Putrajaya: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bakal membentangkan kajian impak penganjuran Sukan Sea 2027 kepada Kabinet sebelum temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris bermula 26 Julai ini.
Menterinya Hannah Yeoh berkata sesi pembentangan itu juga akan melibatkan penerangan mengenai impak kewangan serta sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan termasuk syarikat korporat di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, Khamis lalu.
“Kami sedang menyediakan untuk Kabinet kajian itu sekarang berdasarkan libat urus dengan pihak berkepentingan dan penganjuran Sukan Sea 2017 di Kuala Lumpur sebelum ini. Saya tidak tahu minggu yang tepat tetapi pastinya sebelum Sukan Olimpik 2024.
“Sesi pemegang taruh pula hanya ada satu sesi sahaja dan respons daripada sesi berkenaan tempoh hari adalah positif,” katanya kepada Bernama selepas melepaskan peserta POWERMAN Malaysia 2024 di sini, hari ini.
Sebelum ini Hannah berkata beliau menjangkakan perbelanjaan untuk menganjurkan Sukan Sea 2027 memakan kos melebihi RM700 juta.
Mesyuarat Ahli Majlis Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) pada Mei 2022, sebulat suara bersetuju memberikan hak penganjuran Sukan Sea 2027 kepada Malaysia berikutan penarikan diri Brunei, manakala Thailand dan Singapura masing-masing diberi kebenaran menganjurkan temasya itu pada 2025 dan 2029.
Sukan Sea 2027 bakal menjadi kali ketujuh Malaysia menjadi tuan rumah temasya dwitahunan itu, selepas menjadi penganjur pada 1965, 1971, 1977, 1989, 2001 dan 2017.
Sementara itu, POWERMAN Malaysia 2024, yang dianggap sebagai acara larian-berbasikal-larian (run-bike-run) duathlon terbesar dunia, menarik penyertaan lebih 3,000 peserta bermula umur 6 hingga 78 tahun dari 32 negara.-Harian Metro