Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives June 2024

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Sokongan dan doa rakyat Malaysia amat penting – Norza

KUALA LUMPUR: Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria percaya barisan atlet yang menyertai kontinjen ke Sukan Olimpik Paris 2024 sudah mempamerkan prestasi terbaik mereka untuk menyertai temasya terbesar dunia itu.

Menjelang 50 hari sebelum temasya bermula katanya, kini sudah tiba masanya untuk seluruh rakyat Malaysia memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada atlet dengan misi utama memburu pingat emas pertama negara.

“Kita mesti kurangkan kerisauan kerana kitaran Olimpik ini adalah setiap empat tahun. Tentu sahaja atlet kita, mereka sudah berusaha untuk layak ke Olimpik. Dari segi impian, mereka sudah capai setengah jalan dan untuk sampai ke penghujung, sokongan dan doa kita sangat penting.

“Ini kerana, impian itu boleh diubah kepada pingat. Mereka pergi bukan sebagai penumpang, mereka tentunya mahu memberi satu makna lebih mendalam di samping mencapai impian untuk meraih pingat… paling penting untuk Malaysia dapat pingat (emas) pertama.

“Ia boleh datang dari mana-mana atlet dan disebabkan itu, kita kena kurangkan kerisauan dan seterusnya memberikan lebih sokongan padu seperti dari sudut khidmat sokongan serta doa,” kata Norza ketika ditemui media selepas majlis kira detik 50 hari menjelang temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Setakat ini, seramai 18 atlet sudah melayakkan diri ke Paris 2024 yang merangkumi lapan dari sukan badminton, tiga dari berbasikal trek, satu dari sukan berbasikal lebuhraya, dua dari sukan pelayaran, satu dari angkat berat, satu dari menembak, satu dari memanah dan satu dari terjun.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Zii Jia mara suku akhir Terbuka Indonesia

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia berjaya menempah tiket ke suku akhir kejohanan badminton Terbuka Indonesia 2024 selepas mengharungi pertarungan sengit aksi pusingan kedua menentang Weng Hong Yang dari China malam ini.

Pada aksi di Istora Senayan, Zii Jia yang mendaki ke posisi ketujuh dalam kemas kini ranking dunia Selasa lalu diberi tentangan hebat sebelum terpaksa akur tewas 20-22 pada set pertama.

Bagaimanapun, Zii Jia membuktikan kehebatannya apabila bangkit dengan bergaya untuk membenam lawan yang menghuni ranking ke-19 dunia 21-9 di set kedua sebelum mencatat kemenangan 21-16 di set penentuan sekali gus mengesahkan kemaraan ke suku akhir.

Menanti Zii Jia pada pusingan lapan terbaik esok adalah juara dunia 2023, Kunlavut Vitidsarn dari Thailand yang melangkah ke suku akhir dengan bergaya selepas menumpaskan pemain India, Priyanshu Rajawat 21-10, 21-17.

Kali terakhir Zii Jia membuat perhitungan dengan Kunlavut adalah pada pusingan ketiga temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 tahun lalu yang menyaksikan pemain negara berusia 26 tahun itu menang 10-21, 21-19, 21-6.

Pada masa sama, beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah turut mara ke suku akhir selepas menewaskan pasangan tuan rumah Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti 21-18, 21-19 pada pusingan kedua dan akan bertemu pasangan nombor satu dunia Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dari China.

Dalam pada itu, beregu campuran profesional Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut menempah slot di suku akhir selepas mengatasi cabaran gandingan Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje 15-21, 23-21, 21-14.

Pasangan nombor 21 dunia itu akan bertemu pilihan kelapan Kim Won Ho-Jeong Na Eun dari Korea Selatan.

Terdahulu, tiga wakil negara berjaya meloloskan diri ke suku akhir iaitu pemain perseorangan lelaki Leong Jun Hao serta dua beregu lelaki Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani. – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Insentif buat penaja acara sukan – TPM

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan syarikat yang sanggup menaja persatuan sukan atau acara sukan perlu diberikan potongan cukai.

Jelasnya, beliau akan membawa usul itu kepada Kementerian Kewangan untuk mempertimbangkan perkara berkenaan dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan Oktober ini.

