SEPANG: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengakui masih belum berpuas hati sepenuhnya dengan prestasi mereka ketika saingan Piala Thomas 2024 di Chengdu, China.
Bagaimanapun, pasangan ranking nombor lima dunia berkenaan tetap gembira dapat membantu skuad negara membawa pulang pingat gangsa daripada kejohanan berpasukan itu.
Malaysia terpaksa akur gagal ke final selepas tewas 1-3 di tangan China pada aksi separuh akhir, Sabtu lalu.
“Piala Thomas adalah kejohanan berpasukan. Suka atau tidak, setiap pasukan memerlukan skuad yang seimbang.
“Ia bukan soal sama ada kami mempunyai pemain beregu yang lebih kuat atau pemain perseorangan yang kuat. Kita perlu memberi sokongan antara satu sama lain.
“Pasukan tahun ini tidak begitu berbeza dengan edisi sebelum ini, tetapi kami semua hampir sama umur. Jadi, komunikasi adalah lebih baik dan semangat berpasukan yang tinggi.
“Dua tahun dari sekarang apa-apa boleh berlaku, jadi kita lihat apa yang akan berlaku nanti,” kata Aaron kepada media sebaik tiba dari Chengdu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.
Aaron-Wooi Yik yang muncul juara dunia pada 2022 kini mengalihkan tumpuan terhadap persiapan bagi menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024, Julai depan.
“Pingat gangsa ini amat bermakna kepada seluruh pasukan. Bagi saya dan Wooi Yik, kami perlu membuktikan bahawa biarpun dengan kekuatan pasukan yang tidak ramai letakkan harapan, kami berjaya mencatat pencapaian di luar jangkaan.
“Bagaimanapun, saya tidak akan mengatakan kami berpuas hati sepenuhnya. Untuk pasukan, ya, kami okay tetapi masih ada ruang untuk penambahbaikan.
“Sekarang ini, prestasi kami perlahan-lahan meningkat tetapi kami belum mencapai kemuncak lagi,” kata Aaron.
Dalam pada itu, Aaron berharap dia dan Wooi Yik berpeluang untuk bertemu dengan pasangan kelompok utama dunia sebagai persiapan menghadapi Olimpik Paris.
“Kami masih ada beberapa kejohanan lagi untuk disertai dan berharap dapat menentang pasangan utama dunia. Jadi, kami boleh buat persiapan sebelum Olimpik.
“Sebelum temasya bermula, ada tempoh rehat empat hingga enam minggu, jadi penting untuk kami kekalkan momentum,” katanya.-Berita Harian