Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives July 4, 2024

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Olahraga tuai emas AUG 2024

MALANG: Semangat Olimpian negara, Muhamad Azeem Fahmi jelas membara apabila terus menggegar bumi Surabaya selepas meraih emas kedua peribadinya di Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024.

Selepas membantu kuartet 4×100 meter (m) negara meraih pingat emas semalam, penuntut Universiti Auburn itu menggungguli acara 200m pada perlumbaan di Gelanggang Olahraga Universitas Negeri Surabaya (UNESA), petang tadi.

Azeem mencatat 21.15 saat (s) untuk mengetepikan pelari Indonesia, Muhammad Fitadi (21.43s) dan pelari Thailand, Ruamchok Semathong (21.80s).

Selain Azeem, skuad olahraga turut menambah tiga lagi pingat emas menerusi acara tukul besi lelaki, 800m lelaki dan lompat tinggi lelaki.

Balingan sejauh 59.18m sudah cukup buat Sadat Marzuqi Ajisan meraih pingat emas dalam acara tukul besi lelaki, jauh meninggalkan pemenang pingat perak yang juga atlet tuan rumah, Rafika Putra dengan 47.48m.

Wan Muhamad Fazri bin Wan Zahri menambah emas dalam acara 800m dengan catatan 1:51.28s manakala pingat emas acara lompat tinggi disumbangkan Muhammad Aiman Syazwan dengan catatan 2.1m.

Selepas tiga hari acara olahraga berlangsung, mereka sudahpun meraih 10 pingat emas secara keseluruhan.

Sebelum ini, pingat emas dimenangi menerusi acara lempar cakera wanita, lompat jauh lelaki, lontar peluru wanita, 400m lelaki, 400m wanita serta 4x100m lelaki.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
WOMEN TO WOMEN SPORTS COACHING SYMPOSIUM 2024

Simposium tersebut di bawah kendalian Teras 4 : Program Wanita Dalam Sukan telah berlangsung selama 2 hari pada 2 dan 3 Julai 2024 dan telah dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh.

Seramai 7 orang barisan SPEAKER yang telah berkongsi pengalaman dan pengetahuan kepada peserta-peserta yang mengikuti simposium ini yang terdiri daripada:

-From Athlete Transform to Coach-

1) Pn. Siti Shahida Binti Abdullah

Jurulatih Olahraga

2) Pn. Karen Loh Kher Heem

Pengarah Malaysia Women Marathon

-Women Coaching in Japan Perspective-

3) Prof. Masamitsu Ito

NSSU Coach Developer

Academy, (NCDA)

-Coaching Framework-

4) Pn. Wan Norafzan Binti Wan Mahadi

Pengarah Akademi Kejurulatihan

Kebangsaan (AKK), ISN

-Relative Energy Deficiency in Sport (RED-S)-

5) Pn. Chai Wen Jin

Pegawai Integrated Recovery Centre, ISN

-Female Athlete and Menstruation-

6) Dr. Jerilee Azhary

Pakar Obstetrik & Genikologi

-Safe Sport-

7) YBhg. Datuk Marina Chin Leng Sin

Pengerusi Panel Penasihat Kejurulatihan Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK), ISN

Manakala 8 orang penceramah bengkel praktikal interaksi dengan pembahagian kepada 4 kelas bertajuk :

-Sports Medicine (Acute Injury Management)-

1) Dr. Samihah Binti Abdul Karim

2) Dr. Wan Nadiah Zainab Binti Wan

Azman

-Sports Nutrition (Fluid 1st! Choose The Best For You)-

3) Dr. Azimah Binti Ahmad

4) Dr. Nor Aini Binti Jamil

-Sports Psychology (Relaxation Strategies Towards Sports Performance)-

5) Pn. Rohana Binti Yusuf

6) Pn. How Peck Ngor

-Anti-Doping (Education & Prevention)-

7) Pn. Nageswary A/P Thiagarajan

😎 Pn. Nor Azhani Binti Abd Hazis

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Tze Liang ada peluang tipis ke Paris 2024 – Bryan

ATLET terjun negara, Ooi Tze Liang mempunyai peluang tipis untuk beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Pengarah teknikal skuad terjun negara, Bryan Nickson Lomas berkata, atlet berusia 30 tahun itu mempunyai peluang dalam acara 3m papan anjal lelaki sekiranya terdapat wakil yang telah layak menarik diri.

“Jika mana-mana negara yang dah layak tolak, Tze Liang ada peluang. Apapun, kita perlu tunggu hingga 8 Julai untuk mendapat pengesahan daripada Akuatik Dunia.

“Slot tambahan ini bergantung kepada perkiraan Akuatik Dunia kerana kuota untuk sukan terjun di Olimpik adalah 136 atlet,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis memperkenalkan jenama Skechers selaku kasut rasmi kontinjen Malaysia ke Olimpik Paris 2024 di Wisma OCM di sini hari ini.

Tze Liang, juara Sukan Komanwel Glasgow 2014 pernah beraksi di Olimpik Rio 2016 untuk menamatkan saingan di kedudukan ke-22 bagi acara 10m platform.

Minggu lepas, Nur Dhabitah Sabri menerima slot tambahan bagi acara 3m papan anjal wanita untuk menemani penerjun muda Bertrand Rhodict Lises yang layak secara merit bagi 10m platform lelaki ke Olimpik Paris.

Setakat ini, 26 atlet telah mendapat lampu hijau untuk mewakili Malaysia di Olimpik Paris bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini. – Bernama

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Trio taekwondo raih emas poomsae

MALANG: Selepas kempunan meraih sebarang pingat emas dalam dua hari pertama Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024, penantian skuad taekwondo berakhir apabila mereka merangkul pingat emas dalam acara poomsae berpasukan wanita, hari ini.

Trio negara dibarisi Nur Humaira Abdul Karim, Wong Zin dan Seah Jing Ying mengutip mata tertinggi 7.735 mata untuk pingat emas mengatasi pencabar terdekat dari Vietnam (7.720 mata) pada acara di Gedung Samantha Krida Universitas Brawijaya (UB), sebentar tadi.

Humaira berkata mereka bersaing sengit dengan Vietnam yang terkenal dengan fleksibiliti mereka, namun trio negara berjaya memperagakan persembahan lebih kemas dan kurang melakukan kesilapan untuk memastikan pingat emas berada dalam genggaman mereka.

Humaira turut mengakui sesi latihan berterusan dilakukan yang terpaksa dilakukan bersendirian sememangnya membantu mereka dan usaha keras sebelum ini nyata berbaloi dengan kilauan pingat emas di Malang.

“Kita sudah terlepas pingat emas dalam acara sebelum ini jadi kita fokus pada acara poomsae berpasukan wanita. Persembahan antara semua pasukan lebih kurang sama tetapi pasukan yang kurang melakukan kesilapan, merekalah yang akan menang.

“Kita pun tidak pernah berhenti menjalani latihan walaupun jurulatih kami pulang ke Korea Selatan kerana ibunya meninggal dunia. Kami tetap menjalani latihan secara bersendirian selama kira-kira tiga minggu.

“Dengan pingat emas ini, saya rasa segala pengorbanan kami selama ini boleh dianggap terbayar,” kata Humaira.

Dalam perkembangan sama, Humaira turut memberikan penghargaan kepada jurulatihnya, Jin Jun Beom yang sanggup menyertai skuad taekwondo ke AUG untuk terus memberi bimbingan kepada mereka bagi menghadapi edisi kali ini.

“Jurulatih balik ke sini semata-mata untuk lihat kami bertanding walaupun beliau tidak boleh balik lagi dan kena tunggu sehingga 49 hari.

“Jadi kami ingin mengucapkan terima kasih kerana beliau datang dan kehadirannya memang menaikkan semangat kami di AUG 2024,” katanya.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Kontinjen Malaysia bakal bergaya dengan rekaan Rizman Ruzaini di Olimpik Paris

KONTINJEN Malaysia bakal bergaya dengan busana bertemakan baju Melayu rekaan Rizman Ruzaini pada upacara perasmian Sukan Olimpik Paris 2024 pada 26 Julai ini.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Kontinjen (CDM), Datuk Hamidin Mohd Amin hari ini dan busana yang akan dipakai pada perarakan pembukaan Olimpik itu bakal diperkenalkan kepada umum tidak lama lagi.

Jenama Rizman Ruzaini menerusi gandingan Rizman Nordin dan Ruzaini Jamil baru-baru ini mencipta sensasi apabila mereka busana bagi penyanyi terkenal, Lady Gaga untuk persembahan di Las Vegas.

Hamidin ditemui pemberita ketika majlis memperkenalkan jenama Skechers selaku kasut rasmi kontinjen Malaysia ke Olimpik Paris 2024 dengan nilai tajaan sejumlah RM194,290 di Wisma OCM di sini pada Khamis.

Olimpik Paris dijadualkan bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Sementara itu, Hamidin percaya keputusan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk memilih jaguh pecut, Muhammad Azeem Mohd Fahmi berbanding pelari 400 meter (m) wanita, Shereen Samson Vallabouy untuk slot wild card tunggal olahraga ke Paris sebagai keputusan tepat.

Beliau turut berharap Muhammad Azeem, pemegang rekod kebangsaan acara 100 m lelaki dengan masa 10.09 saat, untuk mencatatkan masa yang lebih pantas di temasya berkenaan walaupun peluang untuk mencabar pingat adalah tipis.

Mengulas mengenai persiapan kontinjen negara, dengan lebih separuh daripada 26 atlet bakal membuat penampilan pertama, Hamidin berkata, semua persiapan berjalan lancar setakat ini.

“Saya lihat semua berada dalam keadaan baik dan bebas kecederaan, cuma beregu wanita Pearly Tan baru sembuh daripada influenza. Saya harap mereka kekal fokus sehingga ke Paris.

“Walaupun ramai atlet baharu, kalau kita lihat atlet seperti Mohamad Aniq Kasdan, Bertrand Rhodict Lises dan Ariana Nur Dania Mohamad Zairi pergi dengan keyakinan tinggi. Mereka sendiri mahu mencabar untuk pingat, dan kita harap untuk dapat seberapa banyak pingat yang boleh walaupun saiz kontinjen kecil,” katanya.

Hamidin berkata, Institut Sukan Negara (ISN) akan memantapkan lagi prosedur keselamatan atlet, susulan insiden pemain badminton muda China, Zhang Zhi Jie meninggal dunia selepas rebah di gelanggang semasa Kejohanan Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia, Ahad lepas. – Bernama

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
KBS salur RM300,000 buat atlet profesional ke Paris 2024

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyalurkan geran bantuan kepada empat atlet profesional negara yang mewakili kontinjen negara di Sukan Olimpik Paris 2024, hujung bulan ini.

Geran bantuan keseluruhan RM300,000 yang disalurkan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) itu diberikan kepada atlet profesional negara sebagai persiapan mereka menyertai Paris 2024.

Empat atlet yang menerima geran bantuan berkenaan adalah dari sukan golf dan badminton iaitu Gavin Kyle Green, Ashley Lau Jen Wen (golf) dan Lee Zii Jia serta Goh Jin Wei (badminton).

Sukan golf di temasya terbesar dunia itu dijadual membuka tirai pertandingan dari 1 hingga 10 Ogos ini manakala badminton dari 27 Julai hingga 5 Ogos.

Dalam satu kenyataan media, KBS memaklumkan geran bantuan ini adalah inisiatif kementerian untuk membantu meringankan beban atlet profesional negara bagi menyertai beberapa kejohanan kelayakan, kejohanan pendedahan, kem latihan, rakan sepelatih dan perkhidmatan sokongan demi memastikan persiapan serta latihan mereka dalam keadaan optimum.

“Ini adalah komitmen kami untuk membantu setiap atlet yang membawa bendera Malaysia, bahawa mereka bukan sahaja akan menerima perkhidmatan daripada pasukan ISN tetapi juga bantuan kewangan daripada kerajaan.

“Kami mahu setiap atlet tahu mereka pergi dengan sokongan penuh kerajaan dan seluruh negara,” kata Menterinya, Hannah Yeoh dalam kenyataan berkenaan, hari ini.

Dalam pada itu, KBS turut berharap bantuan tambahan ini bakal membantu barisan atlet memberi tumpuan kepada persiapan masing-masing dan persembahan terbaik mereka apabila turun mengejar kejayaan di Paris nanti.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia