Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives May 12, 2024

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Sivasangari ke pusingan ketiga Kejohanan Skuasy Dunia

KUALA LUMPUR: Ratu skuasy negara, S Sivasangari menepati ramalan apabila mengesahkan tiket ke pusingan ketiga Kejohanan Skuasy Dunia di Kaherah, Mesir, hari ini.

Juara Klasik London itu tidak berdepan masalah untuk menundukkan pemain remaja Amerika Syarikat, Caroline Fouts 3-0 (11-6, 11-7, 11-6) pada aksi pusingan kedua yang berlangsung selama 24 minit.

“Caroline baru 18 tahun… dalam fikiran saya timbul persoalan bagaimana agaknya masa depan skuasy. Dia bakal memasuki universiti dan saya pasti dia adalah harapan besar Amerika Syarikat di masa depan,” kata Sivasangari.

Pemain berusia 25 tahun itu dijangka berdepan ujian getir di pusingan ketiga apabila bakal bertemu pemenang perlawanan antara pilihan kedua dari Mesir, Hania El Hammamy ataupun pemain Perancis, Melissa Alves, Selasa ini.

Sebagai rekod, Sivasangari berjaya mengatasi El Hammamy pada aksi final Klasik London, bulan lalu.

Sementara itu, pemain lelaki utama negara, Ng Eain Yow turut melangkah ke pusingan ketiga selepas menewaskan wakil Jepun, Ryunosukue Tsukue dalam aksi straight set 11-1, 11-5, 11-9 dalam masa 36 minit.

Eain Yow akan bertemu pemenang perlawanan antara pilihan kedua, Paul Coll dari New Zealand atau Leonel Cardenas dari Mexico.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Azizulhasni raih gangsa kedua di Jepun

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang menaiki podium buat kali kedua dalam tempoh kira-kira 24 jam selepas meraih pingat gangsa dalam final keirin lelaki pada saingan Piala Trek Jepun II di Velodrom Izu di Shizuoka hari ini.

Azizulhasni yang turut merangkul gangsa dalam acara pecut semalam, terpaksa akur dengan kehebatan dua pelumba tuan rumah yang menyaksikan Kaiya Ota meraih emas dan perak menjadi milik Kento Yamasaki, demikian menurut https://www.uci.org/competition-details/2024/PIS/72366.

Pada perlumbaan hari ini, strategi juara dunia 2017 dan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam acara keirin itu melakukan pecutan awal dapat dihidu Ota dan Yamasaki yang berjaya memintas untuk mengesahkan kejayaan satu-dua Jepun.

Ia adalah emas kedua Ota selepas pelumba sensasi Jepun berusia 24 tahun itu turut mengatasi Azizulhasni dengan mengungguli saingan pecut lelaki.

Pada masa sama, seorang lagi pelumba negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang gagal melayakkan diri ke final, menamatkan saingan tempat ketujuh hingga 12 di kedudukan kelapan.

Sementara itu, bintang muda berbasikal trek negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri meraih tempat ketujuh dalam acara keirin wanita apabila mendominasi perlumbaan tempat ketujuh hingga 12 selepas gagal menempatkan diri dalam saingan final.

Kedudukan tiga teratas menjadi milik pelumba Jepun dengan Mina Sato meraih emas, Fuko Umekawa (perak) dan Riyi Ohta membawa pulang gangsa.

Perlumbaan di Jepun itu sebagai antara persediaan Azizulhasni, Shah Firdaus dan Nurul Izzah yang merupakan tiga pelumba berbasikal trek negara layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 sebelum menghadapi cabaran di temasya sukan berprestij itu bermula Julai depan.

– BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
JAPAN TRACK CUP

10-12 Mei 2024

Izu Velodrome

Hari Ketiga

Men Elite Keirin

🥇Ota Kiaya

🥈Kento Yamasaki

🥉Dato Mohd Azizulhasni Awang

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Para SUKMA Sarawak azam rampas gelaran juara keseluruhan di tempat sendiri

MUKAH, 12 Mei: Kontinjen Para Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak berazam untuk memanfaatkan aksi di gelanggang sendiri dengan muncul juara keseluruhan temasya itu tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg juga mahu melihat kontinjen Bumi Kenyalang meraih banyak pingat emas bagi merealisasikan impian berkenaan.

