Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Zii Jia fokus misi Olimpik Paris

SEPANG: Pengembaraan Lee Zii Jia bagi memburu pingat emas Sukan Olimpik 2024 bermula apabila dia bersama pasukannya berlepas ke Paris, malam ini.

Pemain perseorangan lelaki nombor tujuh dunia itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 7.30 dengan dia dijadual berlepas jam 9.45 malam menerusi penerbangan Singapore Airlines.

Bekas juara Seluruh England itu ditemani pengurus yang juga kakaknya, Lee Zii Yii; jurulatih, Wong Tat Meng; jurulatih kecergasan, Lim Joe Heang; fisioterapi, Rayvadee Rattanakthada dan rakan sepelatih, Lee Shun Yang.

Bagaimanapun, Zii Jia mengambil pendekatan ‘mengunci mulut’ apabila enggan ditemu bual oleh pihak media yang hadir membuat liputan.

Difahamkan, hanya Zii Jia dan Tat Meng akan menginap di perkampungan atlet yang terletak di Daerah Saine-Saint-Denis di luar Paris memandangkan hanya mereka yang mendapat akreditasi.

Di Paris kali ini, Zii Jia diundi dalam Kumpulan G bersama pemain Sepanyol, Pablo Abian dan Viren Nettasinghe dari Sri Lanka.

Sebelum ini, Zii Jia secara terbuka menetapkan sasaran untuk membawa pulang emas dari Paris.

Olimpik Paris menjadi penampilan kedua Zii Jia di temasya terbesar dunia itu selepas Olimpik Tokyo 2020, tiga tahun lalu.

Ketika itu, dia terpaksa akur apabila tersingkir di suku akhir selepas tewas di tangan pemain China, Chen Long.-Berita Harian