Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives May 22, 2024

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Hoki dalam dewan menang tipis atasi Indonesia

KUALA LUMPUR: Skuad hoki dalam dewan lelaki negara mengesahkan slot klasifikasi pertama hingga keempat Piala Asia selepas mencatat kemenangan tipis 5-4 ke atas Indonesia dalam aksi terakhir peringkat kumpulan di Taldykorgan, Kazakhstan sebentar tadi.

Menurut ketua jurulatih, Rodzhanizam Mat Radzi, mereka sekali lagi mencatatkan kemenangan penting selepas anak buahnya memberikan persembahan terbaik.

“Segala perancangan diikuti dengan baik oleh pemain. Semangat juang yang tinggi ditunjukkan oleh mereka semua. Keinginan untuk menang begitu tinggi, pujian harus diberikan kepada setiap pemain.

“Walaupun masih lagi ada kesilapan yang mudah dilakukan oleh pemain, mereka bangkit untuk menutupnya. Tahniah kepada semua pemain bermain mengikut perancangan yang dibuat oleh barisan kejurulatihan,” katanya.

Ketua pasukan, Najmi Farizal Jazlan meledak dua gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit keempat dan 29.

Bagaimanapun, gol kemenangan berjaya dihasilkan Faridzul Afiq hasil gol padang di minit ke-35.

Turut mencetak nama sebagai penjaring buat skuad negara ialah Firdaus Omar (m-9) dan Aslam Mohamed Hanafiah (m-20).

Gol Indonesia disumbangkan Muhamad Alfiana pada minit ke-31 dan 32, manakala dua gol lagi disumbangkan Revo Priliandro (m-24) dan Adi Leksono (m-37).

Kejayaan Malaysia turut dibantu dengan mencatat keputusan seri 3-3 ketika berdepan tuan rumah, pada aksi lebih awal hari ini.

Keputusan berkenaan dibantu dua jaringan pukulan sudut penalti hujung saingan menerusi Najmi Farizal.

Kazakhstan terlebih dahulu membuka jaringan menerusi jaringan padang Tashkeyev Yermek pada minit kedua sebelum Faridzul menyamakan kedudukan pada minit ke-15 melalui pukulan sudut penalti.

Dua minit kemudian Yermek kembali meletakkan tuan rumah di depan hasil pukulan sudut penalti, sebelum Duisengazy Agymtay meletakkan mereka di depan berpunca daripada gol padang di minit ke-34.

Selain Malaysia, Iran dan Thailand turut layak ke klasifikasi pertama hingga keempat ialah tuan rumah Kazakhstan dengan keempat-empat pasukan memburu dua tempat teratas untuk mara ke final sekali gus layak ke Piala Dunia 2025.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Malaysia juara berganda Piala Dunia Sepak Takraw 2024

KUALA LUMPUR: Stadium Titiwangsa menjadi saksi kejayaan luar biasa skuad sepak takraw negara apabila meraih gelaran berganda pada saingan Piala Dunia 2024, sebentar tadi.

Selepas mengungguli acara double, skuad negara melengkapkan malam gemilang mereka dengan turut menjuarai saingan regu menerusi kemenangan ke atas Thailand pada aksi final.

Trio negara yang dibarisi Farhan Adam, Syahir Rosdi, Azlan Alias (Haziq Hairul Nizam) mempamerkan prestasi menakjubkan untuk menumbangkan regu Thailand, Poramet Siriswat, Sittipong Khamchan, Varayut Jantarasena (Siriwat Sakha) 15-8, 15-12.

Dibantu sokongan padu kira-kira 3,000 penyokong yang hadir di Stadium Titiwangsa, regu Malaysia bermula dengan aksi penuh meyakinkan apabila kekal mendahului sepanjang perlawanan sebelum mencatat kemenangan 15-8 di set pertama.

