Seremban: Sasaran kontinjen Negeri Sembilan untuk meraih kutipan sekurang-kurangnya 20 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak, yang akan bermula 17 Ogos ini, dianggap realisitik.
Perkara itu ditegaskan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan merangkap Ketua Kontinjen Negeri Sembilan, Mustapha Nagoor, bahawa ia berdasarkan penyertaan atlet negeri itu dalam 30 daripada keseluruhan 37 acara sukan yang dipertandingkan.
“Sasaran 20 pingat emas itu dianggap realistik kerana kita sedar cabaran Sukma kali ini berbeza dengan temasya sama sebelum ini khususnya membabitkan beberapa acara sukan dan atlet baharu berbakat yang akan memberikan cabaran.
“Walaupun mungkin kita berpeluang melepasi sasaran berkenaan, tapi kita tidak mahu beri tekanan awal kepada atlet sebaliknya memberi peluang sebaiknya kepada mereka untuk mempamerkan kehebatan masing-masing.
“Selepas persiapan atlet kita menghampiri 100 peratus, saya yakin dan percaya kesemua mereka kini sudah memiliki kekuatan mental serta fizikal yang baik untuk berjuang bagi menjulang nama Negeri Sembilan di Sukma nanti,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani persefahaman antara Negeri Sembilan FC (NSFC) dengan Jant Marketing Sdn Bhd (Jantzen) yang bertindak sebagai rakan air minuman pasukan NSFC musim 2024, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Majlis Sukan Negeri, Datuk Sabuddin Sani; Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus dan Ketua Pegawai Eksekutif Jantzen, Calvin Yee Jong Hoe.
Dalam pada itu, Mustapha berkata, kerajaan negeri juga sudah menyediakan sejumlah dana sebagai insentif kepada atlet negeri itu yang berjaya dan meraih pencapaian cemerlang di Sukma Sarawak nanti.
Untuk rekod, pada Sukma edisi lalu di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan menduduki tempat ke-10 selepas meraih 19 pingat emas, enam perak dan 28 gangsa.
Kali ini, kontinjen negeri itu menyasarkan kutipan pingat emas menerusi beberapa acara antaranya olahraga, lumba basikal, menembak, perahu layar, squash, akuatik dan bola sepak.-Harian Metro