KUALA LUMPUR: Pemain skuasy wanita negara, S Sivasangari terus mencipta kejutan apabila menewaskan Hania El Hammamy dari Mesir yang juga pemain di ranking kedua dunia untuk menjuarai Klasik London 2024, sebentar tadi.
Sivasangari, 25, mempamerkan aksi penuh konsisten di sepanjang kejohanan bertaraf emas itu dengan kemuncaknya menewaskan Hania 3-2 dalam tempoh 81 minit di pentas final yang berlangsung di Alexandra Palace London.
Lebih manis, sejarah tercipta buat Sivasangari apabila melakar kejuaraan pertamanya dalam kejohanan bertaraf emas yang menyaksikan dirinya turut melakar kejutan ke atas beberapa nama tersohor seperti pemain nombor satu dunia dari Mesir, Nour El Sherbini di suku akhir, nombor empat dunia dari Belgium, Nele Gilis (separuh akhir) dan Hania di pentas final.
Juara Sukan Asia 2022 itu membuka tirai pertarungan dengan memenangi set pertama 11-9 namun Hania, 24, nyata tidak menyediakan laluan mudah kepada Sivasangari apabila mengikat keputusan kepada 1-1 selepas memenangi set kedua, 11-5.
Sivasangari yang kini melonjak ke ranking ke-13 dunia kemudian bangkit memenangi set ketiga 13-11 sebelum pilihan kedua kejohanan dari Mesir itu kembali menyamakan kedudukan kepada 2-2 selepas melakar kemenangan 14-12.
Sivasangari membuktikan dirinya berada di tahap prestasi terbaik apabila meninggalkan jauh lawannya di awal set kelima namun Hania kembali menunjukkan kebangkitan pada saat akhir yang membuatkan perlawanan menjadi begitu dramatik.
Bagaimanapun, Sivasangari terus mencipta mata untuk mendahului perlawanan kepada 10-8 sebelum memuktamadkan kejuaraannya dengan 11-8 untuk melakar kemenangan muktamad 3-2.
“Tidak tahu bagaimana untuk buat menggambarkannya tetapi aksi saya sepanjang minggu ini (cukup baik), menewaskan pemain kelompok 10 teratas dunia sebanyak tiga kali. Saya gembira dengan kemenangan ini,” kata Sivasangari selepas perlawanan.
Untuk rekod, kemenangan itu membolehkan Sivasangari membawa pulang hadiah wang tunai AS$17,598 (RM83,141).-Berita Harian