KUALA LUMPUR: Biarpun terpaksa akur pulang awal namun pemanah negara, Syaqiera Mashayikh tetap berfikiran positif dengan menyifatkan prestasinya di Sukan Olimpik Paris 2024 lebih konsisten.
Syaqiera yang membuat penampilan sulung di Tokyo 2020 berkata, secara keseluruhan dia berpuashati dengan panahan konsistennya kali ini dan bertekad memasang impian menjadi pesaing utama pingat di Sukan SEA Thailand, tahun depan.
“Prestasi sebelum ini agak mendatar, tetapi di sini ada nampak prestasi saya meningkat dan panahan saya konsisten. Cuaca memang panas pada hari ini.
“Berbanding Tokyo, keadaan di sini lebih meriah dengan saingan pun lebih sengit. Apa perlu ditingkatkan ialah skil dan mental ketika pertandingan kerana ia penting untuk menentukan pemenang,” katanya.
Terdahulu, hasrat atlet berusia 23 tahun itu untuk mara ke aksi penyingkiran 1/8 tidak kesampaian apabila tewas 5-6 kepada Ana Luiza Sliachticas Caetano dari Brazil hari ini.
Syaqiera dan Caetano masing-masing mempamerkan aksi sengit sehingga keputusan terpaksa ditentukan menerusi ‘shoot-off’ selepas kedua-dua atlet terikat 5-5 pada aksi penyingkiran 1/16.
Sebelum itu, Syaqiera mara ke pusingan 1/16 selepas menewaskan lawan berpengalaman yang juga olimpian tiga kali dari Moldova, Alexandra Mirca dengan keputusan 6-0 dalam saingan 1/32.
Esok, dua lagi pemanah, Ariana Nur Diana Mohamad Zairi dan Nurul Azreena Mohamad Fazil bakal beraksi dalam acara individu dalam pusingan penyingkiran 1/32.
Ariana dijadual bertemu Ciara Rebagliati dari Itali, manakala Nur Azreena akan mencabar wakil Turkiye, Elif Berra Gokkir.-Berita Harian