Kisah duka Puteri Durratun raih emas

KUCHING: Luar nampak ceria namun atlet taekwondo Sarawak Puteri Durratun Zulaikha Samat sebenarnya memendam pelbagai kisah duka di sebalik emas yang diraih dalam sukan taekwondo kategori bawah 73 kilogram (kg) wanita di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak, semalam.

Hal ini kerana, di sebalik kemenangannya itu Puteri Durratun Zulaikha sebenarnya mempunyai kisah duka hingga ahlinya keluarganya tidak dapat bersama meraikan kejayaan mengharumkan nama Sarawak di pentas SUKMA.

Ketika ini, ayah kepada atlet berusia 19 tahun itu bergelut melawan penyakit kronik selepas disahkan menghidap penyakit jantung dan usus bocor sekali gus menyebabkan pergerakannya terbatas.

Puteri Durratun Zulaikha yang kelihatan sebak apabila berkongsi mengenai kehidupannya memaklumkan bahawa ibu bapanya hanyalah kerja kampung sekali gus mereka sekeluarga perlu berjimat dalam setiap perbelanjaan harian.

“Ketika saya masih kecil, ayah disahkan menghidap penyakit leukemia namun sudah beransur pulih sebelum diserang pula penyakit lain sejak setahun lalu.

“Saya mengambil keputusan untuk berkorban demi keluarga dengan menyertai sukan taekwondo kerana dengan cara ini saja mungkin boleh ubah kehidupan lebih senang,” katanya yang berasal dari Subuyau, Sarawak.

Selain itu, Puteri Durratun Zulaikha yang membuat penampilan pertama di pentas SUKMA memaklumkan dia adalah satu-satunya individu berasal dari Subuyau menceburi sukan taekwondo.

“Jika diikutkan, hanya saya seorang saja menyertai taekwondo di Subuyau. Penduduk di Subuyau lebih mengenali silat berbanding taekwondo malah ada yang tidak mengetahui berkaitan sukan ini.

Puteri Durratun Zulaikha Samat meraikan kejayaan selepas memenangi pingat emas dalam perlawanan menentang atlet Taekwondo Terengganu Fu Chervyn dalam acara -73 kg wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 di Stadium Perpaduan Petra Jaya. - BERNAMA
Puteri Durratun Zulaikha Samat meraikan kejayaan selepas memenangi pingat emas dalam perlawanan menentang atlet Taekwondo Terengganu Fu Chervyn dalam acara -73 kg wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 di Stadium Perpaduan Petra Jaya. – BERNAMA

“Saya mula menyertai taekwondo secara serius sejak berusia 13 tahun. Ketika itu jurulatih hadir ke sekolah bagi mencari pelajar perempuan yang memiliki ketinggian tertentu untuk menyertai kem latihan taekwondo.

“Ini adalah peluang untuk mengubah nasib keluarga menyebabkan saya mengambil keputusan menyertai pasukan taekwondo walaupun terpaksa berkorban masa dan tenaga,” katanya yang memaklumkan jarak Subuyau ke Kuching mengambil masa tiga jam perjalanan.

Anak bongsu daripada empat beradik itu juga berkata, dia akan menggunakan wang insentif kemenangan RM15,000 untuk membuat rawatan di bahagian pinggang yang cedera sejak enam bulan lalu selain turut mahu membawa ahli keluarga makan angin kelak.

“Saya hanya memikirkan untuk membantu dan menggembirakan ahli keluarga. Walaupun saya baru saja berusia 19 tahun namun itulah tanggungjawab yang harus dipikul,” katanya yang bercita-cita menjadi anggota polis.-Berita Harian