Olimpik Paris: Pecutan Izzah tersekat di pusingan repechage 1/32

KUALA LUMPUR – Impian bintang muda berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri untuk mara lebih jauh pada penampilan sulungnya di Sukan Olimpik Paris 2024 tidak kesampaian apabila terkandas dalam acara pecut pusingan repechage 1/32 sebentar tadi.

Pada aksi yang berlangsung di Saint-Quentin-en-Yvelines Velodrome tersebut, pelumba berusia 20 tahun itu memberikan aksi bertenaga tetapi sayang henjutan terakhirnya gagal untuk memintas Lauriane Genest dari Kanada yang mengungguli perlumbaan untuk mara ke pusingan 1/16.

CUBAAN Nurul Izzah untuk mengejar pelumba Kanada, Lauriane Genest di Sukan Olimpik Paris 2024.-Foto: MOM

Biarpun Nurul Izzah berjaya memintas pelumba Jepun, Riyu Ohta pada pusingan repechage 1/32 tersebut, bagaimanapun hanya seorang sahaja yang layak ke pusingan 1/16.

Terdahulu, pelumba kelahiran Kedah itu apabila berjaya memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri pada pusingan kelayakan acara pecut dengan catatan masa 10.709 saat.

Catatan terbaik itu sekali gus memperbaharui rekod kebangsaan miliknya yang dilakukan pada Kejohanan Trek Berbasikal Asia (ACC) di Nilai tahun lalu dengan catatan 10.903s.

GAMBAR ‘photo finish’ antara pelumba negara, Nurul Izzah dan pelumba Kanada, Lauriane Genest.

Catatan terbaik itu membolehkan Nurul Izzah berada dalam kelompok 24 pelumba terbaik untuk mara ke pusingan 1/32 tertapi sayang dia gagal untuk menandingi kehebatan pelumba  sensasi Jerman, Lea Friedrich dan menyertai pusingan repechage. -KOSMO! ONLINE