Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
PARA SUKMA XXI SARAWAK 2024 – MAJLIS PENUTUPAN TEMASYA PARA SUKMA XXI SARAWAK 2024

KUCHING – Temasya Para SUKMA XXI Sarawak 2024 secara rasminya menutup tirai malam tadi di Stadium Perpaduan, Petrajaya.

Upacara penutup yang disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan YB Hannah Yeoh turut diserikan dengan persembahan unik daripada tuan rumah.

Untuk temasya kali ini, Jawatankuasa Pemilihan telah sebulat suara memilih atlet para renang dari Sabah, Shahafiq Abdullah untuk gelaran Atlet Lelaki Terbaik Para SUKMA Sarawak 2024.

Atlet berusia 20 tahun yang meraih 4 pingat emas, 1 perak dan 1 gangsa itu berjaya memecahkan 4 rekod kebangsaan menerusi acara kategori S6 (kecacatan fizikal) 100M gaya bebas, 100M gaya kuak lentang, 50M gaya kuak kupu-kupu dan 50M gaya bebas.

Manakala gelaran Atlet Wanita Terbaik dianugerahkan kepada atlet para memanah Pahang, Loh Chi Hui. Chi Hui yang berusia 34 tahun berjaya meraih 4 pingat emas menerusi acara WS/ST (Berkerusi roda) Individu Recurve Kelayakan, Pusingan Olimpik, Recurve Berpasukan Terbuka dan Recurve Berpasukan WS/ST dengan 1 rekod kebangsaan dan 2 rekod temasya.

Stadium Perpaduan semakin gamat apabila Kontinjen Sarawak diumum sebagai Juara Keseluruhan Para SUKMA Edisi 2024.

Sarawak yang mengungguli carta pungutan pingat sejak hari pertama temasya berlangsung telah meraih 82 emas, 53 perak dan 74 gangsa dan merampas kembali takhta juara yang diambil Sabah pada 2022 untuk mencatat kemenangan buat kali ke-14.

Pada temasya kali ini, kontinjen Negeri Di Bawah Bayu Sabah terpaksa akur di kedudukan naib juara dengan 62 emas, 42 perak dan 32 gangsa.