KUALA LUMPUR: Safi dan Mediabrands Content Studio (MBCS) baru-baru ini menganjurkan pertandingan sukan elektronik khusus untuk wanita berhijab yang julung kalinya diadakan di negara ini,
Kejohanan PUBG Mobile itu memberi peluang buat golongan berkenaan bagi menunjukkan potensi mereka dalam komuniti sukan elektronik.
Pengarah Eksekutif Bersekutu MBCS, Lyndy Tan, berkata sukan elektronik sebelum ini sentiasa didominasi oleh lelaki manakala pemain wanita hanya dianggap sebagai pemain biasa yang tidak serius dalam sukan itu.
“Bagaimanapun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, menerusi peningkatan pemain wanita profesional, kami melihat peningkatan jumlah pemain berhijab yang mencabar golongan lelaki dalam merebut gelaran.
“Safi Shayla, pakar penjagaan wanita berhijab dilihat sebagai pengubah senario ini. Kami melihat ini sebagai peluang bagi mengurangkan jurang buat pemain wanita berhijab,” katanya.
‘Kejuaraan Wanita SAFI x PUBG Mobile’ dianjurkan pada 6 dan 7 Januari lalu dengan lima pasukan bertarung untuk merebut hadiah utama RM10,000 dan peluang menjadi Duta Safi Shayla.-Berita Harian