KUALA LUMPUR: Jurulatih beregu lelaki, Tan Bin Shen melontarkan cabaran kepada dua gandingan negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun untuk kembali bangkit dan mula menjuarai kejohanan bertaraf Super 500 ke atas.
Kedua-dua pasangan itu bergelut dalam kejohanan individu musim ini yang turut menyaksikan mereka gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Izzuddin-Sze Fei yang menghuni ranking ke-19 dunia tewas di pusingan awal dalam semua kejohanan musim ini manakala pencapaian terbaik Wei Chong-Kai Wun adalah mara ke suku akhir Terbuka Switzerland, bulan lalu.
Bin Shen, berkata dia mahu kedua-dua gandingan itu bangkit bermula dengan Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China dari 9 hingga 14 April ini.
“Walaupun gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik, masih banyak lagi yang mereka belum capai seperti memenangi gelaran juara kejohanan Super 500 atau 750.
“Itu adalah sasaran yang seharusnya mereka capai daripada asyik kalah di pusingan awal dan suku akhir. Selepas ini mereka akan beraksi di BAC dan saya berharap ada keputusan positif daripada mereka dalam kejohanan itu nanti,” kata Bin Shen.
Menurut Bin Shen, sekiranya Izzuddin-Sze Fei dan Wei Chong-Kai Wun tidak bangkit, kedudukan mereka akan ‘dirampas’ pasangan muda negara seperti Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King dan Aaron Tai-Kang Khai Xing yang ketika ini menunjukkan peningkatan prestasi positif.
Haikal-Hon Jian cemerlang apabila berjaya merangkul gelaran ketiga mereka dalam Jelajah Dunia BWF dengan menjuarai Masters Orleans di Perancis sekali gus melonjak ke kedudukan ke-28 dunia manakala Wan Arif-Roy King muncul naib juara Masters Sepanyol untuk naik ke tangga ke-50 ranking dunia.
Aaron-Kai Xing turut cemerlang apabila merangkul gelaran pertama mereka di peringkat senior selepas menjuarai Cabaran Antarabangsa Thailand untuk melonjak ke tangga ke-118 dunia berbanding 167 sebelum ini.
“Kita perlukan banyak pasangan untuk bersaing dengan Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki nombor satu negara), kalau semua menang kita akan ada beregu yang berkualiti sekali gus kualiti dalam latihan juga akan meningkat,” kata Bin Shen.-Berita Harian