Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Jun Hao jadikan Tien Chen mangsa kedua di Terbuka Indonesia

KUALA LUMPUR: Pentas saingan Terbuka Indonesia di Istora Senayan seakan menjadi ‘venue istimewa’ buat pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao yang setakat ini sudah mengecewakan dua pemain di ranking lebih tinggi daripadanya.

Jun Hao yang berada di ranking ke-32 dunia menjadikan lawan dari Taiwan, Chou Tien Chen sebagai ‘mangsa’ keduanya di pusingan kedua apabila menewaskan pemain ke-11 dunia itu 21-18, 13-21, 21-17 untuk melangkah ke suku akhir.

Semalam, Jun Hao mara ke pusingan kedua selepas mengejutkan wakil tuan rumah di ranking ketiga dunia, Jonatan Christie 21-13, 16-21, 21-12 dalam tempoh satu jam dua minit.

Prestasi Jun Hao dilihat berada di tahap terbaik dan selepas ini pemain dari Setapak, Kuala Lumpur itu dijadual turun ke gelanggang bertemu pilihan keenam yang juga pemain ranking keempat dunia dari China, Li Shi Feng pada aksi suku akhir esok.

Pertembungan ketiga antara kedua-dua pemain ini bakal menjadi pentas ‘balas dendam’ buat Jun Hao yang sebelum ini tewas straight set 15-21 16-21 di pusingan kedua Masters Malaysia, dua minggu lalu selain turut kecundang di saingan Piala Thomas, Mei lalu.

“Saya gembira selepas kemenangan ini. Bagi saya, dia seorang lawan yang sukar dan mempunyai pengalaman luas,” kata Jun Hao yang turut melakar kejutan menewaskan pemain ranking kesembilan dunia dari Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting, 21-14, 21-10, 21-8 di pusingan kedua Terbuka Singapura minggu lalu.

Namun Jun Hao tidak dapat meneruskan langkah ke pusingan separuh akhir apabila tewas di tangan pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen 12-21, 11-21 pada aksi suku akhir di Stadium Tertutup Singapura.

“Saya fikir ia berkaitan dengan gaya permainan saya (prestasi semakin baik) dan keyakinan dimiliki saya sekarang ini… jadi saya hanya perlu kekalkan rentak ini dan bersiap sedia untuk perlawanan seterusnya,” katanya.-Berita Harian