“Ini bagi menarik penajaan yang berterusan dan secara tidak langsung ia juga akan mengurangkan kebergantungan dan beban dana kerajaan.

“Malaysia sebagai ‘sporting nation’ harus menjalin hubungan yang baik agar kita dapat merealisasikan matlamat kerajaan supaya negara berada di barisan hadapan dalam bidang sukan.

“Kecemerlangan sukan negara adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya selepas Majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2023, di sini malam ini.

Pada masa sama, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, beliau berharap pengamal media sukan tempatan akan meneruskan penulisan yang boleh memberi pendidikan positif kepada rakyat.

Beliau juga berharap wartawan sukan akan lebih kerap menulis berita yang boleh memberi semangat pada Sukan Olimpik Paris 2024, yang dijadual berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Atlet boling padang Nur Ain Nabilah-Aleena cipta sejarah

KUALA LUMPUR: Gandingan atlet boling padang negara, Nur Ain Nabilah Tarmizi-Aleena Ahmad Nawawi mencipta sejarah apabila muncul wakil boling padang pertama memenangi Anugerah Atlet Terbaik pada Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2023 di sini, malam ini.

Mereka mengatasi dua bintang skuasy negara, S Sivasangari dan Ng Eain Yow, atlet wushu, Wong Weng Soon serta juara tenpin boling dunia, Natasha Mohamed Roslan.

September lalu, Nur Ain Nabilah-Aleena mencipta sensasi menamatkan kemarau 15 tahun tanpa pingat emas buat Malaysia pada aksi final pairs wanita pada Kejohanan Boling Padang Wanita Dunia 2023 dengan menewaskan wakil Malta, Rebecca Rixon-Connie Rixon 15-12 di Gold Coast, Australia.

Aleena mengakui mereka amat terharu menjadi wakil pertama sukan boling padang dinobat sebagai Atlet Terbaik.

“Kejayaan hari ini amat bermakna… kami tersenarai dalam Anugerah SAM dan pecah rekod muncul atlet boling padang pertama menang Anugerah Atlet Terbaik,” katanya kepada pemberita di sini.

Cheah Liek Hou (dua dari kanan) menerima anugerah Atlet Para Terbaik daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) pada Majlis Anugerah SAM-100PLUS 2023 di Kuala Lumpur malam ini. – Foto BERNAMA
Cheah Liek Hou (dua dari kanan) menerima anugerah Atlet Para Terbaik daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) pada Majlis Anugerah SAM-100PLUS 2023 di Kuala Lumpur malam ini. – Foto BERNAMA

Dalam pada itu, juara Sukan Paralimpik 2020, Cheah Liek Hou mempertahankan gelaran Atlet Para Terbaik dengan menumpaskan jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin dan atlet boccia, Noor Askuzaimey Mat Salim.

Liek Hou berkata, dia amat bangga dapat mengekalkan penguasaannya dalam kategori itu dan optimis kejayaan hari ini membakar semangatnya mempertahankan pingat emas Sukan Paralimpik bagi kategori perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) pada edisi 2024 di Paris.

“Kemenangan ini hadir kerana saya dapat menampilkan prestasi bagus dan memenangi beberapa kejohanan pada tahun 2023,” katanya.

Antara pencapaian diraih Liek Hou dalam acara perseorangan tahun lalu adalah meraih emas di Kejohanan Para Antarabangsa Sepanyol, Kejohanan Para Brazil dan Kejohanan Para Antarabangsa England.

Gandingan Nur Ain Nabilah-Aleena dan Liek Hou masing-masing menerima trofi dan wang tunai berjumlah RM10,000 yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada majlis tahunan itu di sebuah hotel di sini. – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Jun Hao jadikan Tien Chen mangsa kedua di Terbuka Indonesia

KUALA LUMPUR: Pentas saingan Terbuka Indonesia di Istora Senayan seakan menjadi ‘venue istimewa’ buat pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao yang setakat ini sudah mengecewakan dua pemain di ranking lebih tinggi daripadanya.