“Para SUKMA Sarawak telah muncul juara keseluruhan sebanyak 13 kali namun dikecewakan oleh Sabah dengan perbezaan empat pingat emas sahaja pada edisi lalu.

“Saya bersama Premier Sarawak menyeru kepada atlet-atlet Para SUKMA Sarawak supaya rampas kembali kejuaraan kita dan jika mampu melakukannya, kita akan bergelar juara Para SUKMA untuk kali ke-14,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Larian Baton sempena SUKMA Sarawak dan Para SUKMA Sarawak 2024 di Dataran Pehin Setiaraja di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA Sarawak 2024 Datu Hii Chang Kee, Residen Bahagian Mukah Kueh Lei Poh, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datu Felicia Tan Ya-Hua dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi.

Sehubungan itu, Fatimah menyeru kepada seluruh warga Sarawak agar memberi sokongan padu kepada atlet-atlet mereka.

Para SUKMA Sarawak 2024 akan bermula pada 23 hingga 28 September depan di Kuching.

Sebanyak 10 acara akan dipertandingkan iaitu olahraga, renang, badminton, pingpong, boling tenpin, boccia, boling padang, angkat berat, memanah dan catur. – TVS

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Piala Sultan Azlan Shah beri bayangan awal

JEPUN, juara baharu Piala Sultan Azlan Shah dan naib juara Pakistan memberi laungan awal bakal menjadi antara pasukan digeruni pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas memperagakan potensi pada kejohanan jemputan enam negara di Stadium Hoki Azlan Shah,

Skuad Speedy Tigers kendalian Sarjit Singh sejak awal Mac lalu berdepan banyak cabaran perlu ditempuhi untuk mencabar pingat emas Sukan Asia dan mengesahkan kelayakan awal ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28), sekali gus menamatkan kemarau 24 tahun beraksi di Sukan Olimpik.

Edisi ke-30 berakhir semalam sejak 4 Mei lalu menjadi medan pendedahan dan ujian bakat baharu bagi Malaysia, Jepun Pakistan, Korea Selatan, New Zealand dan Kanada membina skuad mantap untuk kitaran Olimpik seterusnya.

Piala Sultan Azlan Shah memberikan petunjuk awal Sukan Asia (Asiad) 2026 yang menampilkan kuasa hoki utama Asia – Korea Selatan, ranking ke-12 dunia, Malaysia (13), Jepun (15) dan Pakistan (16) melainkan juara Asia India dan wakil tunggal benua Asia yang memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024.

Jepun muncul sebagai pasukan harus diberi perhatian pada Asiad 2026, bukan sahaja sebagai negara tuan rumah tetapi juga kerana persembahan mereka yang memberangsangkan sepanjang Piala Sultan Azlan Shah.

Pengendali Jepun, Yoshihiro Anai, 36, tiba di Ipoh dengan pasukan muda dengan hanya empat pemain memiliki lebih 100 kaps dan tiga melakukan penampilan antarabangsa pertama di kejohanan tersebut dengan purata pemain dalam skuad 18 pemain berusia 24 hingga 17 tahun.

Walaupun kurang pengalaman, Jepun membuktikan status mereka sebagai ‘kuda hitam’ apabila merungkai prinsip rahsia Samurai untuk meraih gelaran sulung dengan mengejutkan Pakistan 4-1 menerusi penalti ‘shoot-out’ selepas aksi final berkesudahan 2-2 semalam.

Corak permainan teratur dan benteng pertahanan kebal memberikan cabaran menggerunkan kepada lawan dengan hanya memboloskan tujuh gol sepanjang kejohanan sehingga ke final dan rekod tanpa kalah di liga sepusingan.-Sinar Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Li Jane sambar emas di Amerika Syarikat

PEMAIN boling wanita negara, Sin Li Jane ternyata masih berbisa apabila meraih pingat emas di Kejohanan Boling Terbuka Journal Rockford di The Cherry Bowl di Illinois, Amerika Syarikat pada Sabtu.

