Atlet peraga peningkatan prestasi di Paris 2024

KUALA LUMPUR: Malaysia tampaknya perlu menunggu empat tahun lagi untuk mendapatkan kilauan pingat emas di Los Angeles selepas edisi 2024 di Paris gagal menerbitkan butiran pingat emas pertama yang dinanti-nantikan negara ini.

Namun Ketua Kontinjen Sukan Olimpik 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin menyifatkan semua atlet yang bertanding di Paris berjaya menunjukkan peningkatan prestasi pada temasya sukan terbesar dunia itu sekali gus memberi petanda positif dalam pemburuan pingat emas pertama di Olimpik.

Justeru, Hamidin menegaskan usaha ini perlu diteruskan dalam persiapan kontinjen negara ke Los Angeles dan impian untuk mendapatkan pingat emas itu perlu bermula selepas berakhirnya kempen di Paris, hari ini.

“Kita harus faham bahawa Sukan Olimpik ini di peringkat dunia dan kita perlu berpijak di bumi nyata. Kita menghantar 26 atlet dan kita cuba untuk memburu pingat emas. Kita perlu memahami hakikat di mana letaknya kedudukan dan ranking kita.

“Ranking kita paling dekat adalah Datuk Azizulhasni Awang yang meraih perak di Tokyo dan tiga terbaik sehingga Olimpik. Kita pun tiada pemain badminton di ranking nombor satu dunia tetapi mereka menunjukkan prestasi di tahap tertinggi.

“Kita lihat M Thinaah/Pearly Tan, mereka berada dalam empat terbaik. Kita tengok Lee Zii Jia dapat gangsa, begitu juga dengan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik. Chen Tang Jie/Toh Ee Wei pula ada dalam lapan terbaik.

“Atlet lain seperti Aniq Kasdan yang mendapat nombor empat. Begitu juga dengan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom dalam basikal trek. Kebanyakan mereka menunjukkan peningkatan yang membanggakan walaupun tidak mendapat pingat.

“Secara keseluruhan, prestasi atlet kita meningkat di peringkat dunia dan ini perlu diteruskan untuk persiapan ke Los Angeles,” kata Hamidin.

Sebagai rekod, kontinjen negara membawa pulang dua pingat gangsa pada kempen kali ini menerusi acara beregu lelaki diwakili Aaron-Wooi Yik dan perseorangan lelaki, Zii Jia.

Sebanyak tiga rekod kebangsaan berjaya dipecahkan di Paris menerusi Aniq dalam kategori 61 kilogram (kg) menerusi angkatan snatch 130kg untuk angkata keseluruhan 297kg, Datuk Azizulhasni Awang dalam acara pecut yang melakukan 9.402 saat pada pusingan kelayakan dan Izzah dalam acara pecut wanita (10.709s).

Lima catatan peribadi terbaik turut dicatat atlet negara menerusi Azizulhasni, Shah Firdaus dan Izzah (basikal trek), Aniq (angkat berat) dan Syaqiera Mashayikh (memanah).-Berita Harian