Regu Malaysia, Farhan Adam, Mohammad  Haziq Hairul Nizam dan Muhammad Azlan Alias meraikan kemenangan menewaskan Thailand pada final Sepak Takraw Piala Dunia 2024 di Stadium Titiwangsa. - NSTP/HAZREEN MOHAMAD
Regu Malaysia, Farhan Adam, Mohammad Haziq Hairul Nizam dan Muhammad Azlan Alias meraikan kemenangan menewaskan Thailand pada final Sepak Takraw Piala Dunia 2024 di Stadium Titiwangsa. – NSTP/HAZREEN MOHAMAD
Pasukan Sepak Takraw Lelaki Malaysia meraikan kemenangan berganda selepas menewaskan pasukan Thailand pada perlawanan final regu dan double lelaki Sepak Takraw Piala Dunia 2024 di Stadium Titiwangsa. STR/HAZREEN MOHAMAD
Pasukan Sepak Takraw Lelaki Malaysia meraikan kemenangan berganda selepas menewaskan pasukan Thailand pada perlawanan final regu dan double lelaki Sepak Takraw Piala Dunia 2024 di Stadium Titiwangsa. STR/HAZREEN MOHAMAD

Thailand yang tersentak dengan kekalahan set pertama cuba bangkit dan memberi tentangan dalam usaha untuk mengheret ke set penentuan.

Bagaimanapun, trio negara diketuai Farhan kekal tenang dalam menyerap segala asakan skuad Gajah Perang sekali gus menoktahkan kemenangan 15-12 di set kedua.

Sebagai rekod, kali terakhir regu Malaysia berjaya menumbangkan Thailand adalah pada saingan Siri Super ISTAF 2015 di Melaka.

Kemenangan regu negara menambahkan koleksi kejuaraan Malaysia pada edisi Piala Dunia tahun ini gandingan Aidil Aiman Azwawi-Noraizat Mohd Nordin menjuarai acara double.

Aidil-Noraizat mencatat kemenangan 17-16, 15-13 ke atas gandingan Thailand Seksan Tubtong-Kittiphum Sareebut dalam final double.

Pingat emas dalam acara double dan regu itu adalah yang pertama buat Malaysia dalam saingan Piala Dunia sejak diperkenalkan pada 2011. -Berita Harian

Pasukan Sepak Takraw Lelaki Malaysia meraikan kemenangan berganda selepas menewaskan pasukan Thailand pada perlawanan final regu dan double lelaki Sepak Takraw Piala Dunia 2024 di Stadium Titiwangsa. STR/HAZREEN MOHAMAD
Pasukan Sepak Takraw Lelaki Malaysia meraikan kemenangan berganda selepas menewaskan pasukan Thailand pada perlawanan final regu dan double lelaki Sepak Takraw Piala Dunia 2024 di Stadium Titiwangsa. STR/HAZREEN MOHAMAD
Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Aaron-Wooi Yik tepati ramalan

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menepati ramalan apabila mengesahkan tiket ke pusingan kedua Masters Malaysia, hari ini.

Bagaimanapun, pasangan nombor empat dunia itu dipaksa bekerja keras sebelum berjaya menundukkan gandingan Korea Selatan, Kim Young Hyuk-Wang Chan 21-18, 22-20 pada pusingan pertama di Axiata Arena Bukit Jalil.

Wooi Yik mengakui, mereka melakukan banyak kesilapan mudah dalam perlawanan itu, terutamanya di set pertama sehingga membolehkan lawan mendapat kelebihan sebelum mencatat kemenangan 21-18.

“Bagi saya, mereka tidak banyak memberikan tekanan kepada kami, cuma kesilapan sendiri yang menyebabkan kami berada dalam keadaan tertekan. Saya juga fikir kami tidak bermain baik hari ini,” katanya ketika ditemui sejurus tamat perlawanan.

Sementara itu, Aaron berkata tekanan yang dihadapi ketika berada dalam situasi mata penting mampu menjadi latihan terbaik untuk mereka menguatkan mental menjelang perlawanan seterusnya.

“Berdepan situasi genting seperti ini sebenarnya sangat baik untuk kita. Apabila ia sentiasa berlaku, sudah tentu keadaan itu akan menjadi kebiasaan, jadi sudah tidak tertekan lagi,” katanya.

Aaron-Wooi Yik akan berdepan beregu China, Chen Bo Yang-Liu Yi bagi perebutan tiket ke suku akhir, esok.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Azizulhasni, Nurul Izzah dominasi acara keirin

NILAI: Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan pelumba wanita negara, Nurul Izzah Izzati Asri, menunjukkan status mereka apabila masing-masing mendominasi acara keirin kategori elit Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2024.

Kedua-duanya tampak tidak perlu mengerah kudrat mereka untuk meraih pingat emas di Velodrom Nasional, di sini, hari ini.

Biarpun diberikan tentangan rakan sepasukan, Muhammad Shah Firdaus Sharom, namun The Pocketrocketman unggul di depan dengan menamatkan saingan penuh bergaya selepas mencatat masa 10.395 saat (s).

“Tampak ada saingan sengit daripada rakan lain termasuk rakan sepasukan dari Terengganu, Harif Salleh, tapi saya anggap itu sesuatu yang positif dalam persiapan untuk ke Olimpik Paris.

DISYORKAN UNTUK ANDA

“Saya perlu kekalkan momentum baik dengan meraih kemenangan kerana ia penting sebagai sandaran untuk beraksi di Paris nanti,” kata Azizulhasni selepas menerima hadiah.

Shah Firdaus dan adiknya, Muhammad Ridwan Sharom yang mewakili Johor masing-masing meraih pingat perak dan gangsa.

Sementara itu, Nurul Izzah Izzati muncul juara keseluruhan acara keirin akhir wanita elit apabila mencatat kemenangan dalam perlumbaan pertama dan kedua.

Pelumba kebangsaan dari Kedah itu mencatat masa 11.449s pada final untuk meraih pingat emas sekali gus mengenepikan pencabar terdekar, Yong Ann Tung dari Selangor A yang meraih pingat perak dan Nurul Aliana Shafika Azizan (Pulau Pinang) yang meraih gangsa.

Nurul Izzah menganggap masa yang dicatatkannya itu bukan sasaran sebenar kerana misinya adalah untuk mencatat masa di bawah 11.0s.

“Bagaimanapun ia tetap baik sebagai persiapan untuk menghadapi cabaran lebih besar di Olimpik, Julai depan.

“Saya harap dapat melakukan catatan lebih baik pada acara kejar mengejar, esok,” kata pelumba bertubuh kecil berusia 21 tahun itu.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Zii Jia lega lepasi pusingan pertama Masters Malaysia

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengakui lega selepas berjaya mengelak daripada tewas di pusingan pertama Masters Malaysia, hari ini.

Pemain ranking ke-10 dunia itu mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua apabila bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mengatasi wakil China, Zhao Jun Peng 19-21, 21-11, 21-14 pada aksi pusingan pertama di Axiata Arena Bukit Jalil.

Masih segar dengan kejayaan menjuarai Terbuka Thailand di Bangkok, Ahad lalu, Zii Jia, berkata dia tidak rela kecundang sekali lagi pada pusingan awal di laman sendiri.

Katanya, kejayaan di Bangkok banyak membantu meningkatkan tahap keyakinan dan semangatnya.

“Saya sangat gembira kerana berjaya memenangi perlawanan hari ini biarpun saya tewas di set pertama. Jun Peng adalah lawan yang sukar dan pernah menewaskan saya sebelum ini, sudah tentu saya gembira dapat menewaskannya.

“Seperti yang saya katakan, keyakinan yang ditemui di Thailand sangat membantu saya mengatasi kekecewaan tewas di pusingan pertama.

“Secara jujurnya, saya terfikir takkanlah kalah di pusingan pertama lagi. Saya gembira saya dapat menampilkan persembahan terbaik saya di set kedua dan ketiga untuk memenangi perlawanan,” kata Zii Jia selepas tamat perlawanan.

Zii Jia yang tidak pernah melepasi pusingan kedua dalam kejohanan itu sejak mara ke separuh akhir pada edisi 2020 akan bertemu pemain India, Kiran George bagi perebutan tiket ke suku akhir, esok.

“Kiran adalah pemain yang sedang meningkat naik. Saya perlu berwaspada dengan pemain sepertinya yang tidak ada sebarang tekanan, tidak gentar dan akan berjuang habis-habisan untuk mencipta kejutan.

“Ini adalah cabaran yang perlu saya harungi. Saya harap boleh kekalkan momentum,” katanya.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
e-Sports permotoran Sarawak sasar tiga emas SUKMA 2024

KUCHING, 22 Mei: Pusat teknologi simulasi sukan permotoran Metadise Sim Racing di sini menjadi arena latihan untuk atlet sukan elektronik Bumi Kenyalang yang akan bersaing pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024.

Ketua Pegawai Operasi Metadise Sdn Bhd Dylan Ang yang juga jurulatih sukan itu berkata, persiapan atlet setakat ini berjalan lancar dengan menggunakan teknologi terkini agar mereka dapat mencapai sasaran yang ditetapkan.

Ujarnya teknologi di Metadise Racing Sim membolehkan atlet berlatih secara simulasi di gelanggang perlumbaan berbeza di seluruh dunia termasuk menggunakan spesifikasi kenderaan berbeza.

“Untuk SUKMA, atlet kita sekarang melakukan latihan selama tiga jam pada setiap hari.

“Kita sedang mempersiapkan mereka untuk mencapai sasaran tiga emas yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Hari Terbuka Metadise Eraxing Grand Prix Free-Run di sini hari ini.

Sementara itu, salah seorang atlet SUKMA Sarawak yang akan menyertai acara Racing Simulator, Muhammad Hamdany Abdul Hamid berkata, teknologi yang terdapat di pusat ini sangat membantu dia ketika sesi latihan.

Katanya, walaupun belum pasti teknologi simulasi yang bakal digunakan ketika pertandingan sebenar berlangsung, dia yakin akan dapat menyesuaikan diri.

“Persiapan untuk SUKMA berjalan lancar kerana kita guna teknologi canggih untuk latihan,” katanya.

Sementara itu Presiden Persatuan Sukan Elektronik Sarawak Afiq Fadhli Narawi berkata, sukan permotoran Sarawak menggunakan elemen teknologi terkini untuk memberi pengalaman dan simulasi perlumbaan sebenar kepada agar.

https://youtube.com/watch?v=QgIdQMYqIrM%3Ffeature%3Doembed

“Kewujudan pusat latihan simulasi ini berupaya melahirkan lebih banyak bakat baharu untuk sukan tersebut yang dapat seterusnya akan bertanding di peringkat tertinggi dan mengharum nama Sarawak.

“Inisiatif yang diketengahkan ini selari dengan langkah Kerajaan Sarawak yang memperkenalkan teknologi dalam sukan,” katanya. -TVS.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Jonah sasar gelaran Olahragawan SUKMA

KUALA LUMPUR: Jaguh lontar peluru negara, Jonah Chang Rigan mengintai peluang untuk menjadi atlet olahraga pertama Sarawak dinobatkan sebagai Olahragawan di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang akan berlangsung di negeri kelahirannya dari 17 hingga 24 Ogos depan.

Masih segar dengan kejayaan memecahkan rekod kebangsaan sebanyak tiga kali di Terbuka Pahang, Sabtu lalu, Jonah menetapkan sasaran untuk meraih tiga pingat emas di SUKMA tahun ini bagi meningkatkan peluangnya merangkul gelaran Olahragawan.

Katanya, dia menyasarkan emas dalam acara lontar peluru, lempar cakera dan baling tukul besi.

“Tidak pernah atlet dari disiplin balingan merangkul tiga emas. Satu lagi saya mahu jadi atlet olahraga yang memenangi Olahragawan walaupun ia sukar dengan tentangan atlet terjun, renang, kayak dan boling.

“Bukan senang atlet olahraga untuk menjadi Olahragawan tetapi saya cuba untuk mencipta sejarah dengan memburu tiga emas dan mencatatkan dua rekod,” katanya yang mencatat rekod baharu kebangsaan 18.46 meter (m) mengatasi catatan lama 17.06m.

Atlet berusia 21 tahun itu menjadi atlet pertama Malaysia yang berjaya melepasi jarak 18m.

Pada edisi terakhir di Kuala Lumpur dua tahun lalu, Jonah meraih emas bagi acara lontar peluru manakala perak bagi lempar cakera dan baling tukul besi.

Bagaimanapun, Jonah tetap berwaspada dengan kemampuan atlet remaja pada edisi kali ini yang dijangka memberi tentangan sengit kepada dirinya.

“Atlet remaja juga mampu membuat balingan jauh namun saya perlu melakukannya kerana ini adalah SUKMA terakhir dan perlu mendapatkannya (tiga emas) tahun ini,” katanya.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia