Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives 2024

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Sarawak laksana strategi rampas kejuaraan Para SUKMA: Fatimah

KUCHING: Sarawak sebagai tuan rumah Sukan Para Malaysia (Para SUKMA) 2024 telah melaksanakan beberapa strategi dan langkah-langkah untuk merampas gelaran juara yang diungguli Sabah pada edisi lepas.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, sebagai tuan rumah Para SUKMA kali ini, Sarawak antara lain tidak akan membatalkan mana-mana acara yang dipertandingkan pada saat akhir.

Beliau berkata, Para SUKMA 2022 di Kuala Lumpur telah menyaksikan beberapa acara dibatalkan berikutan ada atlet yang menarik diri, menyebabkan kontinjen Para SUKMA Sarawak kehilangan pingat emas yang berpotensi dimenangi pada temasya itu.

“Sebelum ini, di bawah peraturan penyertaan, setiap acara memerlukan penglibatan tiga negeri dan tiga atlet dan kegagalan untuk memenuhi syarat ini menyebabkan pembatalan acara.

“Kali ini (Para SUKMA 2024), peraturan telah dipinda kepada dua negeri dan empat atlet untuk memberi peluang lebih besar kepada atlet kita untuk menang,” ujarnya kepada pemberita pada Majlis Makan Malam Apresiasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mei 2024, sambutan Hari Raya dan Pra-Gawai 2024 di sebuah hotel di sini, malam Selasa. 

Selain strategi tersebut Fatimah berkata, kursus klasifikasi anjuran Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) juga telah diadakan di Kuala Lumpur dari 19 hingga 21 April lalu untuk mengatasi masalah klasifikasi bagi atlet paralimpik pada temasya Para SUKMA 2024.

Ia katanya, untuk membantu pengelas memperoleh ilmu dan kemahiran dalam proses klasifikasi bagi memudahkan proses tersebut dijalankan di negeri masing-masing sebelum temasya Sukan Para SUKMA 2024 bermula.

“Kita mahu memastikan semasa temasya berlangsung, tiada atlet yang tidak kesampaian untuk bertanding, jadi kita mahu klasifikasi dilakukan terlebih dahulu di negeri masing-masing sebelum tiba di Sarawak,” jelasnya.

Fatimah menambah, dalam usaha merampas kembali kejuaraan, Sarawak berhasrat menyertai hampir kesemua acara sukan semasa temasya tersebut berlangsung bagi memaksimumkan peluang meraih pingat.

“Dari segi atlet, kita telah menghantar para atlet kita ke luar negara dan mendedahkan mereka kepada pertandingan di luar Sarawak sebagai sebahagian daripada persiapan.

“Dalam proses itu juga, kita tidak mengabaikan peranan penting jurulatih yang berkebolehan dalam melahirkan atlet menjadi terbaik, di samping mengiktiraf sokongan penting diberikan oleh ibu bapa dalam mengejar kemenangan mereka,” katanya. 

Di samping menyediakan peralatan sukan berkualiti tinggi, Fatimah mendedahkan atlet menerima elaun daripada kerajaan negeri semasa sesi latihan, sekali gus mengurangkan beban kewangan dan membolehkan atlet memberi lebih tumpuan kepada persiapan serta seterusnya berupaya menggalas pingat pada temasya Para SUKMA 2024.-Utusan Borneo

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MAJLIS PENGENALAN PASUKAN SEMPENA JUNIOR CYCLING MALAYSIA (JCM) SIRI 4-2024 PERLIS

Majlis Pengenalan 18 pasukan yang bertanding pada perlumbaan berbasikal Junior Cycling Malaysia (JCM) Siri 4-2024 Perlis telah berlangsung di Dewan Bankuet Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis pada 15 Mei 2024.

Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan Wan Zikri Afthar Ishak, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan, Pembangunan IKS & Wilayah Ekonomi Baharu & Pemerkasaan Usahawan & Ekonomi Kreatif Negeri Perlis.

Turut hadir sama ke majlis tersebut, Yang Berhormat Tuan Megat Hashirat bin Hassan, Dewan Undangan Negeri Pauh, Yang Berhormat Tuan Haji Razali bin Saad, Dewan Undangan Negeri Simpang Empat serta Pengarah Majlis Negeri Perlis, Tuan Mohd Azraai Zain bin Tusimin.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MESYUARAT PENGURUS DAN PENGUNDIAN PASUKAN JUNIOR CYCLING MALAYSIA (JCM) SIRI 4-2024 PERLIS.

Mesyuarat Pengurus dan Pengundian Pasukan JCM Siri 4-2024 Perlis telah diadakan bertempat di Majlis Sukan Negeri Perlis pada rabu. Sebanyak 18 pasukan melibatkan 109 pelumba akan bertanding acara lumba berperingkat yang akan berlangsung pada 16-18hb Mei ini.

Acara Kriterium juga turut diadakan pada hari terakhir program ini bertempat di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra Kangar.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Pahang idam 40 emas di SUKMA Sarawak 2024

KUANTAN: Kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) Pahang meletakkan sasaran untuk memungut 40 pingat emas di SUKMA Sarawak 2024, Ogos ini.

