Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Nor Sarah pernah berjalan ke tempat latihan ketika Ramadan

Kuala Lumpur: Setiap orang pasti mempunyai memori tidak dapat dilupakan menjelang Ramadan, begitu juga bagi atlet lompat bergalah wanita negara, Nor Sarah Adi yang meraih pengalaman bermakna di awal penglibatannya sebagai atlet negara.

Atlet berusia 23 tahun itu berkata, beliau pernah menempuh saat sukar enam tahun lalu apabila perlu berjalan kaki ke tempat latihan ketika bulan puasa kerana ingin mendapatkan bimbingan daripada bekas jurulatihnya, Mohd Manshahar Abdul Jalil pada 2018.

Oleh kerana tidak berada di bawah Program Podium ketika itu, Nor Sarah terpaksa menumpang di rumah ibu saudaranya di Puchong dan berulang-alik ke Majlis Sukan Negara (MSN) kerana tidak penginapan disediakan.

“Waktu itu saya tiada elaun, tiada penginapan, baru habis sekolah, jadi tiada duit.

“Saya tumpang rumah ibu saudara dan ulang-alik setiap hari jalan kaki dari stesen LRT ke MSN ketika puasa. Kalau berbuka saya hanya minum air mineral dalam tren dan hanya dapat makan di rumah ibu saudara…saya tahan lapar dulu.

“Pada Ramadan tahun itulah saya belajar untuk merasai bagaimana kesusahan hidup dan pengorbanan sebagai seorang atlet. Setiap kali Ramadan, saya akan teringat peristiwa itu,” katanya kepada Bernama.

Pemenang pingat emas Sukan Sea Hanoi 2021 itu bagaimanapun berkata, beliau sangat bersyukur kerana kini berada di bawah Program Podium dengan pelbagai sokongan diterima yang memudahkannya untuk meningkatkan prestasi menjelang kejohanan akan datang.

Sementara itu, Nor Sarah berkata, beliau bersedia untuk menghadapi pertandingan ketika berpuasa apabila akan berlepas ke Taiwan untuk Kejohanan Dalam Dewan Antarabangsa pada 22 hingga 23 Mac ini.

Beliau berkata, meskipun berpuasa ia tidak menjadi penghalang untuk membuktikan keupayaan diri selepas sebulan berehat akibat kecederaan buku lali pada Disember lalu.

“Sebelum ke Taiwan saya tetap jalani latihan walaupun berpuasa. Latihan berlangsung pada sebelah petang dan akan dijalankan di tempat redup selama dua jam setiap hari. Saya sudah biasa jalani latihan ketika berpuasa.

“Kejohanan di Taiwan itu sebagai kayu pengukur prestasi saya yang dalam misi memburu emas di Sukan Universiti ASEAN (AUG) di Surabaya, Indonesia pada Jun depan,” kata atlet kelahiran Pahang itu.

Bagaimanapun, Nor Sarah berkata buat masa ini beliau masih mencari keserasian menggunakan galah baharu dan berharap mampu mencapai sasaran 3.8 hingga 3.9 meter (m) pada kejohanan itu kelak.-Harian Metro