Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Siti Zulaikha serlah potensi, juarai Siri Antarabangsa Malaysia

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan wanita muda negara, Siti Zulaikha Azmi merangkul gelaran pertamanya di peringkat senior selepas muncul juara Siri Antarabangsa Malaysia di Johor, hari ini.

Pemain berusia 18 tahun yang menduduki ranking ke-154 dunia itu cemerlang apabila menewaskan Lu Sheng Xuan dari China 21-13, 21-16 dalam tempoh 33 minit pada aksi final di Stadium Tertutup Educity, Iskandar Puteri.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dengan kemenangan hari ini. Saya berjaya kekal fokus dan mengikut strategi yang dirancang,” kata Siti Zulaikha.

“Sheng Xuan pemain yang baik, jadi kemenangan ini sangat bermakna untuk saya.

Sebagai rekod, ia adalah gelaran antarabangsa pertama Siti Zulaikha di peringkat senior.

Pencapaian terbaiknya sebelum ini adalah muncul naib juara di Siri Antarabangsa Sri Lanka pada Februari lalu.

“Kejayaan ini menjadi pembakar semangat untuk kejohanan akan datang. Ia bukan hanya hasil kerja keras saya, tetapi juga sokongan keluarga, jurulatih dan semua yang memberi sokongan pada saya.

“Kemenangan ini memberi saya keyakinan untuk terus melangkah ke tahap seterusnya dan memperbaiki lagi permainan saya.

“Saya rasa ini adalah permulaan untuk saya mencabar diri di peringkat yang lebih tinggi. Saya sedar masih banyak yang perlu diperbaiki, tetapi saya bersedia untuk menghadapi cabaran berkenaan dan berikan yang terbaik,” kata Siti Zulaikha. -Berita Harian