Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives March 11, 2024

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Hidayat kongsi hajat jika Malaysia jadi hos Sukan Komanwel 2026

KUALA LUMPUR: Walaupun belum pasti namun sekiranya Sukan Komanwel 2026 dianjurkan di Malaysia, ia bakal memberi nilai sentimental buat keluarga legenda angkat berat negara, Hidayat Hamidon.

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel adalah pada 1998 dan pada ketika itu Hidayat menggembirakan negara apabila meraih pingat emas dalam kategori 69 kilogram (kg) dan lebih membanggakan, bekas atlet berusia 49 tahun itu berjaya memecahkan rekod temasya untuk clean&jerk dengan angkatan 167.5kg.

Detik itu masih bermain di fikiran Hidayat dan sekiranya Malaysia menjadi tuan rumah pada 2026, dia bersedia untuk menggembleng tenaga mempersiapkan barisan badang negara termasuk anaknya yang juga pemegang rekod kebangsaan 73kg, Muhammad Erry Hidayat.

“Berdasarkan pengalaman yang ada pada 1998, rasanya kita mampu dengan infrastruktur yang kita ada… stadium yang ada pun mengikut standard antarabangsa.

“Namun semuanya itu bergantung kepada bajet negara kita.

“Kalau jadi, ia sangat luar biasa dan ia akan memberikan peluang untuk barisan atlet angkat berat terutama Erry untuk dapatkan kembali pingat emas ayahnya di tempat yang sama. Sebagai bekas atlet, saya bangga (sekiranya menjadi tuan rumah 2026) dan ini dapat menaikkan semangat atlet kita secara keseluruhan.

“Saya pasti semua atlet sekarang mengalu-alukannya. Bagi saya, semua atlet yang ada pada masa ini sudah bersedia kerana kita mempunyai banyak program seperti Podium dan sebagainya dan bila lagi masanya untuk kita bersaing dengan pesaing antarabangsa.

“Saya juga bersedia untuk mempersiapkan Erry berdasarkan pengalaman saya sebelum ini dan saya rela latihnya di luar. Kalau betul jadi, saya akan berikan sokongan penuh kepada semua atlet. Perasaan itu berbeza sekiranya kita menjadi tuan rumah,” kata Hidayat.

Dalam pada itu, Erry berkata, dia merasakan penganjuran temasya bakal memberikan manfaat kepada negara namun apa yang penting untuk seorang atlet adalah memberi tumpuan penuh daripada sudut prestasi.

“Kalau ada peluang, memang saya nak sertai Sukan Komanwel di Malaysia kerana ia akan mengimbau kenangan ayah. Saya rasa, kalau dapat beraksi di laman sendiri, tentunya lebih bersemangat kerana ada keluarga bersama dan juga sokongan peminat,” kata Erry yang sebelum ini menghadiahkan pingat perak dalam kategori 73kg di Birmingham 2022.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Skuad boling padang pertahan gelaran nombor satu Asia

KUALA LUMPUR: Skuad boling padang negara berada dalam kelas tersendiri apabila sekali lagi muncul juara keseluruhan Kejohanan Boling Padang Asia ke-15 yang diadakan di Pattaya, Thailand pada 3 hingga 10 Mac lepas.

Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM) menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan skuad negara yang turun selaku juara Kejohanan Boling Padang Asia ke-14 itu membawa pulang tiga pingat emas, dua perak dan dua gangsa.

Tempat kedua keseluruhan disambar Filipina dan ketiga menjadi milik India.

Pingat emas negara dihasilkan menerusi Izzat Shameer Dzulkeple yang berentap bagi acara inividu lelaki, selain Soufi Rusli, Idham Amin Ramlan dan Fadley Abd Jabal bagi acara Men’s Triples manakala Aleena Nawawi, Nur Ain Nabilah Tarmizi, Nor Farah Ain Abdullah serta Syafiqa Haidar Rahman mendominasi acara Women’s Triples.

Dalam pada itu, pingat perak disumbang menerusi Nurul Alyani Jamil, Nor Farah Ain dan Syafiqa bagi acara Women’s Triples sementara Fadley, Hizlee Abdul Rais, Idham Amin serta Soufi bagi acara Men Fours, manakala dua pingat gangsa dihasilkan melalui Ahmad Zikri Sazeli dan Amirul Daniel Abdul Ramlan dalam acara Boy’s Singles, serta Nurul Alia Fitrah Mohamad Ali dan Ahmad Zikri acara Mixed Pairs.

Kejohanan Boling Padang Asia merupakan kejohanan sukan boling padang terbesar di rantau Asia yang mendapat pengiktirafan daripada World Bowls dan Bowls Asia. – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
‘Saya sentiasa berdoa setiap kali bertanding’

PEMANAH negara, G Daneshen berharap dibekalkan dengan set peralatan dan aksesori baharu termasuk busur, setelah mengesahkan tempat ke Sukan Paralimpik Paris 2024, untuk meningkatkan prestasi sekali gus membawa pulang pingat.

Atlet kelahiran Kedah berusia 26 tahun yang bakal membuat penampilan sulung di temasya Sukan Paralimpik 2024 dalam acara compound berkata beliau tidak memiliki set busur sendiri dan selama ini, pemanah di ranking ke-32 dunia itu menggunakan busur milik rakannya Wiro Julin, ketika pertandingan di peringkat domestik dan antarabangsa.

Daneshen yang meraih dua pingat emas dan satu perak di Sukan Para ASEAN (APG) 2022 berkata, beliau perlu berwaspada setiap kali melangkah ke arena memanah kerana bimbang berikutan tidak mempunyai alat ganti tambahan jika berlaku kecemasan.

“Walaupun busur sudah lama dan retak, saya anggap ia bertuah dan mempunyai nilai sentimental kerana telah memenangi banyak pingat ketika menggunakannya.

“Bagaimanapun, saya akui sangat perlukan busur baharu untuk mencipta kejayaan lebih baik di Paris.

“Saya juga bimbang sekiranya apa-apa berlaku ketika memanah (busur atau tali putus), kita tidak mempunyai busur ganti.

“Saya sentiasa berdoa setiap kali bertanding (supaya jangan berlaku perkara tidak diingini), malah sebelum pusingan kelayakan terdapat keretakan kecil pada busur tapi masih teruskan panahan,” katanya.

Daneshen merupakan pemanah ketiga dan atlet Malaysia ke-10 yang layak ke temasya Paralimpik 2024 pada 28 Ogos hingga 8 September, selepas meraih pingat perak pada Kejohanan Ranking Dunia Memanah Para Fazza kelapan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Rabu lepas.

Sebelum ini, juara dunia memanah para 2019, S Suresh dan atlet wanita terbaik temasya Para Sukan Malaysia (Sukma) 2022, Nur Jannaton Abd Jalil, mengesahkan tiket ke Paris pada Kejohanan Memanah Para Kelayakan Benua Asia di Bangkok, Thailand hujung tahun lepas, masing-masing sebagai juara recurve lelaki dan naib juara compound wanita.

Mengenai kejohanan Kelayakan Dubai, Daneshen mengakui berdepan saingan sengit daripada lawan kerana ia merupakan pentas terakhir untuk mendapatkan slot ke Paralimpik Paris,

“Saya memang berazam untuk memastikan dapat kelayakan (dengan menamatkan saingan di dua tempat teratas). Apabila tiba di sana saya agak gugup, manakala mata dari peserta lain agak tinggi kerana mereka memberikan bidikan berkualiti, namun saya tetap dapat capai matlamat.

“Ini merupakan Sukan Paralimpik pertama saya, tapi saya yakin dapat mencapai markah dan kedudukan yang baik di Paris,” katanya. – Bernama

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Harapan Sharul Aimy ke Paris 2024 semakin tipis

Kuala Lumpur: Peluang untuk gimnas lelaki negara, Muhammad Sharul Aimy Kamaru Hisam untuk membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik Paris 2024, Julai ini, kini semakin tipis.

Ini selepas pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou 2022 itu gagal menaiki podium ketika aksi final melombol pada siri ketiga Piala Dunia Aparatus FIG (Persekutuan Gimnastik Antarabangsa) 2024 di Baku, Azerbaijan, semalam.

Atlet berusia 22 tahun itu menduduki tempat tercorot dengan memperoleh purata mata 14.099 daripada lapan peserta dalam acara yang berlangsung di Arena Gimnastik Kebangsaan.

Nazar Chepurnyi dari Ukraine dinobatkan sebagai juara setelah merekodkan 14.900 mata manakala Shek Wai Hung dari Hong Kong meraih perak (14.866 mata) dan Harry Hepworth dari Britain dengan gangsa (14.866 mata).

Meskipun tidak berjaya membawa pulang pingat, Naib Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) Francis Lau tetap memuji persembahan atlet kelahiran Terengganu itu.

“Persembahannya baik, tetapi finalis lain menunjukkan persembahan dan pendaratan yang baik.

“Namun peluang Sharul Aimy untuk layak (Sukan Olimpik 2024) adalah tipis,” katanya kepada Bernama.

Sharul Aimy sebelum ini gagal ke pentas akhir pada dua siri Piala Dunia Aparatus FIG 2024 masing-masing di Kaherah, Mesir dan Cottbus, Jerman.

Di Kaherah, beliau berada pada kedudukan ke-27 daripada 42 peserta pada pusingan kelayakan diikuti tempat ke-17 daripada 50 peserta di Cottbus pada peringkat sama.

Sharul Aimy dijadualkan bertanding dalam siri akhir kejohanan itu di Doha, Qatar dari 17 hingga 20 April ini.

Siri Piala Dunia akan menawarkan dua kuota bagi setiap jantina untuk setiap aparatus berdasarkan tiga keputusan terbaik gimnas dalam empat pertandingan.

Paris 2024 akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.-Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Nor Sarah pernah berjalan ke tempat latihan ketika Ramadan

Kuala Lumpur: Setiap orang pasti mempunyai memori tidak dapat dilupakan menjelang Ramadan, begitu juga bagi atlet lompat bergalah wanita negara, Nor Sarah Adi yang meraih pengalaman bermakna di awal penglibatannya sebagai atlet negara.

Atlet berusia 23 tahun itu berkata, beliau pernah menempuh saat sukar enam tahun lalu apabila perlu berjalan kaki ke tempat latihan ketika bulan puasa kerana ingin mendapatkan bimbingan daripada bekas jurulatihnya, Mohd Manshahar Abdul Jalil pada 2018.

Oleh kerana tidak berada di bawah Program Podium ketika itu, Nor Sarah terpaksa menumpang di rumah ibu saudaranya di Puchong dan berulang-alik ke Majlis Sukan Negara (MSN) kerana tidak penginapan disediakan.

“Waktu itu saya tiada elaun, tiada penginapan, baru habis sekolah, jadi tiada duit.

“Saya tumpang rumah ibu saudara dan ulang-alik setiap hari jalan kaki dari stesen LRT ke MSN ketika puasa. Kalau berbuka saya hanya minum air mineral dalam tren dan hanya dapat makan di rumah ibu saudara…saya tahan lapar dulu.

“Pada Ramadan tahun itulah saya belajar untuk merasai bagaimana kesusahan hidup dan pengorbanan sebagai seorang atlet. Setiap kali Ramadan, saya akan teringat peristiwa itu,” katanya kepada Bernama.

Pemenang pingat emas Sukan Sea Hanoi 2021 itu bagaimanapun berkata, beliau sangat bersyukur kerana kini berada di bawah Program Podium dengan pelbagai sokongan diterima yang memudahkannya untuk meningkatkan prestasi menjelang kejohanan akan datang.

Sementara itu, Nor Sarah berkata, beliau bersedia untuk menghadapi pertandingan ketika berpuasa apabila akan berlepas ke Taiwan untuk Kejohanan Dalam Dewan Antarabangsa pada 22 hingga 23 Mac ini.

Beliau berkata, meskipun berpuasa ia tidak menjadi penghalang untuk membuktikan keupayaan diri selepas sebulan berehat akibat kecederaan buku lali pada Disember lalu.

“Sebelum ke Taiwan saya tetap jalani latihan walaupun berpuasa. Latihan berlangsung pada sebelah petang dan akan dijalankan di tempat redup selama dua jam setiap hari. Saya sudah biasa jalani latihan ketika berpuasa.

“Kejohanan di Taiwan itu sebagai kayu pengukur prestasi saya yang dalam misi memburu emas di Sukan Universiti ASEAN (AUG) di Surabaya, Indonesia pada Jun depan,” kata atlet kelahiran Pahang itu.

Bagaimanapun, Nor Sarah berkata buat masa ini beliau masih mencari keserasian menggunakan galah baharu dan berharap mampu mencapai sasaran 3.8 hingga 3.9 meter (m) pada kejohanan itu kelak.-Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Ramai setuju Malaysia anjur Sukan Komanwel 2026

KUALA LUMPUR: Selepas tiga jam dimuatnaik, undian dilakukan Berita Harian Online mendapati 66 peratus pembaca bersetuju untuk Malaysia menjadi pengganti tuan rumah bagi Sukan Komanwel 2026 selepas Victoria menarik diri sebagai penganjur tahun lalu.

Baki 34 peratus pula tidak bersetuju untuk dianjurkan dengan rata-rata di aplikasi X Berita Harian yang setakat ini menerima 3,000 tontonan dan 429 undian dengan masing-masing memberi pelbagai reaksi.

Seorang pembaca di aplikasi X, collapse formula menulis: “Dana telah disediakan dari segi sokongan dunia”, manakala Gintak mempersoalkan hasil diperoleh daripada penganjuran terdahulu ketika Malaysia menjadi tuan rumah 1998.

“Ramai tak tahu apa sudah jadi pada SUKOM 98 yang manage (menguruskan) Sukan Komanwel. Untung ke rugi. Boleh OCM (Majlis Olimpik Malaysia) dan KBS jelaskan. Npe (Kenapa) Brisbane tarik jadi ‘host’ (tuan rumah) Sukan Komanwel. Boleh OCM jelaskan,” tulisnya.

Dalam pada itu, Oreki Houtarou bersetuju untuk temasya diadakan namun tidak mahu sekiranya akan berlaku ketirisan dari sudut dana.

“Setuju kalau dana tidak diselewengkan,” tulisnya.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel adalah pada 1998 dan pada ketika itu, Malaysia menamatkan kempen di tangga keempat dengan 10 pingat emas, 14 perak dan 12 gangsa.

Australia muncul juara keseluruhan dengan 80 emas, 61 perak dan 57 gangsa manakala England di tangga kedua, 36 emas, 47 perak dan 53 gangsa. Kanada di tangga keempat dengan 30 emas, 31 perak dan 38 gangsa.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
KUNJUNGAN HORMAT PERSATUAN PELAYARAN MALAYSIA

Majlis Sukan Negara telah menerima Kunjungan Hormat daripada Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA) pada Isnin, 11 Mac 2024 di MSN, Bukit Jalil.

Pertemuan YBrs. Encik Abdul Rashid Yaakub, Ketua Pengarah MSN bersama YB Dato’ Kamaruzzaman bin Abu Kassim, Presiden Persatuan Pelayaran Malaysia itu bertujuan untuk membincangkan perancangan pembangunan sukan pelayaran di Malaysia.

Turut hadir sama, YBrs. Encik Jeffri Ngadirin, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan), MSN dan YBrs. Tuan Haji Lukman bin Abu Bakar, Naib Presiden Persatuan Pelayaran Malaysia.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Nepal mampu tingkatkan keyakinan Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Meskipun skuad Harimau Malaya hanya sekadar ‘memanaskan badan’ berdepan Nepal, aksi berdepan pasukan di tangga ke-175 dunia itu dianggap sebagai pilihan tepat sebagai persiapan menghadapi Oman bagi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027.

