Ziyad belum fikir untuk bersara

PARIS: Kejayaan meraih pingat perak pada edisi kali ini berjaya memadam episod gelap menghantui jaguh olahraga para negara Muhammad Ziyad Zolkefli yang dibatalkan penyertaannya gara-gara lewat ke bilik panggilan pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Mengambil iktibar daripada insiden berkenaan, atlet berusia 34 tahun itu hadir 20 minit lebih awal ke bilik panggilan di Stade de France sebelum memulakan aksi acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual) Paralimpik Paris 2024 awal pagi tadi.

Menurut Ziyad, walaupun tidak berjaya merampas semula pingat emas namun dia tetap berpuas hati dapat kembali menaiki podium selepas kali terakhir melakukannya di Rio 2016.

“Alhamdulillah, untuk sumbang perak ia lebih baik daripada tiada langsung. Bagi saya memang harapan tinggi untuk pingat emas namun saya tidak rasa kecewa sangat kerana sudah cuba beri yang terbaik tadi.

“Kisah yang menghantui saya (Tokyo 2020) akhirnya sudah habis. Lega rasanya kerana detik itu memang menghantui saya sejak tiga tahun lalu hingga saya tertekan dan kini saya dapat buktikan dengan pingat perak, macam mimpi pun ada,” katanya.

Muhammad Ziyad Zolkefli (kiri) bersama pemenang emas Oleksandar Yarovyi (tengah) dan gangsa Maksym Koval, kedua-duanya dari Ukraine di podium selepas meraih perak lontar peluru F20 lelaki Sukan Paralimpik Paris 2024 di Stade de France, awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Muhammad Ziyad Zolkefli (kiri) bersama pemenang emas Oleksandar Yarovyi (tengah) dan gangsa Maksym Koval, kedua-duanya dari Ukraine di podium selepas meraih perak lontar peluru F20 lelaki Sukan Paralimpik Paris 2024 di Stade de France, awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Pada pertandingan akhir, Ziyad meraih pingat perak dengan catatan 17.18 meter di belakang atlet Ukraine, Oleksandr Yarovyi yang melakukan rekod dunia baharu 17.61m untuk emas.

Rakan sepasukannya, Maksym Koval, yang menang emas di Tokyo 2020 selepas kemnya membantah kelewatan Ziyad, pula terpaksa berpuas hati dengan gangsa selepas melakukan lontaran sejauh 16.99m.

Ziyad, atlet dari Selangor terus memasang azam untuk kembali beraksi pada edisi 2028 di Los Angeles dengan menyasarkan membawa pulang pingat emas buat Malaysia.

“Saya tidak pernah terfikir untuk pencen lagi. Mungkin saya akan beraksi lagi untuk Sukan Paralimpik seterusnya dan bergantung pada keadaan badan saya ketika itu untuk cuba buat terbaik.

“Selepas ini, saya akan berehat sebentar dan meluangkan masa bersama keluarga,” katanya.

Pada masa sama Ziyad mendedikasikan pingat perak dimenanginya kepada bapanya Zolkefli Othman yang menyambut hari lahir ke-70 tiga hari lalu. – BERNAMA