Sasaran berkenaan dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal yang dalam masa sama, turut menyatakan jumlah itu realistik berdasarkan komitmen diberikan Kerajaan Pahang.

“Kerajaan Pahang sememangnya komited dan bersungguh-sungguh untuk mencapai sasaran pingat memperbaiki kedudukan pada temasya kali ini. Atas dasar itu, kita melaksanakan beberapa inisiatif penting terutama dalam soal kebajikan kepada atlet bagi membela jurulatih dan pegawai.

“Antara inisiatif itu ialah elaun atlet yang bermula pada Januari tahun ini dan Kerajaan Pahang bersetuju kadar elaun latihan atlet SUKMA Pahang dinaikkan sehingga 150 peratus. Sebelum ini, kadar elaun latihan atlet adalah RM100 sebulan manakala kadar terbaharu elaun RM250 dan tertinggi RM500 sebulan,” kata Fadzli.

Fadzli berkata, inisiatif terutama gaji jurulatih sepenuh masa dinaikkan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan berdasarkan kelayakan ditetapkan Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK) Institut Sukan Negara.

“Sebelum ini, ramai jurulatih yang menerima gaji di bawah RM2,000 sebulan. Penyelaras turut menerima elaun sekurang-kurangnya RM200 sebulan bermula Januari lalu. Dengan inisiatif ini diharap membantu meletakkan kontinjen Pahang berada pada kedudukan lima terbaik pada temasya kali ini,” katanya.

Kontinjen Pahang akan disertai 603 atlet yang membabitkan 327 lelaki dan 276 wanita.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MESYUARAT ‘HIGH PERFORMANCE SPORT TEAM MEETING’ (HPTM) SUKAN MEMANAH PODIUM & PK 2024

Mesyuarat ‘High Performance Sport Team Meeting’ (HPTM) bagi sukan Memanah Podium dan Pelapis Kebangsaan 2024 telah diadakan pada 10 Mei yang lalu bertempat di Velodrom MSN, Nilai.

Tujuan mesyuarat ini diadakan untuk membincangkan prestasi atlet serta isu-isu berbangkit antara atlet dan jurulatih.

Turut hadir, Pengurus Sukan, Institut Sukan Negara, Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia serta Jurulatih dan Atlet.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Sivasangari ke pusingan ketiga Kejohanan Skuasy Dunia

KUALA LUMPUR: Ratu skuasy negara, S Sivasangari menepati ramalan apabila mengesahkan tiket ke pusingan ketiga Kejohanan Skuasy Dunia di Kaherah, Mesir, hari ini.

Juara Klasik London itu tidak berdepan masalah untuk menundukkan pemain remaja Amerika Syarikat, Caroline Fouts 3-0 (11-6, 11-7, 11-6) pada aksi pusingan kedua yang berlangsung selama 24 minit.

“Caroline baru 18 tahun… dalam fikiran saya timbul persoalan bagaimana agaknya masa depan skuasy. Dia bakal memasuki universiti dan saya pasti dia adalah harapan besar Amerika Syarikat di masa depan,” kata Sivasangari.

Pemain berusia 25 tahun itu dijangka berdepan ujian getir di pusingan ketiga apabila bakal bertemu pemenang perlawanan antara pilihan kedua dari Mesir, Hania El Hammamy ataupun pemain Perancis, Melissa Alves, Selasa ini.

Sebagai rekod, Sivasangari berjaya mengatasi El Hammamy pada aksi final Klasik London, bulan lalu.

Sementara itu, pemain lelaki utama negara, Ng Eain Yow turut melangkah ke pusingan ketiga selepas menewaskan wakil Jepun, Ryunosukue Tsukue dalam aksi straight set 11-1, 11-5, 11-9 dalam masa 36 minit.

Eain Yow akan bertemu pemenang perlawanan antara pilihan kedua, Paul Coll dari New Zealand atau Leonel Cardenas dari Mexico.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Azizulhasni raih gangsa kedua di Jepun

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang menaiki podium buat kali kedua dalam tempoh kira-kira 24 jam selepas meraih pingat gangsa dalam final keirin lelaki pada saingan Piala Trek Jepun II di Velodrom Izu di Shizuoka hari ini.

Azizulhasni yang turut merangkul gangsa dalam acara pecut semalam, terpaksa akur dengan kehebatan dua pelumba tuan rumah yang menyaksikan Kaiya Ota meraih emas dan perak menjadi milik Kento Yamasaki, demikian menurut https://www.uci.org/competition-details/2024/PIS/72366.

Pada perlumbaan hari ini, strategi juara dunia 2017 dan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam acara keirin itu melakukan pecutan awal dapat dihidu Ota dan Yamasaki yang berjaya memintas untuk mengesahkan kejayaan satu-dua Jepun.

Ia adalah emas kedua Ota selepas pelumba sensasi Jepun berusia 24 tahun itu turut mengatasi Azizulhasni dengan mengungguli saingan pecut lelaki.

Pada masa sama, seorang lagi pelumba negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang gagal melayakkan diri ke final, menamatkan saingan tempat ketujuh hingga 12 di kedudukan kelapan.

