Olimpik Paris: Tunggu kayuhan Izzah di LA28

KETUA jurulatih berbasikal trek kebangsaan, John Beasley menaruh sepenuh kepercayaan terhadap kemampuan anak buahnya, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri untuk mencapai prestasi kemuncak pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028).

Selepas menamatkan saingan pada Sukan Olimpik Paris 2024, Beasley percaya pelumba berusia 20 tahun itu memiliki masa yang cukup bagi memperbaiki teknik selain menguasai sepenuhnya seni perlumbaan.

Beliau berkata, Izzah ketika ini masih belum memiliki pengetahuan secukupnya mengenai taktikal perlumbaan dan ia bakal diraih menerusi kejohanan-kejohanan yang akan disertainya selepas ini.

“Saya bangga dengan apa yang dilakukan Izzah kerana dia sudah sampai sejauh ini dalam tempoh cukup singkat. Ya memang benar dia masih kurang dari segi taktik perlumbaan tetapi ia boleh dipelajari dalam setiap pertandingan.

“Perancangan untuk tempoh beberapa tahun selepas ini adalah untuk memastikan Izzah mempelajari seni perlumbaan bagi memastikan dia benar-benar bersedia untuk LA2028,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Kelmarin, atlet kelahiran Sungai Petani, Kedah itu mengakhiri cabaran pada Olimpik Paris selepas terkandas dalam saingan repechage pusingan 1/32 pecut wanita apabila menamatkan perlumbaan di tempat kedua.

Bagaimanapun, Izzah masih boleh berbangga apabila memperbaharui rekod kebangsaan dalam saingan kelayakan acara pecut selepas mencatat 10.709 saat (s), memadam rekod lamanya 10.903s dilakukan pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) tahun lalu.

Rabu lalu, pemenang dua pingat emas ACC 2024 itu juga tidak dapat meneruskan cabaran ke suku akhir acara keirin wanita apabila tersingkir pada saingan repechage pusingan pertama.

“Dia akan menjadi lebih pantas untuk kitaran Olimpik akan datang. Apa yang perlu diperbaiki selepas ini adalah dari segi kekuatan, kepantasan serta taktikal perlumbaan,” ujar Beasley.-Kosmo