Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives May 2024

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
KPWK naikkan kadar honorarium atlet Sukan Para SUKMA 2024 bermula Mei

KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) telah menaikkan kadar honorarium (elaun latihan) atlet Sukan Para SUKMA 2024 bermula Mei tahun ini.

Menterinya Dato Sri Fatimah Abdullah berkata kadar baharu itu ialah RM1,200 untuk atlet Pelapis A, RM1,000 untuk atlet Pelapis B, RM800 untuk atlet Pelapis C dan RM600 untuk atlet baharu manakala bagi atlet elit, honorarium kekal pada kadar RM1,500.

Sebelum ini, atlet pelapis A menerima bayaran RM800, diikuti RM700 untuk atlet pelapis B sementara RM600 dan RM400 masing-masing untuk atlet pelapis C dan baharu.

“Saya menggelar ia (honorarium) sebagai elaun masa latihan mereka. Ia bagi membolehkan mereka menghadiri sesi latihan yang juga mengeluarkan wang.

“Kebanyakan mereka tidak mempunyai pekerjaan, ada juga nelayan yang kalau tak kerja tak ada duit,” kata Fatimah sambil menambah, kementeriannya menyediakan honorarium sebagai sebahagian daripada persiapan temasya sukan tersebut.

ADVERTISEMENT

Beliau berkata demikian kepada pemberita selesai mengadakan kunjungan ke sesi latihan atlet para renang dan para olahraga di Kompleks Sukan Kuching, Jabatan Belia dan Sukan Negeri di sini, hari ini. 

Fatimah berkata selain atlet para, jurulatih mereka juga mempunyai elaun dan ia dikekalkan.

“Peranan jurulatih sangat penting dalam latihan agar atlet berupaya mencapai potensi penuh mereka,” katanya.

Beliau juga mendedahkan bahawa pemenang pingat akan diberikan insentif tertentu dan kerajaan telah memperuntukkan dana untuk tujuan ini.

“Secara prinsipnya memang ada insentif untuk pemenang pingat emas, malah sebelum ini kita juga ada sediakan insentif bagi yang memenangi perak dan gangsa.

“Cuma jumlah tidak didedahkan buat masa ini, tetapi kita sudah meminta peruntukan untuk tujuan ini. Kami menyertakannya bersama permintaan bajet untuk Sukan Para SUKMA 2024 termasuk peralatan, latihan, pendedahan dan sebagainya,” jelas Fatimah.-Utusan Borneo

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Zii Jia kini kesembilan dunia

PEMAIN perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia mendaki satu anak tangga untuk menghuni kedudukan kesembilan dalam senarai ranking yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Selasa.

Pencapaian tersebut susulan kejayaan pemain berusia 26 tahun itu menjuarai Terbuka Thailand dua minggu lalu dan naib juara Malaysia Masters di Kuala Lumpur, Ahad lepas.

Malah andai Zii Jia berjaya menewaskan Anthony Sinisuka Ginting dari Indonesia pada pusingan pertama Terbuka Singapura pada Rabu, dia berpeluang lompat ke kedudukan ketujuh memintas Kunlavut Vitidsarn di tempat kelapan.

Ia susulan pemain Thailand itu tidak beraksi pada Terbuka Singapura, manakala Ginting ketika ini menghuni ranking ketujuh dunia.

Penganalisis sukan, Zakaria Rahim berkata, Zii Jia perlu layak sekurang-kurangnya ke pusingan kedua di Singapura untuk memotong dua pemain itu.

“Terbuka Singapura menawarkan mata ranking sebanyak 4,320 jika layak ke pusingan kedua. Zii Jia ketika ini mengumpul 75,486 mata, Kunlavut 76,808 dan Ginting 79,585.

“Andai layak ke pusingan kedua, Zii Jia akan mengumpul 80,166 mata. Ia cukup untuk mengatasi kedua-dua pemain itu ke ranking ketujuh dunia,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, sekiranya layak ke final Terbuka Singapura, Zii Jia juga berpeluang untuk mengatasi Li She Feng (China) dan Kodai Naroaka (Jepun) untuk ke ranking kelima dunia sebelum menyertai Terbuka Indonesia bermula 4 Jun.

“Kedudukan ranking ini sangat penting untuk undian menentukan kumpulan pada Sukan Olimpik Paris 2024 nanti,” katanya.