Sementara itu, bintang muda berbasikal trek negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri meraih tempat ketujuh dalam acara keirin wanita apabila mendominasi perlumbaan tempat ketujuh hingga 12 selepas gagal menempatkan diri dalam saingan final.

Kedudukan tiga teratas menjadi milik pelumba Jepun dengan Mina Sato meraih emas, Fuko Umekawa (perak) dan Riyi Ohta membawa pulang gangsa.

Perlumbaan di Jepun itu sebagai antara persediaan Azizulhasni, Shah Firdaus dan Nurul Izzah yang merupakan tiga pelumba berbasikal trek negara layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 sebelum menghadapi cabaran di temasya sukan berprestij itu bermula Julai depan.

– BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
JAPAN TRACK CUP

10-12 Mei 2024

Izu Velodrome

Hari Ketiga

Men Elite Keirin

🥇Ota Kiaya

🥈Kento Yamasaki

🥉Dato Mohd Azizulhasni Awang

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Para SUKMA Sarawak azam rampas gelaran juara keseluruhan di tempat sendiri

MUKAH, 12 Mei: Kontinjen Para Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak berazam untuk memanfaatkan aksi di gelanggang sendiri dengan muncul juara keseluruhan temasya itu tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg juga mahu melihat kontinjen Bumi Kenyalang meraih banyak pingat emas bagi merealisasikan impian berkenaan.

“Para SUKMA Sarawak telah muncul juara keseluruhan sebanyak 13 kali namun dikecewakan oleh Sabah dengan perbezaan empat pingat emas sahaja pada edisi lalu.

“Saya bersama Premier Sarawak menyeru kepada atlet-atlet Para SUKMA Sarawak supaya rampas kembali kejuaraan kita dan jika mampu melakukannya, kita akan bergelar juara Para SUKMA untuk kali ke-14,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Larian Baton sempena SUKMA Sarawak dan Para SUKMA Sarawak 2024 di Dataran Pehin Setiaraja di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA Sarawak 2024 Datu Hii Chang Kee, Residen Bahagian Mukah Kueh Lei Poh, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datu Felicia Tan Ya-Hua dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi.

Sehubungan itu, Fatimah menyeru kepada seluruh warga Sarawak agar memberi sokongan padu kepada atlet-atlet mereka.

Para SUKMA Sarawak 2024 akan bermula pada 23 hingga 28 September depan di Kuching.

Sebanyak 10 acara akan dipertandingkan iaitu olahraga, renang, badminton, pingpong, boling tenpin, boccia, boling padang, angkat berat, memanah dan catur. – TVS

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Piala Sultan Azlan Shah beri bayangan awal

JEPUN, juara baharu Piala Sultan Azlan Shah dan naib juara Pakistan memberi laungan awal bakal menjadi antara pasukan digeruni pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas memperagakan potensi pada kejohanan jemputan enam negara di Stadium Hoki Azlan Shah,

Skuad Speedy Tigers kendalian Sarjit Singh sejak awal Mac lalu berdepan banyak cabaran perlu ditempuhi untuk mencabar pingat emas Sukan Asia dan mengesahkan kelayakan awal ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28), sekali gus menamatkan kemarau 24 tahun beraksi di Sukan Olimpik.

Edisi ke-30 berakhir semalam sejak 4 Mei lalu menjadi medan pendedahan dan ujian bakat baharu bagi Malaysia, Jepun Pakistan, Korea Selatan, New Zealand dan Kanada membina skuad mantap untuk kitaran Olimpik seterusnya.

Piala Sultan Azlan Shah memberikan petunjuk awal Sukan Asia (Asiad) 2026 yang menampilkan kuasa hoki utama Asia – Korea Selatan, ranking ke-12 dunia, Malaysia (13), Jepun (15) dan Pakistan (16) melainkan juara Asia India dan wakil tunggal benua Asia yang memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024.

Jepun muncul sebagai pasukan harus diberi perhatian pada Asiad 2026, bukan sahaja sebagai negara tuan rumah tetapi juga kerana persembahan mereka yang memberangsangkan sepanjang Piala Sultan Azlan Shah.

Pengendali Jepun, Yoshihiro Anai, 36, tiba di Ipoh dengan pasukan muda dengan hanya empat pemain memiliki lebih 100 kaps dan tiga melakukan penampilan antarabangsa pertama di kejohanan tersebut dengan purata pemain dalam skuad 18 pemain berusia 24 hingga 17 tahun.

Walaupun kurang pengalaman, Jepun membuktikan status mereka sebagai ‘kuda hitam’ apabila merungkai prinsip rahsia Samurai untuk meraih gelaran sulung dengan mengejutkan Pakistan 4-1 menerusi penalti ‘shoot-out’ selepas aksi final berkesudahan 2-2 semalam.

Corak permainan teratur dan benteng pertahanan kebal memberikan cabaran menggerunkan kepada lawan dengan hanya memboloskan tujuh gol sepanjang kejohanan sehingga ke final dan rekod tanpa kalah di liga sepusingan.-Sinar Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia