KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia berjaya menempah tiket ke suku akhir kejohanan badminton Terbuka Indonesia 2024 selepas mengharungi pertarungan sengit aksi pusingan kedua menentang Weng Hong Yang dari China malam ini.
Pada aksi di Istora Senayan, Zii Jia yang mendaki ke posisi ketujuh dalam kemas kini ranking dunia Selasa lalu diberi tentangan hebat sebelum terpaksa akur tewas 20-22 pada set pertama.
Bagaimanapun, Zii Jia membuktikan kehebatannya apabila bangkit dengan bergaya untuk membenam lawan yang menghuni ranking ke-19 dunia 21-9 di set kedua sebelum mencatat kemenangan 21-16 di set penentuan sekali gus mengesahkan kemaraan ke suku akhir.
Menanti Zii Jia pada pusingan lapan terbaik esok adalah juara dunia 2023, Kunlavut Vitidsarn dari Thailand yang melangkah ke suku akhir dengan bergaya selepas menumpaskan pemain India, Priyanshu Rajawat 21-10, 21-17.
Kali terakhir Zii Jia membuat perhitungan dengan Kunlavut adalah pada pusingan ketiga temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 tahun lalu yang menyaksikan pemain negara berusia 26 tahun itu menang 10-21, 21-19, 21-6.
Pada masa sama, beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah turut mara ke suku akhir selepas menewaskan pasangan tuan rumah Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti 21-18, 21-19 pada pusingan kedua dan akan bertemu pasangan nombor satu dunia Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dari China.
Dalam pada itu, beregu campuran profesional Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut menempah slot di suku akhir selepas mengatasi cabaran gandingan Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje 15-21, 23-21, 21-14.
Pasangan nombor 21 dunia itu akan bertemu pilihan kelapan Kim Won Ho-Jeong Na Eun dari Korea Selatan.
Terdahulu, tiga wakil negara berjaya meloloskan diri ke suku akhir iaitu pemain perseorangan lelaki Leong Jun Hao serta dua beregu lelaki Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani. – BERNAMA