Zii Jia pada Ahad tewas kepada pemain Denmark, Viktor Axelsen 21-6, 20-22, 21-13 dalam pertarungan akhir Malaysia Masters di Axiata Arena.-Sinar

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Roslie, Xin Yee ketuai cabaran negara

Kuala Lumpur: Roslie Razeeq Danial (lelaki) dan Ong Xin Yee (wanita) yang merupakan juara Bawah-18 Kebangsaan akan mengetuai cabaran Malaysia ke Kejohanan Badminton Remaja Asia (BAJC) 2024 di Yogyakarta, Indonesia dari 28 Jun hingga 7 Julai.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Roslie dan Xin Yee, antara 22 pemain badminton negara yang terpilih mewakili negara ke BAJC 2024, yang antara lain turut disertai Sng Wei Xing (perseorangan lelaki), Aaron Tai-Kang Khai Xing (beregu lelaki) dan Siti Zulaikha Azmi (perseorangan wanita).

Timbalan Presiden 1 BAM Datuk V Subramaniam yang mengumumkan nama pemain hari ini turut mengucapkan tahniah kepada mereka yang terpilih.

“Pemain yang terpilih ini berpeluang untuk buktikan diri mereka berhadapan pemain-pemain Asia pada pertandingan tahap tinggi,” katanya.

Senarai penuh pemain remaja Malaysia ke BAJC 2024 :

Perseorangan lelaki : Roslie Razeeq Danial, Sng Wei Ming, Kong Zhou Swin, Muhammad Faiq Masawi

Perseorangan wanita : Ong Xin Yee, Siti Zulaikha Azmi, Oo Shan Zi, Dania Sofea Zaidi

Beregu lelaki : Aaron Tai, Kang Khai Xing, Lok Hong Quan, Goh Yi Qin, Loh Zhi Heng, Tan Zhi Yang, Redzuan Ahmad, Isyraf Hafizin

Beregu wanita : Carmen Ting, Nicole Chau, Tan Zhing Hui, Clarissa San, Noraqilah Maisarah Ramdan

Beregu campuran : Lok Hong Quan, Goh Yi Qin, Clarissa San, Dania Sofea Azidi, Noraqilah Maisarah Ramdan, Datu Anif Datu Asrah-Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MIMAC cungkil bintang muda

KUALA LUMPUR: Kejohanan Malaysia International Muay Championship (MIMAC) yang akan berlangsung di Dataran Warisan, Taiping, Perak bermula Khamis hingga Ahad ini bakal menjadi platform terbaik bagi melahirkan lebih ramai atlet muda dalam sukan itu.

Presiden Persatuan Tomoi Negeri Perak, Mohd Ezry Azamin berkata, pihaknya lebih memberi tumpuan kepada sistem pembangunan dan kategori dipertandingkan bermula umur sembilan hingga 21 tahun.

“Kita banyak buat pembangunan sukan. Kita hendak cipta bakat baharu yang umur bawah 21 tahun dan sudah tentu tentu tiada nama besar (sertai MIMAC).

“Kalau kita tumpu kepada nama besar, sukan tempur tidak boleh tahan lama sebab semakin berumur kudrat dia pun makin kurang.

“Maka kami fokus kepada pembangunan sukan maksudnya atlet yang berusia 13 sampai 21 tahun. Mereka ini yang boleh kita naikkan ke peringkat remaja dan terbuka,” katanya.

Kejohanan MIMAC itu bakal disertai oleh 12 negara antaranya Thailand, Iran, Afghanistan dan beberapa negara lain.

Tiga kategori akan dipertandingkan iaitu Super Kid (9-11 tahun), Remaja (12-16 tahun) sementara Terbuka 16 hingga 21 tahun adalah untuk peringkat profesional dan mereka akan merebut 12 tali pinggang yang dipertandingkan pada kejohanan itu.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Wah berharap sukan seperti muay thai akan mendapat tempat dalam kalangan masyarakat seperti sukan yang popular di Malaysia antaranya bola sepak, badminton dan sepak takraw.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Gavin, Ashley kekal pertaruhan ke Paris

KUALA LUMPUR: Dua pemain golf profesional negara, Gavin Kyle Green dan Ashley Lau kekal menjadi taruhan Persatuan Golf Malaysia (MGA) bagi menggalas cabaran negara ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan bermula Julai depan.

