Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Bryan pecah rekod temasya dua kali

KUCHING: Perenang kebangsaan Bryan Leong memecahkan rekod acara 50 meter kuak kupu-kupu lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 sebanyak dua kali di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, di sini hari ini.

Bryan, pelajar neurosains dan psikologi di King’s College London memecah rekod SUKMA berusia 10 tahun milik Chan Jie 25.13 saat yang dilakukannya pada peringkat saringan dengan 24.81s.

Perenang berusia 21 tahun dari Wilayah Persekutuan (WP) itu meraih pingat emas dengan catatan 24.46s, tetapi tidak dapat memperbaiki rekod kebangsaan miliknya 24.08s dilakukan di AP Race London International 2024 pada Mei lalu.

Chris Chew dari Pulau Pinang meraih perak selepas mencatat 24.94s diikuti Bernie Lee (25.17s) dari Johor dengan gangsa.

Bryan kemudiannya membantu Chong Xin Lin, Cham Yu Xiang dan Lee Wei Wen menghadiahkan pingat perak buat kontinjen WP dalam acara 4×100 rampaian campuran yang kali pertama dipertandingkan di SUKMA dengan catatan 4:02.20s.

Perenang WP, Bryan Leong memperagakan pingat emas yang dimenangi dalam acara 50m kuak kupu-kupu lelaki dengan rekod baharu temasya 24.46s pada SUKMA Sarawak 2024 di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, hari ini. – Foto BERNAMA
Perenang WP, Bryan Leong memperagakan pingat emas yang dimenangi dalam acara 50m kuak kupu-kupu lelaki dengan rekod baharu temasya 24.46s pada SUKMA Sarawak 2024 di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, hari ini. – Foto BERNAMA

Selangor dibarisi Teoh Kar Chuan, Andrew Goh, Lim Shun Qi dan Khew Zi Xian mencipta sejarah muncul pemenang pingat emas pertama acara berkenaan selepas mencatat 4:00.30s meninggalkan wakil tuan rumah Jeff Chua, Hii Puong Wei, Magdalene Lau and Kelly Teo Yao dengan 4:09.15s.

“Saya sasarkan untuk memperbaiki rekod kebangsaan, tapi tetap gembira sumbang emas kepada Wilayah Persekutuan dan pecah rekod temasya sebanyak dua kali. Saya akan cuba perbaiki rekod kebangsaan dalam acara 110m kuak kupu-kupu Khamis ini dan menang pingat acara 4x100m gaya bebas esok,” katanya kepada pemberita.

Bryan, yang meraih lima pingat emas dan satu perak pada edisi lalu, hanya boleh mengambil bahagian dalam dua acara individu dan berganti-ganti berdasarkan peraturan temasya mengehadkan penyertaan bagi mereka yang mewakili negara di Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

Bryan beraksi di Sukan Komanwel Birmingham 2022 dan Sukan Asia Hangzhou. – BERNAMA