Melaka: Skuad ragbi lelaki Melaka menyasarkan untuk berada dalam kelompok empat pasukan terbaik pada Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak bulan depan.
Presiden Persatuan Ragbi Negeri Melaka Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata pihaknya optimis sasaran mampu dicapai berdasarkan prestasi dan pasukan yang dibentuk ketika ini.
Beliau berkata sejak 2022, persatuan itu mengenal pasti hampir 60 pemain berpontensi sebelum disenarai pendek kepada 12 pemain terbaik untuk mewakili Melaka pada temasya itu.
“Kita menyasarkan sekurang-kurangnya menghadiahkan pingat untuk acara ini namun tidak dapat menentukan warnanya… kita akan cuba memastikan untuk menjadi empat pasukan terbaik.
“Persiapan rapi juga dilakukan sejak setahun lepas dan pemain-pemain kini bersiap sedia sepenuhnya selepas giat menjalani latihan,” katanya kepada pemberita di sini.
Hameed berkata kebanyakan pemain yang mewakili Melaka itu juga pernah beraksi pada edisi SUKMA sebelum ini ketika rata-rata mereka berumur 19 tahun.
“Keserasian pasukan telah dibentuk sejak tempoh itu selain terdapat tambahan seorang, dua pemain baharu yang dibawa masuk.
“Dengan segala perancangan yang diatur, kita percaya ia dapat membuahkan hasil jika pasukan ini mampu menterjemahkan segala yang telah kita usahakan selama ini,” katanya.
Acara ragbi dijadual berlangsung di Stadium Miri dari 19 hingga 22 Ogos.-Harian Metro