Pemain berusia 32 tahun itu mempamerkan aksi dominan sepanjang saingan apabila melakukan 5,289 jatuhan pin secara keseluruhan dalam pertarungan stepladder.

Li Jane mengetepikan cabaran pemain Ukraine, Dasha Kovalova yang melakukan 5,221 jatuhan pin untuk meraih perak manakala wakil tuan rumah Josie Barnes pula perak selepas menjatuhkan 5,208 pin.

“Ia adalah satu daripada matlamat saya untuk kembali tahun lepas, tetapi kami mempunyai beberapa kejuaraan utama di Malaysia. Rasanya baik untuk kembali dalam lawatan siri jelajah ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Li Jane sebelum itu berjaya mengekalkan aksi konsisten sepanjang 24 permainan dalam laluan untuk muncul juara pada kejohanan tersebut yang merupakan Siri Jelajah Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA).-Sinar Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Azeem bantu kuartet Universiti Auburn raih perak

PELARI pecut sensasi negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi menampilkan larian bertenaga bagi membantu kuartet 4×100 meter (m) lelaki Universiti Auburn meraih perak Kejohanan Balapan dan Padang Southeastern Conference (SEC) di Florida, Amerika Syarikat pada Ahad.

Pemenang gangsa 100m lelaki Sukan Asia Hangzhou 2022 itu yang berlari bersama Favour Ashe, Makanaishe Charamba dan Kanyinsola Ajayi, merekodkan 38.55 saat (s) iaitu catatan kelima terbaik dalam sejarah universiti tersebut.

Ia juga merupakan rekod terbaik buat Universiti Auburn dalam penampilan SEC sejak 1997.

Kuartet dari Louisiana State University (LSU) yang dibarisi Myles Thomas, Da’Marcus Fleming, Jaiden Reid dan Godson Oghenebrume meraih emas dengan catatan 38.19s.

Sementara, kuartet dari Universiti Florida dibarisi JeVaughn Powell, Wanya McCoy, Caleb Foster, Robert Gregory meraih gangsa dengan catatan 38.73s. – Bernama

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Atlet perlu berjiwa besar raih kejayaan di Paris – Hannah

KOMITMEN wakil tunggal negara dalam acara perseorangan badminton lelaki Sukan Olimpik 2024 Paris, Lee Zi Jia yang meletakkan sasaran pingat emas di temasya sukan itu, perlu ada dalam jiwa setiap atlet negara lain yang layak.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, keazaman sedemikian, sememangnya diperlukan pada temasya itu yang akan membuka tirai bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

“Bagus kalau semua atlet yakin dengan kemampuan mereka dan itu yang kita nak, iaitu pergi ke sana dengan keyakinan yang tinggi.

“Biarpun dia (Zii Jia) tiada dalam program Road to Gold, semua atlet yang mewakili Malaysia ke Paris kita tetap bagi sokongan daripada Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN),” katanya ketika ditemui Bernama selepas merasmikan program larian ALEPS Ekiden Half Marathon 2024, di sini, pada Ahad.

Hannah dalam masa sama mengingatkan supaya kesemua atlet yang telah layak, terus memastikan mereka bebas daripada segala kecederaan menjelang temasya tersebut.

Jumaat lepas, Zii Jia menyuarakan hasrat untuk menang pingat emas, sebaik sahaja Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengeluarkan senarai akhir pemain yang sudah melayakkan diri untuk beraksi di Olimpik.

Pada penampilan di Olimpik Tokyo 2020, Zii Jia terkandas di pusingan 16 terbaik selepas tewas kepada pemain China Chen Long.

Zii Jia yang membuat penampilan kedua di temasya tersebut menerusi menerusi rakaman suara yang dimuat naik menerusi laman sosial Instagram Team LZJ, pada masa sama enggan penyertaannya itu dianggap sekadar pelengkap jadual. – Bernama

Majlis Sukan Negara Malaysia