Majlis Sukan Negara Malaysia
Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Insentif lebih baik menanti skuad Sukma Terengganu

KERAJAAN Terengganu akan memberikan insentif kemenangan lebih baik berbanding tahun sebelum ini untuk skuad kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu sekiranya meraih juara keseluruhan pada temasya kali ini.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pemberian insentif itu akan diumumkan selepas menilai prestasi pemain yang akan bertanding pada temasya Sukma 2024 di Sarawak yang akan berlangsung pada 17 Ogos depan.

“Berbeza untuk kali ini sebab saya tidak akan sebut jumlah (insentif) tetapi ada. Saya sendiri akan turun ke Sarawak untuk melihat atlet-atlet bertanding.

“Saya akan nilai kesungguhan atlet-atlet ini bertanding dan akan memerhatikan bersungguh atau tidak atlet itu bertanding.

Ahmad Samsuri ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bendera kepada Kontinjen Sukma Terengganu 2024

Ahmad Samsuri ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bendera kepada Kontinjen Sukma Terengganu 2024

“Kalau bersungguh bertanding dan kita menjadi juara. Insya-ALLAH…ganjarannya akan lebih baik berbanding tahun sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bendera kepada Kontinjen Sukma Terengganu 2024 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman di sini pada Rabu.

Pada majlis tersebut, Ahmad Samsuri turut menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera kontinjen Sukma Terengganu sebagai tanda penyerahan mandat daripada kerajaan negeri kepada kontinjen untuk bertanding pada Sukma 2024 di Sarawak.

Kontinjen Terengganu mensasarkan kutipan pingat keseluruhan sebanyak 76 emas, 36 perak dan 106 gangsa pada temasya kali ini.

Acara sukan berbasikal, pelayaran dan beberapa acara sukan tempur bakal menjadi sandaran utama bagi kontinjen Terengganu untuk meraih pingat.

Kekuatan kontinjen Terengganu melibatkan penyertaan 568 orang atlet terdiri daripada 349 lelaki dan 219 wanita.

Daripada jumlah keseluruhan atlet, hanya 30 peratus merupakan atlet yang pernah bertanding di temasya Sukma sebelum ini manakala selebihnya adalah atlet yang baharu pertama kali menyertai Sukma.

Terengganu pernah merekodkan gelaran naib juara dalam sukan yang sama apabila mengumpul 64 emas, 49 perak dan 55 gangsa menerusi temasya Sukma edisi ke-20 atau dikenali sebagai Sukma edisi XX di Kuala Lumpur pada 2022.-Sinar Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
SUKMA: Pasukan Mobile Legends Bang Bang Sabah ‘bidik’ pingat emas

Kota Kinabalu: Pasukan Sabah dalam acara Mobile Legends Bang Bang dalam e-sukan ‘membidik’ pingat emas untuk Negeri Di Bawah Bayu itu pada Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 di Sarawak yang akan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos ini.

Mohammad Irwandy Lim, 20, yang memenangi pingat perak Sukan SEA 2023 berkata, pasukannya akan berusaha mempamerkan prestasi terbaik kerana pemain yang dihantar pasukan lain juga adalah dalam kalangan pemain yang berpengalaman dan mempunyai kelebihan masing-masing.

Beliau dikenali sebagai ‘Izanami’ dalam e-sukan itu berkata Sabah juga turut membariskan seorang lagi pemain berpengalaman Ealtond Rayner atau ‘Lolealz’ yang pernah bermain dalam Mobile Legends: Bang Bang Mid Season Cup (MSC), malah pernah juga bersamanya dalam pasukan RSG Malaysia.

“Kami di Sabah tidak akan sekali-kali memandang rendah pasukan lain dan fokus merealisasikan sasaran satu pingat emas untuk Sabah dalam e-sukan pada SUKMA nanti.

“Bagi saya tekanan menjadi sandaran emas tidak ada kerana kami pernah bermain dalam kejohanan lebih besar.

