Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Shah Firdaus sebak tak dapat tunai janji bawa ibu pergi umrah

KUALA LUMPUR: Atlet berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom tidak dapat menyembunyikan rasa sebaknya selepas impiannya untuk membawa pulang pingat menerusi acara keirin lelaki di Sukan Olimpik 2024 tidak kesampaian, petang tadi.

 Muhammad Shah Firdaus Sahrom pada Sukan Olimpik Paris 2024 di Saint-Quentin-en-Yvelines National Velodrome hari ini. - Foto BERNAMA
Muhammad Shah Firdaus Sahrom pada Sukan Olimpik Paris 2024 di Saint-Quentin-en-Yvelines National Velodrome hari ini. – Foto BERNAMA

Menerusi temuramah bersama Astro Arena, kekecewaan tidak dapat membawa pulang emas boleh dianggap berganda memandangkan dia sudah berjanji untuk membawa ibunya menunaikan umrah sekiranya meraih kemenangan pada acara keirin di Paris itu.

“Saya minta maaf pada rakyat Malaysia. Sebenarnya saya dah janji dengan mak saya, kalau saya menang, saya nak bawa dia pergi umrah. Allah tahu apa yang lebih baik untuk saya.

“Saya sudah nampak pingat di depan saya. Kaki dan badan saya berada dalam keadaan yang terbaik sejak dari semalam. Saya sudah berada dalam zon saya dan saya tahu saya boleh tewaskan pencabar saya.

“Tetapi macam yang saya cakap, inilah keirin dan apa sahaja boleh terjadi. Jadi ini bukan masanya untuk saya salahkan siapa-siapa. Boleh awak bayangkan pelumba terakhir boleh dapat pingat gangsa?

“Saya memang dah ada dekat situ (pingat gangsa), jadi saya perlu ambil masa untuk masa untuk menghadam benda ini dan ia tidak mudah,” kata pelumba berusia 28 tahun itu.

Terdahulu, Shah Firdaus mampamerkan semangat juang tinggi sebelum terpaksa berpuas hati dengan kedudukan keenam pada final keirin di Sukan Olimpik Paris 2024.

Pada perlumbaan di Velodrom Saint Quentin en Yveline itu, Shah Firdaus mengalami nasib malang apabila dia yang suatu ketika dilihat berada di kedudukan untuk sekurang-kurangnya meraih gangsa pada pusingan terakhir dilanggar pelumba Jepun, Shinji Nakano yang mengakibatkanya terjatuh.

Dia yang tidak dapat menamatkan perlumbaan diklasifikasi berada di kedudukan keenam.-Berita Harian