Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives November 17, 2024

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Siti Zulaikha serlah potensi, juarai Siri Antarabangsa Malaysia

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan wanita muda negara, Siti Zulaikha Azmi merangkul gelaran pertamanya di peringkat senior selepas muncul juara Siri Antarabangsa Malaysia di Johor, hari ini.

Pemain berusia 18 tahun yang menduduki ranking ke-154 dunia itu cemerlang apabila menewaskan Lu Sheng Xuan dari China 21-13, 21-16 dalam tempoh 33 minit pada aksi final di Stadium Tertutup Educity, Iskandar Puteri.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dengan kemenangan hari ini. Saya berjaya kekal fokus dan mengikut strategi yang dirancang,” kata Siti Zulaikha.

“Sheng Xuan pemain yang baik, jadi kemenangan ini sangat bermakna untuk saya.

Sebagai rekod, ia adalah gelaran antarabangsa pertama Siti Zulaikha di peringkat senior.

Pencapaian terbaiknya sebelum ini adalah muncul naib juara di Siri Antarabangsa Sri Lanka pada Februari lalu.

“Kejayaan ini menjadi pembakar semangat untuk kejohanan akan datang. Ia bukan hanya hasil kerja keras saya, tetapi juga sokongan keluarga, jurulatih dan semua yang memberi sokongan pada saya.

“Kemenangan ini memberi saya keyakinan untuk terus melangkah ke tahap seterusnya dan memperbaiki lagi permainan saya.

“Saya rasa ini adalah permulaan untuk saya mencabar diri di peringkat yang lebih tinggi. Saya sedar masih banyak yang perlu diperbaiki, tetapi saya bersedia untuk menghadapi cabaran berkenaan dan berikan yang terbaik,” kata Siti Zulaikha. -Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Eain Yow juara Piala Skuasy Malaysia 2024

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy lelaki negara, Ng Eain Yow menampilkan salah satu permainan terbaiknya untuk merangkul gelaran juara Piala Skuasy Malaysia 2024, hari ini.

Pemain ranking 14 dunia itu meraih kejayaan berkenaan selepas menewaskan pilihan utama dari Mesir, Youssef Soliman dengan keputusan 11-7, 11-7, 11-7 dalam tempoh 50 minit.

Kejayaan Eain Yow mengalahkan pemain di ranking 11 dunia itu bukan saja berjaya membalas dendam kekalahannya kepada Soliman pada edisi 2022 dan 2023, tetapi turut mengubati duka peminat tempatan selepas pemain wanita skuasy utama negara, S Sivasangari tumbang di pentas final pada aksi lebih awal.

Selain mengambah gelaran miliknya tahun ini selepas turut menjuarai Terbuka Jerman pada April, kemenangan menyaksikan Eain Yow membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah AS$9,025 (RM40,344) manakala Soliman meraih AS$5,700 (RM25,480).

“Permainan saya benar-benar baik hari ini. Sekalipun semalam saya berkata saya yakin, saya tidak menjangka untuk menampilkan prestasi sebaik ini dan ini mungking salah satu permainan terbaik saya, lebih baik daripada final Piala Asia 2022” kata Eain Yow.

“Kebiasaannya saya bermain dengan penuh emosi, saya akan menjerit tetapi hari ini saya amat fokus dan hanya melakukan sambutan sehingga perlawanan berakhir.

“Saya tahu apa yang saya perlu melakukan ketika bertemu pemain-pemain terbaik dunia kerana mereka tidak pernah menyerah kalah. Saya gembira untuk kekal fokus dan memenangi perlawanan dengan straight set.”

Terdahulu, Malaysia terlepas kejuaraan berganda selepas Sivasangari tewas kepada sensasi Mesir yang baru berusia 17 tahun, Amina Orfi dalam permainan lima set, hari ini.

Sivasangari yang juga pemain kesembilan dunia terpaksa akur dengan kehebatan Amina yang mengisi ranking 10 dunia dengan kekalahan 8-11, 11-9, 12-10, 8-11, 11-6 pada perlawanan yang berlangsung selama 88 minit.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Malaysian Tigress layak ke separuh akhir

KUALA LUMPUR: Malaysian Tigress berjaya mengesahkan tiket ke separuh akhir Trofi Juara-Juara Asia di Bihar, India selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Thailand, hari ini.

Kemenangan pada perlawanan terakhir format liga sepusingan itu, ditambah dengan kekalahan 0-2 Korea Selatan kepada China, membolehkan skuad bimbingan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim mara ke separuh akhir selepas mengumpul keseluruhan enam mata daripada lima perlawanan.

Selain tuan rumah India dan China yang sudah mengesahkan tempat ke peringkat empat terbaik lebih awal, kekalahan Korea Selatan turut menyaksikan kemaraan pasukan Jepun.

Dan kejayaan itu juga membolehkan skuad negara memperbaiki pencapaian yang diperoleh pada tahun lalu.

Pada perlawanan itu, Nur Afiqah Syahzani Azhar meletakkan Malaysia di depan pada minit ke-41 apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Dan gawang Thailand sekali lagi bocor kali ini menerusi jaringan padang Nur Iman Adawiyah Mohd Suhaimi pada minit ke-53.

“Saya rasa kita tidak bermain seperti yang diharapkan kerana saya lihat masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki, terutamanya dari segi kecergasan dan daya saing berbanding pasukan gergasi Asia,” kata Nasihin.

Perlawanan separuh akhir dijadualkan berlangsung Selasa ini.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
‘Saya sudah kerah segala keringat’

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao mengakui sudah mengerah segala keringatnya dalam perlawanan final Masters Kumamoto, Jepun hari ini sebelum akur menamatkan kejohanan berstatus Super 500 BWF itu sebagai naib juara.

Pemain ranking ke-31 dunia itu tewas kepada pemain China yang juga pemain nombor sembilan dunia, Li Shi Feng 10-21, 13-21 dalam tempoh 44 minit.

Tampil dengan watak menggerunkan ‘pembunuh gergasi’ selepas menyingkirkan beberapa pemain terbaik dunia dalam perjalanan ke final, Jun Hao, 25, sedikit goyah terutama pada set pertama dan bergelut dengan corak permainan agresif Shi Feng.

Begitupun menurut pemain kelahiran Kuala Lumpur itu, dia berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan sepanjang kejohanan lebih-lebih lagi ia adalah penampilan pertamanya di final berstatus Super 500.

“Saya tidak mahu menjadikannya sebagai alasan tetapi sebenarnya badan saya masih belum pulih sepenuhnya dan sudah berusaha sebaik mungkin.

“Apapun, banyak yang saya pelajari sepanjang kejohanan ini di mana saya rasa lebih sabar dan lebih konsisten,” kata Jun Hao yang akan beraksi di Masters China minggu depan.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia