Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Skuasy mampu tamatkan kemarau pingat wanita di LA 2028

PETALING JAYA: Skuasy menjadi sandaran untuk menamatkan kemarau pingat Malaysia dalam kategori wanita pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028).

Kali terakhir atlet wanita negara meraih pingat di temasya terbesar dunia itu adalah menerusi gandingan penerjun Cheong Jun Hoong-Datuk Pandelela Rinong yang meraih perak dalam acara 10 meter (m) platform seirama.

Selain itu Goh Liu Ying bersama pasangannya, Chan Peng Soon turut membawa pulang perak bagi saingan badminton beregu campuran pada edisi 2016 di Rio de Janeiro.

Tiada atlet wanita yang berjaya menaiki podium di Olimpik Tokyo 2020 atau Olimpik Paris 2024 yang berakhir, bulan lalu.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh optimis pemain skuasy wanita negara mempunyai potensi besar bagi merealisasikan impian berkenaan.

“Apabila saya melihat senarai pemenang pingat di Olimpik Paris dan Paralimpik Paris, saya tidak nampak nama wanita dalam senarai itu.

“Jadi, pada Olimpik Los Angeles, kita bukan sahaja menjadi pemenang pingat emas, saya juga mahu melihat atlet wanita kita berada di podium.

“Skuasy di Malaysia agak luar biasa apabila terdapat lebih ramai atlet wanita berbanding lelaki yang berada dalam kelompok 100 terbaik dunia.

“Kita juga sudah meminta legenda skuasy, Datuk Nicol David untuk membantu merealisasikan impian itu. Dia dalam lembaga pengarah Institut Sukan Negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Piala Skuasy ACE Malaysia 2024, di sini, hari ini.

Hannah, berkata adalah penting untuk Malaysia melakukan persiapan awal bagi menghadapi LA2028.

“Sebaik kita tahu skuasy disenaraikan untuk LA2028 tahun lalu, kita segera melakukan persiapan. Ia penting sekiranya kita mahu memenangi pingat dengan China juga sudah persiapkan pemain mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Hannah ketika mengulas mengenai penganjuran Piala Skuasy ACE Malaysia, berkata kejohanan itu sangat penting dalam pembangunan sukan berkenaan di negara ini.

Kejohanan Jelajah Dunia PSA bertaraf gangsa itu akan berlangsung dari 12 hingga 17 November depan di pusat membeli belah The Curve.-Berita Harian