Kuala Lumpur: Beraksi di Jelajah Dunia Akhir 2024 menjadi impian Choong Hon Jian-Haikal Nazri selepas beregu lelaki negara itu menewaskan rakan seperjuangan, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani di pusingan pertama Terbuka Korea, hari ini.
Hon Jian-Haikal yang kini menghuni ranking kelima Jelajah Dunia menewaskan juara Terbuka Jepun, Sze Fei-Nur Izzuddin 13-21, 21-16, 21-16 dalam tempoh 55 minit di Stadium Tertutup Mokpo.
Kemenangan dilakar Hon Jian-Haikal itu membawa mereka ke pusingan kedua untuk bertemu gandingan tuan rumah, Choi Sol Gyu-Heo Kwang Hee.
“Ranking kami di Jelajah Dunia juga OK, saya dan Hon Jian ada sasarkan (ke Jelajah Dunia Akhir).
“Minggu lalu (di Terbuka Jepun) kami kalah di pusingan kedua dengan Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto (Indonesia). Di kejohanan ini (Terbuka Korea) undian agak bertuah juga kerana (antara) Malaysia-Malaysia.
“Nak tak nak kena lawan juga, dan kami menang (Sze Fei-Nur Izzuddin). Alhamdulillah, ini mungkin salah satu untuk kami cari lebih mata ke Jelajah Dunia (Akhir),” kata Haikal dalam satu temu bual bersama SPOTV Malaysia, hari ini.
Mengulas mengenai perlawanan menentang Sze Fei-Nur Izzuddin yang akan meninggalkan kem kebangsaan pada 1 September ini, Hon Jian berkata: “Set pertama, kami tak keluarkan ‘speed’, semua adalah kerana kesalahan sendiri.
“Namun selepas itu, ‘speed’ kami bertambah dan gaya permainan kami menjadi.”
Sementara itu, turut mara ke pusingan kedua ialah dua gandingan profesional, Boon Xin Yuan-Goh V Shem dan Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong.
Beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing juga mara ke pusingan kedua selepas mengalahkan Presley Smith-Allison Lee dari Amerika Syarikat 21-14, 21-11.-Berita Harian