Jun Hao yang berada di ranking ke-32 dunia menjadikan lawan dari Taiwan, Chou Tien Chen sebagai ‘mangsa’ keduanya di pusingan kedua apabila menewaskan pemain ke-11 dunia itu 21-18, 13-21, 21-17 untuk melangkah ke suku akhir.

Semalam, Jun Hao mara ke pusingan kedua selepas mengejutkan wakil tuan rumah di ranking ketiga dunia, Jonatan Christie 21-13, 16-21, 21-12 dalam tempoh satu jam dua minit.

Prestasi Jun Hao dilihat berada di tahap terbaik dan selepas ini pemain dari Setapak, Kuala Lumpur itu dijadual turun ke gelanggang bertemu pilihan keenam yang juga pemain ranking keempat dunia dari China, Li Shi Feng pada aksi suku akhir esok.

Pertembungan ketiga antara kedua-dua pemain ini bakal menjadi pentas ‘balas dendam’ buat Jun Hao yang sebelum ini tewas straight set 15-21 16-21 di pusingan kedua Masters Malaysia, dua minggu lalu selain turut kecundang di saingan Piala Thomas, Mei lalu.

“Saya gembira selepas kemenangan ini. Bagi saya, dia seorang lawan yang sukar dan mempunyai pengalaman luas,” kata Jun Hao yang turut melakar kejutan menewaskan pemain ranking kesembilan dunia dari Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting, 21-14, 21-10, 21-8 di pusingan kedua Terbuka Singapura minggu lalu.

Namun Jun Hao tidak dapat meneruskan langkah ke pusingan separuh akhir apabila tewas di tangan pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen 12-21, 11-21 pada aksi suku akhir di Stadium Tertutup Singapura.

“Saya fikir ia berkaitan dengan gaya permainan saya (prestasi semakin baik) dan keyakinan dimiliki saya sekarang ini… jadi saya hanya perlu kekalkan rentak ini dan bersiap sedia untuk perlawanan seterusnya,” katanya.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Team MAS suntik semangat atlet

Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil inisiatif memperkenalkan Team MAS bertujuan memberi semangat kepada setiap atlet yang akan bertanding membawa nama Malaysia di pentas dunia selain simbolik menjelang 50 hari sebelum Sukan Olimpik Paris 2024 membuka tirai bulan depan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, dengan tema ‘Kita Semua TEAM MAS’ itu, KBS berharap atlet yang akan bertanding di Paris mampu menghadiahkan pingat buat Malaysia terutama menjelmakan emas setelah sekian lama menanti.

“Persiapan atlet semuanya sudah terurus. Mulai sekarang kita sudah memasuki kiraan detik 50 hari, kita harap atlet akan terus mempunyai semangat yang kuat untuk menghadapi lawan mereka di Paris nanti.

“Kita Semua Team MAS’ bukan hanya mengenai Sukan Olimpik sahaja. Setiap kali atlet keluar negara mewakili Malaysia, mereka membawa sekali Team MAS ini. Saya juga ada berjumpa, menulis surat kepada pihak korporat untuk bersama kita.

“Saya percaya, pelaburan korporat untuk membangunkan sukan negara akan mendatangkan banyak nilai yang bukan sahaja dari nilai wang ringgit tetapi untuk bangunkan generasi masa depan.

“Saya tahu, sukan adalah penggerak penyatuan perpaduan di Malaysia dan ini satu panggilan untuk kita semua bersama,” katanya selepas Majlis Pelancaran Team MAS bersempena Sukan Olimpik Paris 2024.

Pada masa sama, Hannah memaklumkan setakat ini seramai 33 atlet sudah melayakkan diri ke Paris 2024 yang membabitkan 18 atlet ke Sukan Olimpik bermula hujung Julai manakala 15 lagi ke Paralimpik yang dijadual berlangsung dari 28 Ogos hingga 8 September ini.-Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MAJLIS PELANCARAN TEAM MAS

Menjelang 50 hari ke Sukan Olimpik Paris 2024, Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh melancarkan kempen Team MAS sebagai satu gerakan nasional tanda sokongan ke atas atlet negara yang bertanding.

Kempen yang membawa tema ‘Kita Semua Team MAS’ ini diharap menjadi penyuntik semangat buat atlet negara yang telah layak ke Paris sekaligus berjuang membawa pulang pingat emas pertama negara.

