KEPUTUSAN (7.6.2024)
Team Compound Men Elimination Round
Gold Medal Match
MAS vs KOR
Win 236 – 234
Team Compound Lelaki berjaya membawa pulang pingat emas dalam acara ini.
YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan bersama Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria, Presiden Majlis Olimpik Malaysia telah hadir ke Sesi Libat Urus Sukan SEA Malaysia 2027 bersama Syarikat Korporat pada 6 Jun 2024 bertempat di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.
Tujuan program ini diadakan untuk menghimpunkan syarikat korporat yang berpotensi menjadi penaja selain mendapatkan maklumbalas berkenaan penyediaan syarikat untuk bersama-sama dalam penganjuran bagi temasya tersebut.
KUALA LUMPUR: Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria percaya barisan atlet yang menyertai kontinjen ke Sukan Olimpik Paris 2024 sudah mempamerkan prestasi terbaik mereka untuk menyertai temasya terbesar dunia itu.
Menjelang 50 hari sebelum temasya bermula katanya, kini sudah tiba masanya untuk seluruh rakyat Malaysia memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada atlet dengan misi utama memburu pingat emas pertama negara.
“Kita mesti kurangkan kerisauan kerana kitaran Olimpik ini adalah setiap empat tahun. Tentu sahaja atlet kita, mereka sudah berusaha untuk layak ke Olimpik. Dari segi impian, mereka sudah capai setengah jalan dan untuk sampai ke penghujung, sokongan dan doa kita sangat penting.
“Ini kerana, impian itu boleh diubah kepada pingat. Mereka pergi bukan sebagai penumpang, mereka tentunya mahu memberi satu makna lebih mendalam di samping mencapai impian untuk meraih pingat… paling penting untuk Malaysia dapat pingat (emas) pertama.
“Ia boleh datang dari mana-mana atlet dan disebabkan itu, kita kena kurangkan kerisauan dan seterusnya memberikan lebih sokongan padu seperti dari sudut khidmat sokongan serta doa,” kata Norza ketika ditemui media selepas majlis kira detik 50 hari menjelang temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
Setakat ini, seramai 18 atlet sudah melayakkan diri ke Paris 2024 yang merangkumi lapan dari sukan badminton, tiga dari berbasikal trek, satu dari sukan berbasikal lebuhraya, dua dari sukan pelayaran, satu dari angkat berat, satu dari menembak, satu dari memanah dan satu dari terjun.-Berita Harian
KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia berjaya menempah tiket ke suku akhir kejohanan badminton Terbuka Indonesia 2024 selepas mengharungi pertarungan sengit aksi pusingan kedua menentang Weng Hong Yang dari China malam ini.
Pada aksi di Istora Senayan, Zii Jia yang mendaki ke posisi ketujuh dalam kemas kini ranking dunia Selasa lalu diberi tentangan hebat sebelum terpaksa akur tewas 20-22 pada set pertama.
Bagaimanapun, Zii Jia membuktikan kehebatannya apabila bangkit dengan bergaya untuk membenam lawan yang menghuni ranking ke-19 dunia 21-9 di set kedua sebelum mencatat kemenangan 21-16 di set penentuan sekali gus mengesahkan kemaraan ke suku akhir.
Menanti Zii Jia pada pusingan lapan terbaik esok adalah juara dunia 2023, Kunlavut Vitidsarn dari Thailand yang melangkah ke suku akhir dengan bergaya selepas menumpaskan pemain India, Priyanshu Rajawat 21-10, 21-17.
Kali terakhir Zii Jia membuat perhitungan dengan Kunlavut adalah pada pusingan ketiga temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 tahun lalu yang menyaksikan pemain negara berusia 26 tahun itu menang 10-21, 21-19, 21-6.
Pada masa sama, beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah turut mara ke suku akhir selepas menewaskan pasangan tuan rumah Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti 21-18, 21-19 pada pusingan kedua dan akan bertemu pasangan nombor satu dunia Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dari China.
Dalam pada itu, beregu campuran profesional Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut menempah slot di suku akhir selepas mengatasi cabaran gandingan Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje 15-21, 23-21, 21-14.
Pasangan nombor 21 dunia itu akan bertemu pilihan kelapan Kim Won Ho-Jeong Na Eun dari Korea Selatan.
Terdahulu, tiga wakil negara berjaya meloloskan diri ke suku akhir iaitu pemain perseorangan lelaki Leong Jun Hao serta dua beregu lelaki Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani. – BERNAMA
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan syarikat yang sanggup menaja persatuan sukan atau acara sukan perlu diberikan potongan cukai.
Jelasnya, beliau akan membawa usul itu kepada Kementerian Kewangan untuk mempertimbangkan perkara berkenaan dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan Oktober ini.
“Ini bagi menarik penajaan yang berterusan dan secara tidak langsung ia juga akan mengurangkan kebergantungan dan beban dana kerajaan.
“Malaysia sebagai ‘sporting nation’ harus menjalin hubungan yang baik agar kita dapat merealisasikan matlamat kerajaan supaya negara berada di barisan hadapan dalam bidang sukan.
“Kecemerlangan sukan negara adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya selepas Majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2023, di sini malam ini.
Pada masa sama, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, beliau berharap pengamal media sukan tempatan akan meneruskan penulisan yang boleh memberi pendidikan positif kepada rakyat.
Beliau juga berharap wartawan sukan akan lebih kerap menulis berita yang boleh memberi semangat pada Sukan Olimpik Paris 2024, yang dijadual berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.-Berita Harian
KUALA LUMPUR: Gandingan atlet boling padang negara, Nur Ain Nabilah Tarmizi-Aleena Ahmad Nawawi mencipta sejarah apabila muncul wakil boling padang pertama memenangi Anugerah Atlet Terbaik pada Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2023 di sini, malam ini.
Mereka mengatasi dua bintang skuasy negara, S Sivasangari dan Ng Eain Yow, atlet wushu, Wong Weng Soon serta juara tenpin boling dunia, Natasha Mohamed Roslan.
September lalu, Nur Ain Nabilah-Aleena mencipta sensasi menamatkan kemarau 15 tahun tanpa pingat emas buat Malaysia pada aksi final pairs wanita pada Kejohanan Boling Padang Wanita Dunia 2023 dengan menewaskan wakil Malta, Rebecca Rixon-Connie Rixon 15-12 di Gold Coast, Australia.
Aleena mengakui mereka amat terharu menjadi wakil pertama sukan boling padang dinobat sebagai Atlet Terbaik.
“Kejayaan hari ini amat bermakna… kami tersenarai dalam Anugerah SAM dan pecah rekod muncul atlet boling padang pertama menang Anugerah Atlet Terbaik,” katanya kepada pemberita di sini.
Dalam pada itu, juara Sukan Paralimpik 2020, Cheah Liek Hou mempertahankan gelaran Atlet Para Terbaik dengan menumpaskan jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin dan atlet boccia, Noor Askuzaimey Mat Salim.
Liek Hou berkata, dia amat bangga dapat mengekalkan penguasaannya dalam kategori itu dan optimis kejayaan hari ini membakar semangatnya mempertahankan pingat emas Sukan Paralimpik bagi kategori perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) pada edisi 2024 di Paris.
“Kemenangan ini hadir kerana saya dapat menampilkan prestasi bagus dan memenangi beberapa kejohanan pada tahun 2023,” katanya.
Antara pencapaian diraih Liek Hou dalam acara perseorangan tahun lalu adalah meraih emas di Kejohanan Para Antarabangsa Sepanyol, Kejohanan Para Brazil dan Kejohanan Para Antarabangsa England.
Gandingan Nur Ain Nabilah-Aleena dan Liek Hou masing-masing menerima trofi dan wang tunai berjumlah RM10,000 yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada majlis tahunan itu di sebuah hotel di sini. – BERNAMA