“Kami juga sedang dalam persiapan untuk memantapkan lagi pasukan sebelum ke SUKMA nanti,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran dan memperkenalkan pasukan e-sukan Sabah pada SUKMA Ke-21 di sini, hari ini.

Sementara itu, Zulfiqri Amarullah, 18, antara pemain muda penting dalam pasukan e-sukan Sabah untuk acara Tekken 8 berkata beliau akan melakukan yang terbaik untuk memastikan sasaran sekurang-kurangnya membawa pulang pingat perak dicapai.

“Kini saya dalam keadaan terbaik untuk menghadapi SUKMA dan harap sasaran pingat itu dapat dicapai, namun saya akan mempertingkatkan lagi latihan agar mampu melebihi sasaran yang ditetapkan,” katanya yang meraih perak dalam acara Tekken 7 pada Sukan Sabah Edisi Ke-10.

Sementara itu, Pengurus E-sukan SUKMA Sabah Mohd Sofihizar Usrah berkata pihaknya yakin sasaran satu pingat emas, dua pingat perak dan dua gangsa dapat dicapai berdasarkan prestasi setiap atlet yang ada.

“Kita akan melipatgandakan latihan dan akan mengadakan beberapa siri perlawanan dengan pemain-pemain berpengalaman di Sabah dan saya harap latihan berkenaan dapat meningkatkan lagi prestasi setiap peserta,” katanya.

Seramai 12 peserta bakal mewakili negeri Sabah dalam acara itu yang terdiri daripada enam peserta untuk Mobile Legends Bang Bang, dua untuk eRacing, dua untuk eFootball dan dua lagi untuk Tekken 8.

Terdapat tujuh kategori menawarkan keseluruhan 21 pingat dalam acara e-sukan pada SUKMA kali ini yang akan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos depan.-Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Melaka sasar empat teratas

Melaka: Skuad ragbi lelaki Melaka menyasarkan untuk berada dalam kelompok empat pasukan terbaik pada Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak bulan depan.

Presiden Persatuan Ragbi Negeri Melaka Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata pihaknya optimis sasaran mampu dicapai berdasarkan prestasi dan pasukan yang dibentuk ketika ini.

Beliau berkata sejak 2022, persatuan itu mengenal pasti hampir 60 pemain berpontensi sebelum disenarai pendek kepada 12 pemain terbaik untuk mewakili Melaka pada temasya itu.

“Kita menyasarkan sekurang-kurangnya menghadiahkan pingat untuk acara ini namun tidak dapat menentukan warnanya… kita akan cuba memastikan untuk menjadi empat pasukan terbaik.

“Persiapan rapi juga dilakukan sejak setahun lepas dan pemain-pemain kini bersiap sedia sepenuhnya selepas giat menjalani latihan,” katanya kepada pemberita di sini.

Hameed berkata kebanyakan pemain yang mewakili Melaka itu juga pernah beraksi pada edisi SUKMA sebelum ini ketika rata-rata mereka berumur 19 tahun.

“Keserasian pasukan telah dibentuk sejak tempoh itu selain terdapat tambahan seorang, dua pemain baharu yang dibawa masuk.

“Dengan segala perancangan yang diatur, kita percaya ia dapat membuahkan hasil jika pasukan ini mampu menterjemahkan segala yang telah kita usahakan selama ini,” katanya.

Acara ragbi dijadual berlangsung di Stadium Miri dari 19 hingga 22 Ogos.-Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Hariz sandaran skuad takraw Sarawak raih pingat

Kuching: Pemain muda kebangsaan Muhammad Hariz Hipni yang sudah dianggap pemain senior menjadi sandaran skuad sepak takraw Sarawak untuk meraih pingat pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-21 yang akan berlangsung di negeri ini bulan depan.

Anak kelahiran Saratok di Bahagian Betong yang berusia 19 tahun itu sudah menempa nama sebagai pemain kebangsaan dengan mewakili skuad Malaysia B dan tetap yakin untuk berdepan dengan rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan yang akan mewakili negeri masing-masing pada temasya sukan itu.

“Kalau dilihat, majoriti dalam skuad Malaysia B akan bermain untuk pasukan Terengganu, Johor dan Pulau Pinang pada Sukma ini nanti, namun bagi saya pencabar skuad Sarawak adalah Terengganu, Pulau Pinang dan Selangor,” katanya kepada Bernama.

Muhammad Hariz berkata mewakili Bumi Kenyalang adalah satu tanggungjawab besar, namun beliau yakin dengan prestasi skuadnya yang telah mendapat pendedahan di dalam dan luar negara untuk berada dalam kelompok empat pasukan terbaik.

“Ini merupakan penyertaan kali kedua saya di Sukma, jadi saya bukan sahaja membawa nama bendera negeri tetapi juga nama pasukan Malaysia B,” kata pemain tekong itu kepada Bernama.

Pada Sukma 2022, Terengganu merangkul emas bagi sepak takraw, manakala Perak meraih tempat kedua dan pingat gangsa milik Pulau Pinang.

Ketua Jurulatih Sepak Takraw Sarawak Amir Abu Bakar turut berkongsi keyakinan Muhammad Hariz setelah skuad itu diberikan pendedahan menerusi siri perlawanan persahabatan, melibatkan beberapa pasukan negeri serta latihan intensif bersama kelab terkemuka Thailand, Kelab Takraw Ratchaburi.

“Semasa sesi latihan di Thailand, jurulatih di sana menilai kekuatan pemain kita dan mendapati pasukan Sarawak sebagai pencabar yang baik, jadi itu adalah satu pujian sebab kita adakan perlawanan persahabatan dengan pasukan Thailand bawah 19 tahun iaitu juara seluruh negara dan pernah menewaskan pemain senior Thailand,” katanya.

Beliau berkata, penilaian jurulatih negara Gajah Putih itu menyuntik keyakinan dan semangat kepada skuad Sarawak untuk menghadapi SUKMA ke-21 ini.

“Mereka (skuad Sarawak) ada potensi tapi sayang sekali sebelum ini kurang pendedahan perlawanan di luar negeri… kita harap dengan mendapat pingat di pentas Sukma ia memberi ‘cahaya’ perkembangan sepak takraw di negeri ini,” kata Amir yang pernah menjadi jurulatih kebangsaan dari 2007 hingga 2013.

Selain Muhammad Hariz, beliau turut meletakkan harapan kepada lima pemain senior lain yang pernah beraksi dalam Sukma sebelum ini untuk bersama-sama membimbing pemain lebih muda dalam skuad itu untuk meraih kemenangan dalam Sukma ke-21 nanti.

Seorang daripada pemain senior itu ialah Muhammad Fakurazi Julaini, 21, yang telah mewakili pasukan Sarawak sejak Sukma edisi 2018 dan temasya sukan itu untuk tahun ini merupakan yang terakhir buat beliau.

“Untuk Sukma terakhir saya ini, saya memang letak harapan tinggi untuk sekurang-kurang Sarawak dapat pingat, tidak kira warna pingat… sebagai tuan rumah, kami akan menggunakan kelebihan itu,” katanya.

Acara sepak takraw kategori lelaki dan wanita bermula pada 14 hingga 23 Ogos ini dan dijadualkan berlangsung di Stadium Muhibbah, Bintulu.

Sukma 2024 menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita, selain melibatkan sembilan bahagian iaitu di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

Sukma yang diperkenalkan pada 1986 telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali iaitu pada 1990 dan 2016.-Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Sasaran NS raih 20 emas di Sukma realistik

Seremban: Sasaran kontinjen Negeri Sembilan untuk meraih kutipan sekurang-kurangnya 20 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak, yang akan bermula 17 Ogos ini, dianggap realisitik.

Perkara itu ditegaskan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan merangkap Ketua Kontinjen Negeri Sembilan, Mustapha Nagoor, bahawa ia berdasarkan penyertaan atlet negeri itu dalam 30 daripada keseluruhan 37 acara sukan yang dipertandingkan.

“Sasaran 20 pingat emas itu dianggap realistik kerana kita sedar cabaran Sukma kali ini berbeza dengan temasya sama sebelum ini khususnya membabitkan beberapa acara sukan dan atlet baharu berbakat yang akan memberikan cabaran.

“Walaupun mungkin kita berpeluang melepasi sasaran berkenaan, tapi kita tidak mahu beri tekanan awal kepada atlet sebaliknya memberi peluang sebaiknya kepada mereka untuk mempamerkan kehebatan masing-masing.

“Selepas persiapan atlet kita menghampiri 100 peratus, saya yakin dan percaya kesemua mereka kini sudah memiliki kekuatan mental serta fizikal yang baik untuk berjuang bagi menjulang nama Negeri Sembilan di Sukma nanti,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani persefahaman antara Negeri Sembilan FC (NSFC) dengan Jant Marketing Sdn Bhd (Jantzen) yang bertindak sebagai rakan air minuman pasukan NSFC musim 2024, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Majlis Sukan Negeri, Datuk Sabuddin Sani; Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus dan Ketua Pegawai Eksekutif Jantzen, Calvin Yee Jong Hoe.

Dalam pada itu, Mustapha berkata, kerajaan negeri juga sudah menyediakan sejumlah dana sebagai insentif kepada atlet negeri itu yang berjaya dan meraih pencapaian cemerlang di Sukma Sarawak nanti.

Untuk rekod, pada Sukma edisi lalu di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan menduduki tempat ke-10 selepas meraih 19 pingat emas, enam perak dan 28 gangsa.

Kali ini, kontinjen negeri itu menyasarkan kutipan pingat emas menerusi beberapa acara antaranya olahraga, lumba basikal, menembak, perahu layar, squash, akuatik dan bola sepak.-Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Selangor tawar diri tuan rumah Sukma 2026

SELANGOR menawarkan diri menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 selepas mengambil kira manfaat yang akan diperoleh melalui temasya sukan berprestij itu.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, kali terakhir Selangor menjadi tuan rumah pada 1998 dan penganjuran semula selepas 28 tahun itu selari hasrat dengan kerajaan negeri untuk mengangkat prestasi sukan serta keupayaan atlet negeri.

Menurutnya, acara sukan yang diadakan setiap dua tahun itu juga berpotensi mengangkat pelancongan sukan yang merupakan salah satu elemen penting dalam agenda negeri.

“Kita memiliki hampir semua kemudahan infrastruktur sukan bertaraf antarabangsa. Melalui Sukma ini, kita mahu menjana bukan sahaja dari segi pelaksanaan tetapi juga menarik peminat sukan dari dalam negeri dan juga di Asia Tenggara.

“Atas faktor itu, kita melihat Selangor perlu ambil peluang penganjuran sukan berprestij ini untuk menjana ekonomi setempat.

“Dari segi penganjuran mungkin kita perlu mengeluarkan kos tetapi dari segi impak pulangan sebenarnya lebih bermanfaat kepada negeri, ” katanya mengulas mengenai persediaan Selangor menjadi tuan rumah Sukma 2026.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Bizmatch Mega PKNS di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7 dekat sini pada Selasa.

Dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, mengumumkan bahawa Selangor dipilih sebagai tuan rumah Sukma edisi ke-22.

Selangor tampil menawarkan diri untuk mengelolakan temasya tersebut dan mendapat persetujuan sebulat suara oleh Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia ketika mesyuarat berkenaan diadakan.

Mohd Najwan berkata, penganjuran sukan itu juga memberi peluang kepada Selangor untuk menaik taraf fasiliti sukan sedia ada.

