Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
‘Saya sudah kerah segala keringat’

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao mengakui sudah mengerah segala keringatnya dalam perlawanan final Masters Kumamoto, Jepun hari ini sebelum akur menamatkan kejohanan berstatus Super 500 BWF itu sebagai naib juara.

Pemain ranking ke-31 dunia itu tewas kepada pemain China yang juga pemain nombor sembilan dunia, Li Shi Feng 10-21, 13-21 dalam tempoh 44 minit.

Tampil dengan watak menggerunkan ‘pembunuh gergasi’ selepas menyingkirkan beberapa pemain terbaik dunia dalam perjalanan ke final, Jun Hao, 25, sedikit goyah terutama pada set pertama dan bergelut dengan corak permainan agresif Shi Feng.

Begitupun menurut pemain kelahiran Kuala Lumpur itu, dia berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan sepanjang kejohanan lebih-lebih lagi ia adalah penampilan pertamanya di final berstatus Super 500.

“Saya tidak mahu menjadikannya sebagai alasan tetapi sebenarnya badan saya masih belum pulih sepenuhnya dan sudah berusaha sebaik mungkin.

“Apapun, banyak yang saya pelajari sepanjang kejohanan ini di mana saya rasa lebih sabar dan lebih konsisten,” kata Jun Hao yang akan beraksi di Masters China minggu depan.-Berita Harian