Presiden MGA Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata ia selepas kedua-dua pemain itu masih konsisten menempatkan diri dalam kelompok 60 terbaik layak ke temasya tersebut yang berbaki kurang sebulan tarikh kelayakan ditutup.

Gavin masih dalam landasan tepat untuk ke Olimpik selepas berada di kedudukan ke-52 bagi kategori lelaki sementara Ashley di kedudukan ke-50 bagi kategori wanita berdasarkan ranking terbaharu dikeluarkan.

“Saya optimis kedua-dua mereka akan layak sebab ikutkan tarikh kelayakan masih ada sehingga Jun (17 Jun untuk lelaki, 24 Jun untuk wanita).

“Ada banyak lagi kejohanan akan disertai, jadi mereka perlu terus konsisten dan pastikan ranking tersebut tidak akan jatuh,” katanya selepas Majlis Pelancaran Siri Golf Wanita Poh Kong di sini hari ini.

Malaysia sebelum ini turut meletakkan harapan buat seorang lagi pemain golf profesional wanita iaitu Natasha Andrea Oon (ranking ke-59) bagi melayakkan diri ke temasya paling berprestij di dunia itu.

Pada Olimpik 2020 di Tokyo, Malaysia menghantar dua wakil ke temasya tersebut masing-masing Gavin dan Kelly Tan bagi kategori wanita.

Sementara itu, edisi kedua Siri Golf Wanita Poh Kong bertujuan menggalakkan lebih ramai penyertaan wanita dalam sukan golf, meletak sasaran lebih 120 peserta bersaing merebut trofi cabaran yang buat julung kali diperkenal.

Pusingan pertama akan diadakan pada 3 Julai di Kuala Lumpur Golf and Country Club di sini, sementara pusingan kedua pada 15 Okt di Horizon Hills Golf and Country Club, Johor Bahru, Johor. – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Mental saya lebih kuat selepas pembedahan jantung – Azizulhasni

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang yakin bahawa daya ketahanan mentalnya jauh lebih kuat berbanding sebelum ini ketika bersiap sedia menyertai temasya Sukan Olimpik Paris 2024 pada Julai ini.

Walaupun terdapat keraguan oleh beberapa pihak selepas menjalani pembedahan jantung terbuka pada tahun 2022, beliau percaya bahawa keadaan daya ketahanan mentalnya meningkat dengan ketara selepas mengharungi detik yang mencabar dalam kerjayanya.

Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman menetapkan sasaran untuk memenangi emas di Olimpik Paris pada penampilan terakhirnya dan kelima di temasya terbesar dunia itu..

“Kekuatan mental sudah mantap sebelum ini tetapi selepas mengharungi proses (pembedahan jantung), ia bertambah lebih mantap.

“Jika anda mempunyai minda dan badan yang kuat… sebarang kesukaran atau cabaran yang menghadapi saya sekarang bukanlah apa-apa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada pelancaran menu bertemakan Olimpik di restoran Jepun terkenal Nobu di sini hari ini.

Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu berusia 36 tahun itu menjalani pembedahan jantung terbuka susulan mengalami masalah gantung jarang ditemui dikenali sebagai arteri koronari kanan yang menyalur dari arota di posisi janggal (AAORCA) di Hospital Epworth Richmond di Melbourne, Australia pada April 2022.

Azizulhasni mengakui bahawa beliau sangat terkejut dengan prestasinya pada pertandingan semasa kerana pada mulanya menjangkakan penurunan prestasi apabila mencapai usia pertengahan 30-an.

“Semasa latihan di gimnasium, saya masih berasa kuat.. Kami mempunyai data yang boleh menjejaki segala-galanya, termasuk kuasa dan kelajuan saya dan jurulatih (John Beasley) juga terkejut (hasilnya),” katanya.

Pemenang pingat gangsa di Olimpik Rio 2016 dan perak di Olimpik Tokyo 2020 dalam acara keirin berkata sistem sokongan kuat daripada keluarga, pasukan dan rakyat Malaysia adalah sebab mengekalkannya dan menjadikannya lebih kuat apabila bersaing di trek.

Beliau juga berkongsi bahawa Pengarah Sukan Kardiovaskular dan Kecergasan merangkap Pakar Perunding Kanan Bedah Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Seri Dr Jeffrey Jeswant Dillon akan mengiringinya ke Paris bagi memantau kesihatannya sepanjang Sukan Olimpik 2024.

“Dr Jeffrey Jeswant akan bersiap sedia di Paris. Ia sangat penting bagi saya untuk berasa selesa dan selamat jika berlaku apa-apa perkara,” kata juara dunia keirin 2017 itu.

Dr Jeffrey, yang bekerjasama dengan pakar bedah Australia, Dr Aubrey Almeida, memainkan peranan penting dalam ‘menyelamatkan nyawa Azizulhasni’ semasa pembedahan jantung terbuka di Melbourne.

Sukan Olimpik Paris 2024 akan bermula pada 26 Julai hingga 11 Ogos ini. – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Pan Gon harap keajaiban di Kyrgyzstan

KUALA LUMPUR: Pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon mengharapkan satu lagi keajaiban dapat dihasilkan anak buahnya apabila sekali lagi bakal menentang Kyrgyzstan, kali ini di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek pada 6 Jun depan.

Skuad Harimau Malaya ‘mengaum’ pada aksi pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada November tahun lalu yang menyaksikan mereka bangkit daripada ketinggalan 1-3 untuk merakam kemenangan dramatik 4-3 ke atas pasukan yang berada dalam kelompok 100 terbaik dunia itu.

Justeru, Pan Gon mahu anak buahnya memperagakan semangat juang yang tinggi meskipun sedar skuad negara memiliki rekod yang kurang memberangsangkan apabila beraksi di tempat lawan.

“Mereka adalah pasukan kedua terbaik di Asia Barat selepas Uzbekistan. Kita ketinggalan 1-3 sebelum ini tetapi pemain bangkit untuk meraih kemenangan. Kemenangan ini adalah hasil semangat juang tinggi pemain.

“Tetapi kita harus menghormati Kyrgyzstan yang berada di ranking ke-100 dan beraksi di tempat sendiri. Rekod kita di tempat lawan juga tidak begitu baik apabila kita hanya menang dua daripada lapan perlawanan.

“Jadi kita tidak berapa kuat di tempat lawan tetapi kita akan hadapi cabaran ini untuk mencipta kejutan bagi membanggakan rakyat Malaysia,” kata Pan Gon.

Sebagai rekod, dua kekalahan berturut-turut di tangan Oman pada aksi kelayakan, Mac lalu menyaksikan skuad negara menghuni tangga ketiga Kumpulan D dengan enam mata, tiga mata di belakang Kyrgyzstan selaku pendahulu dan Oman di tangga kedua.

Selepas menamatkan aksi di Bishkek, skuad negara akan pulang bagi perlawanan keenam berdepan Chinese Taipei di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Jun.

Dua pasukan teratas bagi setiap kumpulan akan mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 selain meraih slot automatik ke Piala Asia 2027.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Cipta klon Syahir, formula akhiri kemarau 33 tahun

KUALA LUMPUR: Kelmarin, hajat skuad sepak takraw negara untuk menamatkan kemarau kemenangan ke atas Thailand dalam acara berpasukan sejak 33 tahun lalu tidak kesampaian.

Ia selepas skuad kendalian Ahmad Jais Baharun yang diharapkan mampu mengakhiri penantian panjang di laman sendiri itu tewas 1-2 pada aksi final Piala Dunia 2024 di Stadium Titiwangsa.

Justeru, apakah formula terbaik untuk meleraikan kebuntuan itu dan ketika ditanya persoalan itu legenda emas Sukan SEA 1991, Abdul Malik Samsudin mempunyai ‘resipinya’.

Menurutnya, skuad negara kini hanya perlu menghasilkan ‘klon’ Mohammad Syahir Mohd Rosdi bagi memperkemaskan lagi posisi tekong skuad negara.

Berdasarkan pengamatannya di pentas final di Piala Dunia 2024, ‘resipi’ itu diyakini menamatkan dominasi dilihat Thailand dalam acara berpasukan selepas kali terakhir dilakukan oleh pasukan disertainya di Sukan SEA Manila 1991.

Katanya, Malaysia harus mula menghasilkan tekong yang mempunyai keupayaan seperti Syahir bagi mengimbangi kekuatan Thailand yang dibarisi beberapa pemain berkaliber di posisi berkenaan.