Seramai 33 atlet sudah melayakkan diri ke Paris melibatkan 18 atlet ke Sukan Olimpik yang bermula 26 Julai hingga 8 Ogos manakala 15 atlet ke Sukan Paralimpik yang berlangsung 28 Ogos hingga 8 September.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
‘Kami main teruk hari ini’

BEREGU lelaki negara, Aaron-Chia-Soh Wooi Yik menerima tamparan hebat menjelang 50 hari menuju Sukan Olimpik Paris 2024 pada Julai depan apabila ditunjukkan jalan keluar dalam saingan pusingan kedua Terbuka Indonesia di Istora Senayan, Jakarta sebentar tadi.

Pasangan Olimpik itu yang menghuni ranking kelima dunia menjadi antara sandaran buat negara untuk meraih podium di Paris kalah straight set kepada gandingan Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han, yang berstatus 25 dunia, 16-21, 14-21 dalam masa 38 minit pada kejohanan Super 1000 itu.

Aaron mengakui gagal memperagakan aksi terbaik untuk menandingi lawan yang berada dalam kedudukan konsisten untuk menang.

“Aksi teruk hari ini (Khamis) dan kurang keyakinan. Engan menyalahkan keadaan (berangin) gelanggang kerana ia tidak memberi kesan kepada permainan mereka,” katanya.

Pada Terbuka Singapura Super 750 sebelum ini Aaron-Wooi Yik kalah kepada pasangan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen straight set 10-21, 14-21.

Aaron-Wooi Yik sebelum itu tumpas di tangan pasangan ke-34 dunia dari Korea Selatan, Jin Yong-Na Sung Seung 21-11, 19-21, 19-21 di suku akhir Malaysia Masters Super bulan lalu.

Enggan menoleh ke belakang, Aaron mahu memberi fokus kepada persiapan ke Paris yang berbaki beberapa minggu lagi.

“Fokus kepada Olimpik, perbaiki kelemahan dan cuba yang terbaik,” katanya.

Wooi Yik pula optimis peluang mereka pada temasya tersebut dengan bertekad untuk bangkit lebih bersemangat.

“Tekad kembali lebih kuat selepas ini,” katanya.-Sinar Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Speedy Tigers labuh kempen kumpulan dengan kemenangan

SKUAD hoki negara melabuh kempen Kumpulan B Kejuaraan Piala Negara-Negara 2023/24 dengan kemenangan 4-2 ke atas Kanada di Gniezno, Poland pada Rabu.

Di sebalik tiga mata diraih, impian Malaysia untuk ke separuh akhir dilihat samar selepas Pakistan yang kini di kedudukan kedua, turun bertemu Perancis berbekalkan kelebihan jaringan walaupun berkongsi mata dengan Malaysia.

Malaysia dalam pada itu, perlu mengharapkan Perancis menewaskan Pakistan dengan margin 8-0 pada perlawanan yang berlangsung tengah malam ini.

Empat pemain, Mohd Fitri Saari, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan dan Muhajir Abdu Rauf muncul penjaring empat gol dalam perlawanan ini.

Speedy Tigers tidak menunggu lama membuka tirai jaringan pada minit kedua menerusi gerakan padang, Mohd Fitri Saari, menjaringkan gol pembukaan sebelum empat minit kemudian, giliran Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal, meletakkan Malaysia terus selesa 2-0 juga menerusi gerakan padang.

Malaysia memiliki peluang terbaik melebarkan jurang gol minit ke-22 apabila dihadiahkan pukulan sudut penalti menerusi Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan muncul penjaring gol ketiga negara.

Penghujung suku kedua, Malaysia sekurang-kurangnya memiliki dua kelebihan pukulan sudut penalti namun aksi separuh masa pertama ditutup dengan kedudukan kekal Speedy Tigers mendahului 3-0.

Kanada dilihat terus menggandakan asakan untuk cuba mengejar kedudukan Malaysia, dihadiahkan dua pukulan sudut penalti, dan pada minit ke-41, Roopkanwar Dhillon menjaringkan gol pertama.

Bagaimanapun jaringan tersebut tidak bertahan lama apabila gol keempat Malaysia hadir berselang seminit kemudian selepas gerakan Muhajir Abdu Rauf gagal disekat pertahanan dengan Malaysia terus memimpin perlawanan 4-1.

Pintu gol negara diasak Kanada yang mengejutkan dengan gol kedua pada minit ke-51 apabila Maansarovar Sidhu menyudahkan hantaran rakan sepasukan, Brendan Guraliuk untuk kedudukan 4-2.

Sementara itu, pengendali Speedy Tigers, Sarjit Singh menyifatkan pemain berjaya menampilkan aksi baik pada separuh masa pertama namun persembahan tersebut tidak berjaya dikekalkan separuh masa kedua.

Katanya, persembahan pemain menurun pada separuh masa kedua berbanding separuh masa pertama selain pemain tidak klinikal dalam kawasan gol dan mempersiakan peluang menjaringkan gol.

“Bagaimanapun keputusan ini satu keputusan yang baik untuk pasukan terutamanya ramai muka baru yang beraksi di Poland, cuma konsistensi pemain dalam persembahan agak kurang namun kami percaya pada proses pembentukan pasukan untuk menjadi lebih baik pada masa akan datang.

“Kami akan berehat dan membuat analisa perlawanan selain mempersiapkan pasukan untuk turun mencari kemenangan dalam perlawanan seterusnya tanpa mengira siapa lawan yang akan kami temui,” katanya.-Sinar Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Sepak takraw akan terus berinovasi – ISTAF

KEJAYAAN pelaksanaan sistem mata baharu dan sekali servis dalam temasya Piala Dunia Sepak Takraw Kuala Lumpur 2024 di Stadium Titiwangsa, baru-baru ini memberi impak positif kepada sukan itu.

Malah Setiausaha Agung Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF), Datuk Abdul Halim Kader teruja untuk meningkatkan lagi profil sukan tersebut supaya lebih kompetitif pada masa depan.

“Kejohanan ini membuktikan keberkesanan sistem 15 mata baharu, dan peraturan servis satu-satu yang memastikan medan permainan sama rata untuk semua negara yang mengambil bahagian.

“Perubahan inovatif ini bukan sahaja meningkatkan daya saing tetapi juga pendekatan yang lebih segar dan dinamik kepada permainan.

“Secara tidak langsung pendekatan ini juga menjadikan sukan sepak takraw tidak hanya lebih mendebarkan untuk pemain tetapi juga penonton di stadium mahupun di rumah,” katanya yang turut menghargai sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang diterajui Menteri, Hannah Yeoh dan Timbalannya, Adam Adli Abd Halim serta pegawai-pegawai kementerian.

Pada masa sama, Abdul Halim yang juga Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) memuji kecemerlangan Malaysia sebagai tuan rumah dalam menganjurkan temasya sukan berkenaan.

Malah Abdul Halim, menyifatkan kejayaan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) melaksanakan tanggungjawab berjaya menaikakan imej sukan tersebut terutama dengan pengenalan trofi kejuaraan.

“Kami ucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada PSM di bawah kepimpinan Presiden, Datuk Mohd Sumali Reduan atas pencapaian cemerlang sebagai penganjur Piala Dunia Sepak Takraw Kuala Lumpur 2024.

“Selain itu, syabas juga kepada semua negara mengambil bahagian yang menampilkan semangat kesukanan tinggi.

“Kejuaraan ini membuktikan sepak takraw bukan sekadar permainan tetapi juga bukti keberanian, kemahiran dan perpaduan antarabangsa.” katanya.

Pada masa sama Abdul Halim juga memuji tulang belakang kepada kejayaan kejohanan itu iaitu barisan pengadil dan pegawai perlawanan yang telah melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin.

“Alhamdulillah, seramai 73 pegawai teknikal dan pengadil ISTAF serta ASTAF termasuk 36 pengadil dari Malaysia telah memberikan mutu pengadilan yang berkualiti sepanjang kejohanan apabila tiada berlaku sebarang bantahan atau protes dalam kalangan pasukan,” katanya.

Piala Dunia Sepak Takraw Kuala Lumpur 2024 menyaksikan Malaysia muncul juara acara regu dan double manakala Thailand mengungguli kategori berpasukan.-Sinar Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia