Rexy cari pengganti Sze Fei-Nur Izzuddin

KUALA LUMPUR: Satu perbincangan bersama barisan kejurulatihan dan pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk V Subramaniam akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan pelan jangka panjang skuad kebangsaan.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky selepas beregu lelaki, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani bakal meninggalkan badan induk itu untuk bergerak secara profesional bermula 1 September ini.

“Buat masa ini, ramai jurulatih yang berada di luar untuk Terbuka Jepun dan Korea.

“Sebaik mereka pulang, kita akan adakan pertemuan bersama (pemangku) presiden.

“Datuk Subramaniam sudah meminta saya serta jurulatih untuk membincangkan pelan 2028 (Olimpik Los Angeles). Tetapi sebelum itu, kita ada Sukan SEA, kami juga perlu bincangkan mengenai pemain yang bukannya kita hantar untuk peroleh pengalaman semata-mata tetapi mampu membawa pulang pingat.

“Bukan seperti sebelum ini yang kita dikejutkan Filipina, selepas itu kita ada Sukan Komanwel dan Sukan Asia dan terakhir sekali Olimpik. Buat masa ini, kita boleh lihat semua pemain atau beregu berkemampuan di beregu lelaki.

“Lima termasuk Aaron Chia-Soh Wooi Yik… dan (beregu lain) boleh mencabar untuk Aaron-Wooi Yik bagi 2028 nanti,” kata Rexy.

Semalam, BAM mengesahkan Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani bakal meninggalkan kem kebangsaan dan bergerak secara profesional bermula 1 September ini.-Berita Harian