KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia melangkah ke pusingan kedua Seluruh England, sebentar tadi.
Zii Jia yang kini berada di ranking ke-10 dunia melakar kejutan ke atas pemain dari Jepun, Kodai Naraoka (ranking keenam) dengan keputusan straight set 21-12, 21-19 dalam tempoh 49 minit.
Ia adalah kemenangan kedua Zii Jia ke atas Naraoka daripada lima pertemuan antara mereka dengan sebelum ini melakar kemenangan di suku akhir edisi tahun lalu.
Kemenangan itu mengatur pertemuan Zii Jia dengan Loh Kean Yew di pusingan kedua selepas lawan dari Singapura itu menewaskan Ng Ka Long Angus dari Hong Kong 21-12, 21-17 sebelum itu.
Untuk rekod pada edisi lalu, Zii Jia menamatkan kempen Seluruh England di pusingan separuh akhir selepas tewas di tangan pemain China, Shi Yu Qi 19-21, 13-21.
Sebelum ini, Zii Jia menunjukkan prestasi yang positif apabila berjaya mara ke suku akhir Terbuka India dan juga Masters Indonesia.-Berita harian