Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Liek Hou cemerlang di Dubai

Kuala Lumpur: Jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou menutup kalendar 2023 dengan membawa pulang satu pingat emas dan satu pingat perak di Kejohanan 5TH Fazza Dubai Para Badminton Antarabangsa (Peringkat 2) 2023, semalam.

Pada aksi final perseorangan lelaki SU5, Liek Hou turun dengan hasrat memenangi emas pertama, tetapi terpaksa akur dengan perak selepas tewas kepada rakan senegara, Muhammad Fareez Anuar straight set 19-21, 19-21.

Bagaimanapun, kekecewaan itu ditebus apabila gandingan Liek Hou-Fareez Anuar yang turun dalam acara beregu lelaki SU5 mencatat kemenangan mudah menewaskan pasangan dari Taiwan Fan Jen-yu- Gui Yu Pu 21-1, 21-10.

Leik Hou yang berada di ranking nombor satu dunia untuk perseorangan lelaki kategori SU5 berkata, dia akan sentiasa tampilkan prestasi terbaik dalam kejohanan dihadapi.

“Kejohanan terakhir untuk tahun ini (2023) selesai dengan menang emas di beregu lelaki SU5 dan perak di perseorangan SU5. Tidak mudah mengekalkan prestasi luar biasa di setiap pertandingan, tetapi saya cuba sedaya upaya untuk mendapatkan pingat di setiap kejohanan,” katanya menerusi perkongsian di Facebook miliknya.

Dia akan berehat sebentar sebelum memulakan latihan bagi menghadapi kejohanan utama pada 2024.

“Tibalah waktu saya rehat sekejap dan kembali ke latihan untuk persiapan kejohanan akan datang tahun depan iaitu Kejohanan Dunia Para Badminton di Pattaya, Thailand pada Februari nanti.

“Terima kasih 2023 dan saya berharap 2024 akan memberikan saya kekuatan dan kesihatan. Mohon doakan yang terbaik bagi saya untuk tahun depan,” katanya.

Dalam kejohanan itu, pasukan para badminton negara berjaya membawa pulang tiga pingat emas dan satu pingat perak.

ejohanan berkenaan yang terakhir untuk 2023 bagi mengumpul mata kelayakan ke temasya Paralimpik Paris 2024.-Harian Metro