“Bagi saya, kita kena ‘proses’ tekong sahaja sekarang ini… yang lain boleh dikatakan OK. Jadi perlu cari atau tambah baik tekong yang (mempunyai prestasi) seperti Syahir untuk perkuatkan serangan.

“Bagi saya ini perlu sebagai persediaan ke Sukan Asia (Jepun 2026) yang sudah tentunya sukar untuk Thailand melepaskan kemenangan kepada kita. Jadi kita kena bersiap dari sekarang,” katanya.

Pada aksi final kelmarin, Syahir membuktikan servisnya mampu menghuru-harakan regu Thailand apabila beberapa kali servisnya mampu mengutip mata.

Walaupun tewas 9-15 pada set pertama, beliau yang bergandingan bersama Mohamad Azlan Alias dan Farhan Adam bangkit mencipta kemenangan 15-11 di set kedua sebelum menang 15-13 di set penentuan.

Bagaimanapun, regu kedua dibarisi Muhammad Haziq Hairul Nizam, Amirul Zazwan Amir dan Muhammad Noraizat Mohd Nordin gagal menyekat kekuatan trio Thailand, Wichan temkort, Kritsanapong Nontakote dan Pichet Pansan yang mencatat kemenangan 15-8, 15-5 untuk mengikat kedudukan 1-1.

Zuhri Muhammad Zain serta Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican yang diberi tanggungjawab di posisi tekong untuk regu ketiga disertai Aidil Aiman Azwawi dan Baihakki A’ripin turut tidak berupaya untuk menyekat kekuatan Thailand yang mencatat kemenangan 15-12, 15-12 untuk menewaskan Malaysia 2-1.

“Kena persiapkan dari sekarang. Pasukan (Thailand) ini jugalah yang akan ke Sukan Asia nanti kerana mereka ini baharu digilap dan mungkin hanya Siriwat Sakha (tekong) yang tidak ada nanti. Dua lagi, Pornthep (Tinbangbon) dan Sittipong (Khamchan) sudah tentunya ada (dalam pasukan),” kata Malik.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Fahmi Fadzil: 5G-advanced network as fast as 8Gbps will be used to livestream SUKMA 2024

Communications Ministry has announced that it plans to utilise 5G-Advance or 5.5G technology for live streaming during the Malaysia Games (SUKMA) in Sarawak this August. Its Minister, Fahmi Fadzil, says that the live stream is through Radio Televisyen Malaysia (RTM) 

According to Bernama, Fahmi said that the Malaysian Communications and Multimedia Commission (MCMC) had received applications from telecommunications companies eager to collaborate with RTM for the purpose. He added that the difference between 5G and 5.5G is that the latter can achieve speeds of over 8Gbps than just 1Gbps as the former. 

The Communications Minister said that speed is particularly necessary to integrate certain live elements into the broadcast. Fahmi viewed this as an exciting technology and asserted that his Ministry would work towards implementing it for SUKMA.

When asked whether the technology would also be used in other SUKMA locations such as Sibu and Bintulu, Fahmi said the Ministry would first need to study some technical aspects and carry out a field study. As of now, the 5.5G network will be used in Kuching first. 

So, what do you guys think of Fahmi’s statement? Share your thoughts with us in the comments below and stay tuned to TechNave for more trending tech news. -technave

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MAJLIS RAMAH MESRA CDM SUKAN OLIMPIK PARIS 2024 BERSAMA ATLET

Ketua Kontinjen Negara ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamdin Mohd Amin mengadakan pertemuan bersama atlet negara yang telah layak ke temasya terbesar dunia, Sukan Olimpik di ibu negara tengahari tadi.

Antara atlet negara yang hadir pada perjumpaan tersebut adalah Mohamad Aniq Kasdan (angkat berat), Khairulnizam Mohd Afendy (pelayaran), Johnathan Wong (menembak) dan Nur Aisyah Mohammad Zubir (berbasikal).

Datuk Hamidin turut mengadakan pertemuan bersama skuad berbasikal trek negara yang terdiri daripada Dato’ Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri di Velodrom Nasional Nilai.

Seramai 18 atlet negara telah layak ke Sukan Olimpik Paris setakat ini dan keseluruhan atlet yang akan menggalas cabaran negara di temasya itu dijangka diketahui awal Julai depan.

Majlis Sukan Negara Malaysia