KUALA LUMPUR: Buat kali pertama dalam tempoh 24 tahun, Malaysia tidak akan mempunyai penerjun wanita beraksi di pentas Sukan Olimpik.
Ini selepas seorang lagi penerjun wanita sandaran negara, Nur Dhabitah Sabri turut gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 sekali gus menerima nasib sama dengan Datuk Pandelela Rinong.
Nur Dhabitah terlepas peluang terakhirnya ke Paris selepas terkandas di pusingan kelayakan bagi acara 3 meter (m) papan anjal individu di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar.
Atlet berusia 24 tahun itu sekadar mengakhiri saingan di kedudukan 24 daripada 52 peserta dengan mengumpul keseluruhan 238.15 mata.
Nasib sama turut menimpa Wendy Ng Yan Yee apabila dia pula sekadar menamatkan saingan di tempat ke-38 dengan 216.00 mata.
Hanya 18 penerjun teratas layak ke separuh akhir bagi meneruskan misi memburu tiket ke Olimpik Paris.
Aksi pusingan kelayakan diungguli penerjun Australia, Maddison Keeney yang mengumpul 304.45 mata diikuti wakil China, Chen Yiwen kedua (297.75 mata) manakala Sarah Bacon dari Amerika Syarikat ketiga (297.54 mata).
Semalam, gandingan Nur Dhabitah-Wendy turut gagal melayakkan diri ke Olimpik Paris dalam acara 3m papan anjal seirama apabila mengakhiri saingan final di tempat kesembilan.
Nur Dhabitah dan Pandelela juga terlepas tiket ke Paris dalam acara 10m platform seirama sebelum ini apabila hanya berada di kedudukan ke-12.
Sebelum itu, Pandelela gagal meraih slot dalam acara 10m platform individu apabila terkandas di pusingan kelayakan dengan mengakhiri saingan di tempat ke-29.
Penerjun wanita Malaysia konsisten beraksi di Olimpik sejak Sydney 2000 dan Pandelela mencipta sejarah menjadi penerjun wanita pertama negara meraih pingat dengan memenangi gangsa acara 10m platform individu di Sukan Olimpik London 2012.
Dia kemudiannya meraih perak bersama gandingannya, Cheong Jun Hoong dalam acara 10m platform seirama di Olimpik Rio 2016.
Setakat ini, hanya seorang atlet terjun negara iaitu Bertrand Rhodict Lises yang sudah mengesahkan tiket ke Olimpik Paris selepas berjaya berada dalam kelompok 12 terbaik acara 10m platform individu ketika Kejohanan Akuatik Dunia 2023 di Fukuoka, Jepun pada Julai tahun lalu.- Berita Harian