Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Tang Jie-Ee Wei lepasi halangan wakil Thailand

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengikuti jejak Lee Zii Jia mara ke pusingan kedua Seluruh England selepas menewaskan pilihan keenam dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai, sebentar tadi.

Pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di Utilita Arena Birmingham itu, Tang Jie-Ee Wei mara ke pusingan kedua dengan kemenangan 21-14, 12-21, 21-15 ke atas pasangan dari Thailand berkenaan dalam tempoh 57 minit.

Kemenangan itu adalah yang kedua buat Tang Jie-Ee Wei ke atas Dechapol-Sapsiree dalam tujuh pertemuan dengan sebelum ini menewaskan lawan di suku akhir Terbuka Arctic tahun lalu.

Sebelum itu, Zii Jia turut melangkah ke pusingan kedua selepas menewaskan pemain ranking keenam dunia dari Jepun, Kodai Naraoka 21-12, 21-19 dalam tempoh 49 minit.

“Saya memberi fokus yang lebih untuk melakukan pukulan serangan hari ini,” kata Zii Jia ketika ditemubual Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

“Setiap kali bertemu Kodai, kami perlu bersiap sedia kerana perlawanan pasti akan menjadi sengit.

“Dia seorang pemain yang bagus, bertahan. Apapun, saya gembira dengan prestasi diri saya hari ini,” katanya.

Zii Jia selepas ini dijadual bertemu pemain Singapura, Loh Kean Yew di pusingan kedua selepas lawannya itu menewaskan Ng Ka Long Angus dari Hong Kong 21-12, 21-17.-Berita Harian