SEBANYAK 27 acara sukan teras dikenal pasti akan dipertandingkan pada Sukan Malaysia (Sukma) di Selangor pada 2026, antaranya olahraga, badminton, bola sepak, hoki, akuatik dan memanah, kata Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Mohd Najwan Halimi.
Katanya, sukan tambahan seperti catur, kabaddi, silambam dan sukan elektronik (e-sports) yang dipertandingkan pada Sukma Sarawak baru-baru ini juga akan dipertimbangkan pada temasya sukan dwitahunan edisi ke-22 itu.
“Kita akan pastikan 27 jenis sukan teras dan berprestasi tinggi itu akan dipertandingkan. Dari segi sukan tambahan, kita akan berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan persatuan-persatuan sukan untuk melihat keperluan dan kesesuaian ia dipertandingkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Santapan Tengah Hari Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah bersama pegawai dan pemenang pingat emas temasya Sukma ke-21 Sarawak di Istana Alam Shah, Shah Alam.
Mohd Najwan berkata, kontinjen Selangor dijangka mengekalkan antara 50 hingga 60 peratus daripada 700 atlet yang bersaing di Sukma Sarawak bagi membawa cabaran negeri itu pada edisi akan datang.
Tengku Amir (kiri) beramah mesra bersama atlet pada Majlis Santapan Tengah Hari Bersama Pegawai dan Pemenang Pingat Emas Temasya Sukma Sarawak 2024 di Istana Alam Shah.
Katanya, para atlet yang meraih pingat perak dan gangsa di Sarawak akan terus digilap dan dipersiapkan sebaik mungkin bagi mencerahkan peluang memenangi pingat emas.
Berhubung insentif kemenangan kepada atlet yang memenangi pingat pada Sukma Sarawak, Mohd Najwan berkata, insentif itu dijangka diserahkan pada Majlis Anugerah Sukan Selangor yang akan diadakan selewat-lewatnya November depan.
Untuk Sukma Sarawak, Selangor menjanjikan ganjaran RM10,000 kepada pemenang pingat emas individu, RM5,000 seorang bagi acara berpasukan bawah lima orang dan RM3,000 seorang bagi acara berpasukan lebih daripada lima orang, yang merupakan peningkatan tiga kali ganda berbanding temasya sama pada 2022.
Terdahulu Raja Muda Selangor berkenan berangkat ke majlis yang meraikan 101 atlet yang meraih pingat emas dalam pelbagai acara individu dan berpasukan pada Sukma Sarawak bulan lepas.
Pada temasya itu, Selangor yang menyasarkan kedudukan ketiga teratas mengakhiri pertandingan di tempat ketiga dengan memperoleh 56 pingat emas, 64 perak dan 61 gangsa.
Sukma 2024 menyaksikan penyertaan lebih 12,000 atlet dan pegawai yang bertanding bagi merebut 488 pingat emas daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan. – Bernama