“Dari segi fasiliti, Selangor ada semua kemudahan sukan cuma perlu dinaik taraf. Ini merupakan peluang kerajaan negeri berbuat demikian yang bukan hanya untuk kemudahan atlet Selangor tetapi juga untuk persiapan sukan itu nanti,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, Kompleks Sukan Shah Alam boleh dijadikan vanue utama Sukma jika ia dapat disiapkan menjelang 2026.

“Kita harap pembinaan kompleks sukan ini dapat disiapkan mengikut jadual. Jika ia dapat disempurnakan dengan baik, kita boleh jadikan sebagai vanue utama penganjuran majlis perasmian nanti,” ujarnya.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 28 sukan teras ditetapkan namun yang muktamad akan diumumkan kemudian.-Sinar Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Sarawak berharap acara sepak takraw wanita berpasukan disenarai semula

KUCHING: Sarawak yang juga merupakan tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 berharap jawatankuasa SUKMA Kebangsaan akan mempertimbangkan agar acara sepak takraw wanita berpasukan disenaraikan semula pada temasya nanti.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Sarawak akan mengemukakan rayuan agar acara berkenaan disenaraikan yang menjadikan kesemua 488 acara dipertandingkan pada SUKMA yang bakal berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos depan.

Beliau memaklumkan acara itu digugurkan hanya kerana kekurangan satu negeri atau satu pasukan yang mana minimum enam pasukan ditetapkan untuk setiap acara dipertandingkan.

“Sehingga kini lima penyertaan (lima negeri) dan ia kekurangan satu lagi penyertaan. Sekarang sama ada lulus atau tidak dipertandingkan akan diputuskan kemungkinan selepas mesyuarat jawatankuasa SUKMA Kebangsaan pada 18 Julai ini.

“Kalau hanya tiga negeri sahaja menyertai, saya setuju ia tidak diadakan tetapi ini lebih dari tiga iaitu lima yang mana kita hanya kekurangan satu sahaja, maka kita berharap ia dapat dipertimbangkan.

“Namun saya akur dengan apa sahaja keputusan nanti oleh jawatankuasa SUKMA Kebangsaan dan saya percaya ada ruang untuk ia kembali senaraikan untuk menjadikan 488 acara kesemuanya nanti,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk SUKMA XXI Sarawak 2024 di sini, hari ini.

Sehingga kini menurut beliau, lima negeri yang telah mengesahkan penyertaan dalam acara sepak takraw wanita berpasukan iaitu Pulau Pinang, Perak, Selangor, Sarawak dan Sabah.

Tambah Abdul Karim, meskipun acara berkenaan tidak dipertandingkan nanti dan hanya 487 acara dipertandingkan, ia tetap jumlah acara terbesar pada penganjuran SUKMA sehingga kini.

Beliau memaklumkan sekiranya acara berkenaan digugurkan, ia pastinya mengecewakan atlet dalam acara terbabit yang telah sekian lama berlatih.

“Saya difahamkan ada atlet-atlet dari  Semenanjung sudah menempah dan membeli tiket selain sudah membuat persiapan dan persediaan.

“Keadaan ini pastinya akan mengecewakan atlet itu sendiri kerana mereka telah menjalani latihan berbulan namun terpaksa melupakan hasrat untuk bertanding disebabkan acara tersebut digugurkan susulan tidak cukup penyertaan,” katanya.-Utusan Borneo

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
SUKMA 2024: Sepak takraw wanita mungkin digugurkan

KUCHING: Sepak takraw wanita berpasukan berkemungkinan akan digugurkan daripada senarai acara temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 berikutan jumlah penyertaan kurang daripada jumlah minimum yang ditetapkan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata hanya Pulau Pinang, Perak, Selangor, Sabah dan tuan rumah Sarawak mengesahkan penyertaan untuk acara itu, sedangkan syarat minimum SUKMA sesuatu acara itu perlu disertai sekurang-kurangnya enam pasukan.

“Hanya lima negeri sudah mendaftar untuk acara sepak takraw wanita dan ini tidak dapat memenuhi keperluan minimum enam pasukan. Kita akan ada mesyuarat SUKMA peringkat kebangsaan pada 18 Julai ini dan masih ada harapan untuk mengekalkan acara ini (untuk dipertandingkan),” katanya.

Bercakap dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk SUKMA Sarawak 2024 di sini hari ini, beliau berkata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh akan mempengerusikan mesyuarat SUKMA peringkat kebangsaan itu dan bakal membuat keputusan berhubung status sepak takraw wanita.

Dalam pada itu, beliau mengumumkan hingga 5 Julai lepas, seramai 7,801 atlet sudah mendaftarkan diri untuk bertanding dalam 488 acara dari 37 jenis sukan pada temasya terbesar negara itu yang akan berlangsung di sembilan bahagian di Sarawak dari 17-24 Ogos ini.

— BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
SUKMA 2024: Farkhan Haron dilantik sebagai Timbalan Chef De Mission kontinjen Johor

Peranan petinju profesional negara, Farkhan Haron, bakal menyuntik semangat kontinjen Johor selepas dilantik sebagai Timbalan Chef De Mission kontinjen Johor menjelang saingan Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024.

“Berbesar hati berkhidmat sebagai Timbalan Chef De Mission buat kali ketiga berturut-turut bagi saingan SUKMA,” kata pemenang empat pingat emas Sukma itu menerusi Facebook.

“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada semua atlet yang berbangga mewakili Johor.

“Semoga kejayaan bersama anda semua!”

Saingan Sukma bakal berlangsung bermula 17 Ogos sehingga 24 Ogos ini.-stadiumastro

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
SUKMA 2024: Selangor yakin huni kelompok tiga teratas

SHAH ALAM: Selangor optimis berakhir dalam kelompok tiga teratas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 di Sarawak dari 17 hingga 24 Ogos ini.

Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor, Mohamad Nizam Marjugi berkata Selangor turut meletakkan sasaran memenangi 13 hingga 15 peratus daripada keseluruhan 488 pingat emas yang dipertandingkan.

Beliau berkata, Selangor akan menghantar 1,138 atlet yang menyertai semua 37 jenis sukan yang dipertadingkan pada temasya dwitahunan itu.

“Kami belum mahu mengumumkan secara khusus sasaran jumlah pingat emas kerana tempoh waktu ke temasya sebenar masih panjang.

“Kami yakin boleh perbaiki kutipan pingat yang diraih pada edisi lalu kerana jika berjaya mencapai 10 peratus sasaran sahaja pun, Selangor sudah ada 48 pingat emas, jauh melebihi jumlah 31 pingat emas yang dimenangi pada tahun 2022,” katanya.

Mohamad Nizam berkata, senarai akhir atlet yang akan dipertaruhkan bagi membawa panji Merah Kuning pada temasya itu dijangka diumumkan awal bulan depan.

Beliau berkata semua atlet giat melakukan latihan intensif mempersiapkan diri dan perlu memenuhi beberapa aspek yang ditentukan jurulatih termasuk persediaan fizikal dan kecergasan serta mental dan psikologi bagi memastikan benar-benar bersedia sebelum senarai akhir ke Sarawak dimuktamadkan.

“Kami berikan tumpuan kepada beberapa acara yang berpotensi menyumbang pingat emas seperti renang, olahraga, memanah, boling padang dan menembak. Kami yakin dan mahu setiap atlet bagi sukan tumpuan itu serta beberapa acara sukan lain, mampu beraksi cemerlang seterusnya menghadiahkan emas untuk Selangor,” katanya.

Pada SUKMA 2022, kontinjen Selangor mengakhiri temasya di kedudukan ketiga dengan mengumpul 31 emas, 55 perak dan 44 gangsa bagi keseluruhan 130 pingat. – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia