KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dituntut untuk melipat gandakan usaha bagi melonjakkan prestasi mereka berbaki empat bulan sebelum Sukan Olimpik Paris 2024 bermula Julai depan.
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, berkata pasangan nombor sembilan dunia itu perlu mengubah cara berfikir ketika di dalam gelanggang dan harus sedar betapa tiada jalan mudah untuk mereka memenangi perlawanan.
“Semuanya terletak di tangan pemain itu sendiri, kita sudah banyak kali berbincang mengenai apa yang mereka perlu buat.
“Pemain sendiri perlu ada usaha untuk berubah. Mereka tidak boleh bermain ikut ‘mood’ mereka saja, mahu cara yang senang sahaja untuk mengutip mata, tidak boleh ada susah sedikit.
“Apabila ada susah sedikit, terus mereka jadi binggung dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan.
“Pemain sendiri harus sedar bukan hanya jurulatih yang harus fikir bagaimana untuk ubah mereka.
“Apa yang diperkatakan jurulatih itu seharusnya disimpan dalam otak dan dilakukan di dalam latihan serta terjemahkannya dalam perlawanan.
“Ini bukan masalah kemahiran atau teknik tetapi lebih kepada cara mereka berfikir di dalam gelanggang yang buatkan mereka sering terkandas,” kata Rexy kepada BH Sukan.
Terdahulu, Tang Jie-Ee Wei dikejutkan dengan kekalahan di pusingan kedua Seluruh England selepas tewas di tangan beregu Belanda, Robin Tabeling-Selena Piek 21-17, 19-21, 16-21.
Ia adalah kekalahan pertama mereka di tangan lawan berkenaan selepas menang tiga pertemuan terakhir sebelum ini.
Kekalahan itu menyaksikan mereka gagal mengekalkan momentum selepas berjaya menyingkirkan bekas juara dunia dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai di pusingan pertama.-Berita Harian