SEPANG: Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub merumuskan pencapaian kontinjen negara di Sukan Paralimpik Paris 2024 tetap boleh dibanggakan biarpun tidak berjaya mencapai sasaran empat pingat emas.
Beliau berkata kejayaan membawa pulang dua pingat emas, dua perak dan satu gangsa tidaklah jauh daripada sasaran.
“Kalau tengok Paralimpik Tokyo (2020) sehingga sekarang, bilangan pingatnya tetap sama iaitu lima.
“Sasaran empat emas dibuat oleh MPM (Majlis Paralimpik Malaysia) dan kita sokong tetapi kita tidak berjaya capai. Kita akui ketidakjayaan tetapi yang tidak dapat emas itu dapat perak.
“Bagi kita perak itu pun satu pencapaian yang tinggi dan mereka sudah cuba lakukan yang terbaik untuk dapatkan emas.
“Cuma, saat-saat akhir emas gugur ke tangan negara lain menerusi lompatan terakhir atau balingan kedua atau ketiga terakhir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas tiba bersama kontinjen negara dari Paris di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.
Terdahulu, kontinjen negara yang dibarisi 30 atlet menerima sambutan wira sebaik tiba di KLIA.
Ketibaan mereka disambut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dr Nagulendran Kangayatkarasu.
Turut hadir ahli keluarga atlet selain kira-kira 200 orang peminat sukan tempatan yang sudah menunggu sejak jam 8 malam.
Atlet dan pegawai kontinjen para negara tiba menerusi penerbangan Oman Air WY823 yang selamat mendarat pada jam 8.10 malam.
Sejurus keluar dari Balai Ketibaan, Hannah turut menyampaikan cenderahati kepada semua atlet yang menggalas cabaran negara di Paralimpik Paris yang melabuhkan tirainya, Isnin lalu.
Di Sukan Paralimpik Paris, Malaysia menamatkan saingan di kedudukan ke-42 keseluruhan apabila meraih dua emas, dua perak dan satu gangsa.
Dua emas negara disumbang jaguh badminton para, Cheah Like Hou bagi acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) dan jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin yang mendominasi acara lelaki 72kg manakala perak diraih Datuk Abdul Latif Romly dalam acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) dan Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual).
Satu gangsa pula dihadiahkan seorang lagi atlet olahraga para Eddy Bernard dalam acara 100m lelaki T44 (kecacatan fizikal).-Berita Harian