Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Langkawi, Sarawak kembali tersenarai dalam LTdL 2024

KUALA LUMPUR: Langkawi kembali tersenarai dalam perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 selain ia turut akan menyaksikan dua peringkat perlumbaan diadakan di Sarawak.

Edisi ke-28 yang akan bermula dari 29 September hingga 6 Oktober depan dijangka menjadi perlumbaan paling mencabar dalam sejarah penganjuran.

Perlumbaan berstatus Proseries itu menawarkan persaingan lapan peringkat dengan Miri dan Bintulu terpilih menjadi hos buat kali pertama.

Lebih menarik, dengan laluan sejauh 1,191.1 kilometer (km), edisi kali ini menawarkan dua pendakian berturut-turut berstatus Hors iaitu pada peringkat ketiga di Cameron Highlands dan pendakian ke Genting Highlands untuk peringkat keempat.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata keseluruhan 11 negeri akan menjadi hos pelepasan dan penamat untuk perlumbaan itu yang memasuki tahun kedua dianjurkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

“Tahun 2024 menjanjikan ujian yang lebih mencabar untuk penganjuran LTdL bukan saja ia kembali ke Langkawi malah akan ke Sarawak pada 5 dan 6 Oktober untuk dua peringkat terakhir (7 dan 8).

“Pemilihan dua peringkat di Sarawak adalah untuk membawa perlumbaan berprestij ini dinikmati oleh rakyat Miri serta Bintulu dan sebelum ini LTdL pernah berlangsung di Kuching pada tahun 2020,” katanya ketika sidang selepas Majlis Pelancaran Logo dan Laluan LTdL 2024 di MSN di sini, hari ini.

Tiga pasukan berbasikal negara dijangka menyertai perlumbaan kali ini membabitkan Pasukan Kebangsaan Malaysia, Terengganu Cycling Team (TSG) dan Malaysia Professional Cycling (MPC).

Selain tiga pasukan negara, penyertaan lain dijangka akan diterima dari negara seperti Kazakhstan, Amerika Syarikat, Australia, Itali, Sepanyol, Switzerland, China, Indonesia dan Jepun.

Bagaimanapun status pengesahan membabitkan penyertaan World Team, Pro Team dan pasukan benua hanya akan dapat dipastikan Ogos ini.

LTdL mula dianjurkan sejak 1996 dengan empat jersi menjadi rebutan iaitu juara keseluruhan (jersi kuning), raja pecut, raja bukit dan pelumba terbaik Asia dengan jumlah hadiah kemenangan keseluruhan bernilai RM850, 000 menjadi rebutan.

INFO

Laluan perlumbaan

Peringkat 1: 29 Sept (Ahad) – Kuah ke Kuah (96.5 km)

Peringkat 2: 30 Sept(Isnin) – Arau ke Butterworth (154.5 km)

Peringkat 3: 1 Okt (Selasa) – Taiping ke Cameron Highland (170.3 km)

Peringkat 4: 2 Okt (Rabu) – Kuala Kubu Bharu ke Genting Highland (112.8 km)

Peringkat 5: 3 Okt (Khamis) – Kuala Lumpur ke Melaka (167.3 km)

Peringkat 6: 4 Okt (Jumaat) – Batu Pahat ke Kulai (123.6 km)

Peringkat 7: 5 Okt (Sabtu) – Miri ke Bintulu (199.3 km)

Peringkat 8: 6 Okt (Ahad) – Bintulu ke Bintulu / Loop (166.8 km)

Jumlah jarak: 1,191.1km

-Berita Harian