Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Para SUKMA 2024: Sarawak sasar rampas gelaran juara daripada Sabah

KUCHING: Sarawak belum menetapkan sasaran jumlah pingat untuk diraih pada temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 pada 20 hingga 28 September tahun ini tetapi menyasarkan untuk merampas gelaran juara yang diungguli Sabah pada edisi lepas.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata sebagai tuan rumah Para SUKMA kali ini, Sarawak optimis dalam merealisasikan cita-cita tersebut dan telah melakukan penilaian secara mendalam membabitkan kekalahan pasukan negeri semasa temasya lalu. 

”Menerusi post-mortem, kita mengenal pasti kelemahan-kelemahan dan faktor-faktor yang menyebabkan kekalahan Sarawak pada kejohanan terdahulu. Saya percaya kali ini peluang kita lebih cerah daripada sebelumnya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Taklimat Persediaan Penganjuran Para SUKMA Ke-21 di kediamannya di Petra Jaya di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Mohammad Razi Sitam, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datu Hii Chang Kee dan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Colliner Gohe.

Mengulas lanjut, Fatimah berkata kontinjen Sarawak dijangka akan menghantar seramai 240 atlet yang akan menjalani saringan pada 31 Julai 2024.

Jelasnya, temasya itu juga akan melibatkan seramai 120 pegawai untuk Sarawak sahaja.

Sementara mengenai acara sukan, Fatimah berkata sebanyak 10 acara sukan akan dipertandingkan pada temasya Para SUKMA edisi kali ini.

”Antara lainnya adalah Para Olahraga, Para Renang, Para Badminton, Para Pingpong, Para Tenpin Boling, Boccia, Para Lawn Bowls, Para Powerlifting, Para Memanah dan Para Catur.

”Kesemua acara yang dipertandingkan ini akan diadakan di Kuching,” katanya. 

Jelas beliau, antara lokasi terlibat adalah Stadium Sarawak, Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Dewan Persatuan Badminton Sarawak BDC, SJK Chung Hua No.3, Megalane E-Mart Batu Kawa, Dewan Persatuan Bola Keranjang Sarawak, Multipurpose Arena Petra Jaya, Dewan Serba Guna Jabatan Belia dan Sukan, Lapang Sasar Memanah Petra Jaya dan Hotel Raia. 

Fatimah menambah, turut dijadual diadakan pada 21 September 2023 di Hikmah Exhange Kuching adalah Majlis Makan Malam Temasya Para SUKMA yang bakal dihadiri tetamu kehormat, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

”Sementara Majlis Perasmian Temasya Para SUKMA Ke-21 bakal diadakan pada 22 September 2024 di Stadium Perpaduan Petra Jaya dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar,” katanya. 

Setakat ini sebanyak 15 negeri seluruh Malaysia telah mengesahkan penyertaan pada edisi kali ini. Ia juga dijangka akan dihadiri seramai 1,400 atlet para dan 600 pegawai.

Antara lainnya adalah dari Johor, Melaka, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Pelancaran rasmi maskot iaitu Satria dan Satrina (Burung Kenyalang), lagu (SUKMA Sarawak, Kesukanan dan Perpaduan) dan logo untuk temasya kali ini telah diadakan pada 9 Mac 2024 di sini yang telah dirasmikan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah mewakili Premier Sarawak.-Utusan Borneo