PELARI pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi belum mahu mengalah mengenai peluangnya untuk layak secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang berbaki 44 hari lagi.
Sebaliknya atlet berusia 20 tahun yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu mahu fokus dan menikmati perlumbaan kerana menyifatkan perjuangannya masih belum selesai.
Pelajar Universiti Auburn itu akan menyertai tiga kejohanan berturut-turut bermula Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Pahang dari 14 hingga 16 Jun ini, diikuti Terbuka Kazakhstan (23-24 Jun) dan Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 di Surabaya-Malang, Indonesia pada 2 hingga 5 Julai.
“Kerja belum selesai. Terbuka Malaysia tidak lama lagi,” catat Azeem menerusi laman sosialnya.
Kejohanan yang dijadual berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan itu akan disertai atlet dari Rusia, Singapura, Australia, Myanmar, Bangladesh, Indonesia, India, Nambia dan Filipina.
“Jadi dengan kejohanan berturut-turut ini, saya akan terus berada di Malaysia selepas Terbuka Kazakhstan dan selepas AUG 2024, saya akan jalani kem latihan di Jerman bersama pasukan saya,” katanya.
Azeem membuat penampilan cemerlang apabila membantu Universiti Auburn meraih pingat emas acara 4x100m dalam Kejohanan Trek dan Padang, Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) di Oregon baru-baru ini.
Pelari yang berasal dari Perak itu adalah pemegang rekod 100 meter kebangsaan dengan catatan 10.09 saat (s), manakala catatan terbaiknya musim ini 10.24s ketika beraksi dalam Kejohanan Olahraga Jemputan LSU di Los Angeles pada 27 April lalu.
Bagaimanapun, catatan itu masih jauh berbanding kelayakan ke Paris yang memerlukannya mencatat 10s untuk layak secara merit dalam acara riben biru itu.
Jawatankuasa pemilihan Kesatuan Olahraga Malaysia perlu menyerahkan nama sama ada Azeem atau Shereen Samson Vallabouy kepada Majlis Olimpik Malaysia sebelum 8 Julai ini, sekiranya kedua-dua atlet itu tidak dapat melayakkan diri secara merit.-Sinar Harian