Jurulatih berpengalaman, Sulaiman Hussin beranggapan aksi menentang Nepal secara tertutup Jumaat ini akan menjadi medan terbaik untuk skuad bimbingan Kim Pan Gon mendapatkan keyakinan yang diperlukan sebelum turun menentang Oman yang ketika ini berada di tangga ke-80 dunia.

Justeru, Sulaiman mengharapkan barisan pemain akan memanfaatkan peluang ini untuk memperagakan aksi yang terbaik sebagai bekalan sebelum berkunjung ke Muscat bagi aksi pertama pada 22 Mac sebelum pulang beraksi di laman sendiri pada 26 Mac.

“Dengan tempoh singkat seperti ini, tak banyak pasukan yang boleh kita dapatkan dan pasukan lain pun tidak mahu menentang pasukan yang kuat. Kita perlu mencari pasukan yang kita boleh ‘makan’ sebab kita sekadar nak kemaskan pasukan, bukan hendak cari kelemahan.

“Saya lihat Nepal sebagai lawan yang sesuai sebab pemain boleh dapatkan keyakinan khususnya pemain di bahagian serangan untuk kemaskan lagi penyudah dan dapatkan seberapa banyak motivasi yang boleh sebelum berdepan Oman.

“Cuma harus diingat perlawanan yang kita anggap mudah seperti ini pun ada kesan buruknya kalau kita gagal memberikan aksi yang terbaik. Jika lawan Nepal pun kita bergelut, bagaimana nak lawan Oman nanti?,” kata Sulaiman.

Dalam masa sama, bekas pengendali UKM FC itu mengharapkan anak buah Pan Gon masih mengingati ‘detik manis’ susulan kejayaan mengikat Korea Selatan 3-3 pada aksi terakhir kumpulan Piala Asia 2023 di Qatar, Januari lalu.

“Saya harap semangat dan keghairahan kita apabila seri dengan Korea Selatan sebelum ini masih ada dalam sanubari setiap pemain. Ini boleh jadi motivasi terbaik apabila menentang Oman nanti.

“Di sebalik persiapan yang kita lihat agak tidak mencukupi, Pan Gon pasti ada jalan untuk memotivasikan pemainnya dan dia ada magis untuk memastikan barisan pemainnya benar-benar bersedia.

“Kita tidak mahu skuad kebangsaan ke Oman sekadar untuk pergi bermain semata-mata dan semoga mereka dapat membawa pulang keputusan yang memberangsangkan dari sana,” kata Sulaiman.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Suhaimi sudah sedia bukti kemampuan

PENJAGA gol pasukan bola sepak negara, Suhaimi Husin berazam memberikan yang terbaik untuk berada dalam kesebelasan utama Harimau Malaya berdepan Oman dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2026/Piala Asia 2027 pada 22 dan 26 Mac depan.

Malah, penjaga gol Terengganu FC (TFC) itu bersedia membuktikan kemampuannya kepada barisan kejurulatihan Harimau Malaya biarpun berdepan saingan penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Ahmad Syihan Hazmi Mohamed yang sering menjadi pilihan utama.

“Pertama kali saya nak ucap terima kasih kepada coach Kim Pan-gon, ini merupakan kali kedua saya mendapat panggilan untuk skuad kebangsaan. Sejujurnya saya masih lagi baharu dalam kem skuad kebangsaan dan masih banyak lagi yang perlu belajar

“Semua terpulang kepada coach Kim Pan-gon, sekiranya diberikan peluang beraksi saya akan memberikan aksi terbaik. Sekiranya tugasan diberikan kepada Syihan, saya perlu bersedia,” katanya di laman Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Wisma FAM, pada Sabtu.

Sebagai rekod, Suhaimi selain bersaing bersama Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, dia juga bersaing dengan Azri Ghani dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.PENJAGA gol pasukan bola sepak negara, Suhaimi Husin berazam memberikan yang terbaik untuk berada dalam kesebelasan utama Harimau Malaya berdepan Oman dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2026/Piala Asia 2027 pada 22 dan 26 Mac depan.-Sinar Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia