33, 10.30 atau 10.29s dan biarpun peluang untuk ke Sukan Olimpik sudah tertutup kerana kita ada Muhammad Azeem Fahmi tetapi itu bukan penghalang untuk saya mencatatkan masa lebih baik.
“Fokus saya sekarang adalah untuk layak ke Sukan SEA dan saya mahu menghadiahkan pingat buat negara,” katanya yang mempunyai catatan peribadi terbaik 10.18s bagi acara 100m ketika melakukannya di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak pada 2016.
Sebagai rekod, Khairul Hafiz pernah memenangi pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dalam acara 100m dengan catatan 10.38s.
Sebelum ini, Pengarah Kejurulatihan Olahraga negara, Robert Ballard memaklumkan bahawa setiap atlet perlu melepasi piawaian yang ditetapkan jika ingin menyertai kejohanan di luar negara.
Bagi atlet pecut, mereka perlu mencatatkan masa sekitar 10.3s dengan Khairul Hafiz bersedia menyahut cabaran itu.
“Ia satu cabaran buat saya. Ia bagus juga selain tak membazirkan duit yang dilaburkan kepada atlet, ia juga meletakkan saya dalam kedudukan sasaran 10.3s
“Andai melepasi masa itu, saya boleh terus perbaiki lagi dan lagi,” katanya.-Berita Harian