Terjunan ketiga, keempat lebur impian podium Dhabitah

KUALA LUMPUR – Ratu terjun negara, Nur Dhabitah Sabri menamatkan saingan 3 meter (m) papan anjal wanita pada Sukan Olimpik Paris 2024 di kedudukan ke-12 selepas mengutip 244.80 mata keseluruhan.

Pada aksi final yang berlangsung di Pusat Akuatik Olimpik, Saint-Denis sebentar tadi, atlet berusia 25 tahun itu memulakan saingan dengan langkah kanan apabila mencatat 63.00 mata menerusi terjunan pertama.

Selepas menamatkan terjunan pertama di tempat ketiga, dia meneruskan aksi cemerlang itu pada terjunan kedua dengan mengutip 60.00 mata bagi mencabar kedudukan kelompok tiga teratas.

Bagaimanapun, harapan untuk mendapatkan kedudukan podium lebur apabila sedikit kesilapan menyebabkan Dhabitah sekadar mencatat 37.50 mata pada terjunan ketiga, sekali gus mengakibatkan kedudukannya terperosok ke tempat ke-11.

Hasrat pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu untuk memperbaiki kedudukan pada terjunan keempat juga menemui jalan buntu apabila dia mengutip 28.50 mata, sekali gus jatuh ke kedudukan tercorot daripada 12 peserta.

Terjunan kelima dan terakhir menyaksikan Dhabitah memperbaiki prestasi apabila mengutip 55.80 mata, namun ia tidak membawa sebarang makna apabila kedudukannya kekal di tempat ke-12.

Sementara itu, pingat emas menjadi milik juara dunia dari China, Chen Yiwen yang mengutip 376.00 mata keseluruhan, diikuti penerjun Australia, Maddison Keeney (343.10 mata) dengan perak manakala gangsa menjadi milik Chang Yani (318.75 mata) juga dari China.

Biarpun tidak dapat membawa pulang sebarang pingat, namun pencapaian mara ke pentas final boleh dianggap membanggakan memandangkan Dhabitah mara ke Olimpik Paris pada saat akhir selepas mendapat tiket wildcard.

Sebagai rekod, pencapaiannya pada edisi kali ini boleh dianggap menurun jika dibandingkan ketika dia menamatkan saingan Olimpik Tokyo 2020 di kedudukan keempat dengan 326.15 mata keseluruhan. – KOSMO! ONLINE